Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Tuesday 19 July 2011

TETAMU TERPILIH

            Hakimi memicit-micit hujung kasut kaki kirinya. Terasa kebas jari-jemari kaki. Dengan terhencot-hencot Hakimi melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi rehat yang menghadap tasik. Sambil termengah-mengah itu Hakimi mengeluarkan ‘Ventolin Evohaler’nya, lantas menekan tiub, Hakimi menyedut gas ‘ventolin’ itu dalam-dalam sebanyak tiga kali. Sama macam dia menyedut asap rokok Dunhillnya.
            Tiba-tiba satu suara menyapa Hakimi.
            “Assalamua’laikum !,”
            “Waa’laikum salam,” jawap Hakimi sambil menoleh ke arah suara yang memberikan ucapan selamat ke atasnya itu.
            Seorang perempuan berjubah cokelat kehitaman dan bertudung labuh cokelat susu menghampirinya.
            “Sakit ke ?,” tanya perempuan itu.
            “Hmm! Taklah sakit sangat, Cuma penat je!,” Hakimi terasa malu-malu untuk menjawab. Memang sebenarnya kakinya tak berapa sakit, tapi dadanya yang terasa sesak sedikit setelah berlari hanya separuh pusingan sahaja. Itulah bahananya orang yang telah sedia ada penyakit athma tapi masih berdegil menghisap asap beracun. Hakimi tahu itu. Cuma kedegilan akibat ketagihan memuncaknya menjadikannya sukar meninggalkan rokok. Pada hal, beliau bukanlah seorang perokok sewaktu Hakimi persekolahan.
            “Ooo! Ingatkan dah tak boleh jalan lagi!,” usik perempuan itu sambil tersenyum melihat Hakimi yang termalu-malu sendiri
            “Boleh!, lagi dua tiga pusingan pun boleh,” balas Hakimi yang masih tercungap-cungap keletihan.
            Perempuan yang nampak mesra itu meminta izin dari Hakimi untuk duduk disebelahnya. Tidak terlalu rapat dan Hakimi juga tahu keadaannya ketika itu. Hakimi mengensotkan sedikit punggungnya ketepi.
            Kedua-duanya menghadap tasik. Air pancut yang tidak penat-penat memancutkan airnya, seperti menyindir Hakimi yang keletihan. Angin yang sedikit kuat membawa percikan air pancut itu ke arah mereka. Percikan air yang jatuh kembali ke tasik menghasilkan suatu irama yang tiada siapa dapat membacanya.
            “Boleh saya tanya, saudara ni Hakimikan?,” tanya perempuan itu membuka bicara di petang yang damai.
            Deruan LRT yang agak kuat, meminta perempuan itu mengulangi pertanyaannya.
            “Saudara ni Hakimikan?” tanyanya agak sedikit kuat dan serius, setelah melihat Hakimi mengerutkan mukanya diketika deruan LRT tadi.
            “Ya, saya Hakimi,” Hakimi menjadi gusar tiba-tiba. Bagaimanakah perempuan ini boleh mengenalinya. Sedangkan masing-masing belum memperkenalkan diri lagi.
            “Hakimi Othman?” soal perempuan itu mohon kepastian.
            “Ya, saya!,” Hakimi semakin kebingungan.
            Melihat kepada rupa paras perempuan itu, Hakimi mengagak, ia mungkin lebih tua dari dirinya. Tanpa membiarkan dirinya tertanya-tanya sendiri, sepantas itu pula Hakimi membuat pertanyaan.
            “Akak ni siapa?,” tanya Hakimi dengan harapan agar perempuan misteri ini tidak membiarkan dirinya dibelenggu persoalan.
            “Hakimi, ingat tak masa sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Petaling dulu. Masa tu Hakimi tingkatan satu. Ingat tak bagaimana Hakimi kena ‘debik’ kat belakang oleh Ketua Pengawas?,” perempuan itu memandang muka Hakimi ingin melihat reaksi pemuda yang pernah dikenalinya  ini.
            “Ya!, ya! saya ingat. Saya masih ingat peristiwa itu. Saya tidak akan lupa sepanjang hidup saya,” Hakimi mula mengingati satu persatu peristiwa yang membuatkan dia dihukum oleh Ketua Pengawas sekolah.
            Pada hari itu semua guru tingkatan satu menghadiri mesyuarat bersama Guru Besar sekolah. Jadi pengawas-pengawas tingkatan empat dan lima ditugaskan mengawasi pelajar-pelajar ditingkatan satu. Seorang pengawas perempuan tingkatan empat telah ditugaskan mengawasi kelas Hakimi iaitu Tingkatan Satu Perdagangan.
            Keadaan kelas yang bila-bila masa sahaja ketiadaan guru akan menderukan satu deruan yang lebih bingit dari deruan LRT. Suara hingar-bingar itu tiba-tiba terhenti apabila seorang pengawas perempuan bertudung hijau pekat dan memakai ‘blazer’ hitamnya melangkahkan kaki ke dalam kelas. Keadaan sunyi sepi seperti lapangan terbang yang tidak lagi digunakan. Pengawas perempuan yang manis bertudung itu telah memukau semua mata yang memandangnya. Seperti ada satu kuasa mengnet yang menarik semua anak-anak mata ke arahnya.
            Tanpa sesiapa pasti satu seruan terkeluar dari belakang kelas.
            “Wooowiitt!!”
            Sekali lagi kelas menjadi hiruk-pikuk. Kelas yang mempunyai pelajar lelaki lapan puluh peratus itu menenggelamkan jeritan dari pengawas perempuan yang tercegat dihadapan kelas.
            “Diam!!, siapa  yang buat bunyi tu tadi?!,” jerit pengawas perempuan itu.
            Setelah soalan itu diulangi beberapa kali lagi, secara spontan pula seluruh kelas mengarahkan mata mereka ke arah Hakimi.
            Pengawas perempuan itu berjalan menghampiri meja Hakimi. Bunyi tapak kasut kulitnya membuatkan Hakimi tersengeh sendiri. Hakimi membayangkan askar  yang sedang berkawat membuat perarakan perbarisan.
            “Awak yang buat bunyi anjing menyalak tu tadi ya?” tanya pengawas perempuan,  tegas walaupun ketika itu hatinya culas. Kerana yang berdiri dihadapanya seorang budak lelaki yang sama tinggi dengan bapamya.
            “Eh! mana ada kak. Tak terlintas saya nak jadi anjing kak!,” Hakimi  cuba menafikan perbuatanya.
            “Awak jangan main-main dengan saya,” bentak pengawas perempuan itu.
            “Saya tak nak main-main kak, saya nak pergi berkawat kak!, Akak nak ikut,” jawapan Hakimi membuatkan rakan-rakan disebelahnya tergelak..
            “Siapa nama awak?,” kesabaran pengawas perempuan itu semakin terhakis.
            “Nama akak siapa?,” Hakimi pura-pura bertanya sedangkan dia sudah tahu nama pengawas perempuan itu dari tanda nama yang dipakainya.
            “Ketua kelas tolong beri nama dia pada saya!” pengawas perempuan yang sudah hilang sabar itu mengarahkan ketua kelas.
            Setelah mendapat nama Hakimi, pengawas perempuan itu keluar meninggalkan kelas. Dan kelaspun kembali hingar-bingar.
            Selang beberapa minit kemudian, pengawas perempuan itu kembali bersama seorang lelaki. Sebaik sahaja melangkahkan kakinya ke dalam kelas, lelaki itu memberi salam dan memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Pengawas Sekolah. Kelas yang sedari awal lagi telah melihat ketua pengawas tersebut datang, melalui celah-celah tingkap nako telah lama menyepi.
             “Boleh saya tahu siapa yang bernama Hakimi?,” tanya ketua pengawas itu dengan nada lembut.
            Melihatkan ketua pengawas itu tidak menunjukkan kemarahannya, Hakimi dengan bangganya berdiri.
            “Saya Hakimi,” kata Hakimi sambil menjeling kepada pengawas perempuan yang berdiri disebelah ketua pengawas.
            “Boleh minta ke hadapan sekejap,” minta ketua pengawas.
            Hakimi dengan lagak beraninya berjalan menuju ke hadapan, sambil melakukan kawad kaki, lagak sebagai seorang askar. Kelas kelihatan tersenyum melihatkan telatah Hakimi yang melakukan kawad kaki itu sambil tangannya dihayunkan kiri dan kanan.
            Hakimi terus sahaja berjalan sehingga berdiri betul-betul dihadapan ketua pengawas tersebut. Tiba-tiba…
            “Gedebuk!!!” tangan ketua pengawas hinggap di belakang Hakimi.
            Mata Hakimi tiba-tiba berpinar. Seluruh urat sarafnya lemah. Hakimi terjelepok di lantai. Ketua Pengawas panik. Pengawas perempuan juga panik. Hakimi di bawa ke Hospital Universiti.
            Hakimi membuka matanya. Di sisinya duduk seorang gadis manis bertudung hitam, ada corak benang emas di sisinya. Gadis itu melakarkan senyuman. Hakimi membalasnya. Hakimi kenal gadis itu. Doktor  masuk memeriksa lapuran perubatan Hakimi.
            “Kamu tahukan kamu tu semput, jangan bergurau lebih-lebih. Semput kamu tu tak berapa serius. Tapi boleh jadi merebak jika kamu tidak mengawal kesihatan kamu sendiri. Nanti siapa juga yang susah,” Doktor Zainal mengomel panjang.
            Hakimi kebingungan. Seingat-ingatnya dia tidak bergurau sebelum dia terasa belakangnya di’debik’ orang ketika di kelas pagi tadi. Hakimi menoleh kepada gadis yang berada dibirai katilnya sambil mengerutkan dahinya. Gadis itu tersenyum sambil mengangkat kedua-dua bahunya. Seolah-olah tidak faham apa yang bermain difikiran Hakimi.
            “Jangan lupa makan ubat. Sekejap lagi kamu boleh balik,” kata Doktor Zainal sambil meninggalkan mereka berdua dengan Hakimi yang terus-terusan kebingungan.
            Melihatkan Hakimi yang diselubungi kebingungan, gadis yang dari tadi asyik tersenyum mula menerangkan kepada Hakimi tentang kisah sebenar. Rupa-rupanya pihak sekolah telah menukarkan cerita sebenar tentang peristiwa pagi tadi kepada Dr. Zainal. Hakimi telah dilapurkan bergurau dengan rakan sekelas sehinggkan ada rakan lain telah memukul tanpa sengaja belakangnya. Gadis itu juga memberitahu, Guru Besar telah memanggil beliau dan ketua pengawas, lalu diberikan  amaran keras.
Gadis itu juga memohon maaf kepada Hakimi atas aduannya kepada ketua pengawas sehingga menyebabkan Hakimi terlantar di hospital. Gadis itulah, pengawas perempuan yang menjadikan semua hal ini terjadi. Pengawas perempuan itu jugalah yang sedang berada disebelahnya ketika ini.
“Jadi akak ni kak Nurizati ya,?” Hakimi mula memberanikan dirinya.
Nurizati menganggukkan kepalanya, sambil mengalihkan pandangan ke arah seorang kanak-kanak yang berlari mengutip bola yang dilontarkan ayahnya. Hakimi memandang perempuan bertudung labuh disebelahnya. Keayuan wajah pengawas perempuan itu masih terserlah. Biarpun hampir lapan tahun mereka tidak pernah bertemu.
            Sejak detik peristiwa Hakimi di’debik’ oleh ketua pengawas, Nurizati dan Hakimi jadi semakin akrab. Keakraban mereka seperti seorang adik dan kakak. Nurizati yang ketika itu berada di tingkatan empat mengambil Hakimi sebagai adik angkatnya. Nurizati banyak memberi dorongan dan nasihat. Hakimi yang sememangnya tidak mempunyai saudara perempuan seolah-olah mendapat cahaya baru dalam kehidupanya. Hakimi merupakan anak yang ke tiga dari empat orang adik beradik lelaki kesemuanya.
            Sifatnya yang keras dan kasar sudah sebati dalam diri. Namun hati kecil itu amat lembut dan mudah terasa. Hanya luarannya sahaja yang nampak keras, degil dan kasar.
            “Hakimi buat apa sekarang?” tanya Nurizati.
            “Ni, tengah duduk sembang-sembang dengan kakak yang sudak lama tidak berjumpa,” jawab Hakimi bersahaja.
            Nurizati tersenyum. Mahu di cubitnya peha adik angkatnya yang nakal itu. Namun menyedari keadaan yang telah berubah Nurizati hanya mencemekkan mukanya sahaja.
            Sengal di kaki nampaknya sudah hilang. Pernafasan selepas menyedut ‘Ventolin Evohalear’ juga nampak lega. Hakimi bangun mencekak pinggangnya dan memusing-musingkan badannya ke kiri dan ke kanan.
            “Selepas tamat sekolah saya kerja di Lembah Pantai. Sampai sekarang.”
            “Hakimi tidak lanjutkan pelajaran?” Tanya Nurizati.
            “Tidak sempat kak!” Jawab Hakimi.
            “Apa yang tidak sempatnya?” Tanya Nurizati inginkan kepastian.
            “Bercinta bagai nak rak! lima tahun kami bercinta. Kemudian kahwin. Kami mampu bertahan hanya lima bulan sahaja,” jelas di wajah Hakimi ada riak kekecewaan.
            “Jadi Hakimi dah kahwinlah ya?”
            “Kahwin pun serupa tak kahwin kak. Selepas proses kaunseling di Jabatan agama, kami berdua sama-sama bersetuju untuk berpisah”
Hakimi meletakkan dua sikunya di atas penghadang besi sambil menopangkan dagunya. Merenung riak-riak air di permukaan tasik yang dibuat oleh ikan-ikan Talapia dan ikan Bandaraya. Mengingati sejarah hitam yang ditinggalkan bukanlah sesuatu yang terbaik. Ianya seperti mengundang igauan menakutkan. Dan Hakimi akur segalanya adalah ketentuan Ilahi.   Hakimi sebenarnya malas hendak mengingatkan peristiwa yang mengubah kehidupannya itu. Sementelahan dia sudah tidak punya apa-apa ikatan lagi untuk diingat-ingatkan.
            “Akak pula buat apa?,” Hakimi cuba mengubah tajuk persoalan.
            “Ni! Hah!, tengah sembang dengan duda berhias!,” ujar Nurizati pantas mengenakan Hakimi.
Mereka sama-sama ketawa. Ketawa dua orang saudara angkat atas ikatan perkenalan yang tidak terdugakan. Lama sudah mereka tidak ketawa bersama. Dua orang gadis bertudung mini sambil berlari di hadapan mereka menoleh sambil tersenyum.
            Suasana hening seketika, masing-masing mengimbau kenangan silam yang ditinggalkan. Mengenang kembali saat-saat manis zaman persekolahan. Keakraban mereka selepas kejadian Hakimi ‘didebik’ telah membuatkan rakan-rakan memandang serong terhadap mereka berdua. Malah cikgu Mokhtar, guru disiplin yang tak pernah lekang dengan kopiah Hijjaznya pernah memanggil mereka berdua.
            “Saya dapat lapuran yang awak berdua sering dilihat berdua-duaan. Betul ke?,” tanya cikgu Mokhtar sambil menarik kerusinya dan duduk berhadapan mereka. Nurizati tunduk memandang lantai seperti orang salah yang menunggu dijatuhi hukuman. Hakimi memandang cikgu Mokhtar. Mahu saja ditumbuknya cikgu disiplin itu.
“Serkap jarang. Buruk sangka. ‘su’u dzan’,” herdik Hakimi dalam hati. Nampak saja alim. Tapi sama macam orang tidak ada iman. Hakimi mengomel lagi sendirian.
“Nurizati!, Hakimi!, kamu dengar tidak soalan saya?” sergah cikgu Mokhtar sambil menghentak meja. Beberapa orang guru yang sedang menulis tugasan memandang mereka.
            “Dengar cikgu,” jawab Nurizati antara  dengar dengan tidak.
            “Awak sebagai pengawas, sepatutnya awak menjadi contoh kepada yang lain. Awak kan nak ambil SPM tahun ni. Lebih baik awak tumpukan pada peperiksaan awak,” leter cikgu Mokhtar, sambil menanggalkan kopiahnya dan diletakkan di atas meja.
            “Kami bukannya buat apa-apa cikgu,” Hakimi mencelah berani.
Kegarangan dan ketegasan cikgu Mokhtar semua pelajar sedia maklum. Memang cikgu Mokhtar mahsyur dengan misai dan janggutnya. Ada sesetengah pelajar menggelarkannya Tok Janggut.
            “Saya tahu kamu tidak buat apa-apa. Tetapi kamu akan jadi contoh pada pelajar lain. Kalau saya biarkan kelakuan kamu berdua, mereka juga akan ikut. Akhirnya saya juga yang disalahkan kerana membiarkan pergaulan bebas di sekolah ini. Saya panggil kamu berdua ini hanya untuk mengingatkan kamu. Kamu berdua adalah pelajar yang baik. Saya anggap kamu sebagai anak-anak saya sendiri. Sekarang kamu boleh keluar. Saya tidak mahu nanti ada lagi lapuran tentang kamu berdua,” leter lagi cikgu Mokhtar panjang.
            “Terimakasih cikgu,” Nurizati dan Hakimi serentak bangun dan meninggalkan bilik guru.
            Semenjak hari itu hubungan mereka semakin renggang. Hanya sesekali mereka berbual apabila terserempak di kantin sekolah atau di pondok menunggu bas.
            Selepas tamat SPM Nurizati langsung terputus hubungan dengan Hakimi. Bapanya yang bertugas dengan Jabatan Imigresen telah ditukarkan ke Bukit Kayu Hitam di Kedah. Iaitu sempadan Malaysia dan Thailand. Dengan keputusan SPM yang agak cemerlang, Nurizati melanjutkan pelajaran di salah sebuah unversiti tempatan di utara semenanjung. Setelah mendapat ijazah dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia, Nurizati bertugas pula di Sungai Petani. Ketika di Sungai Petani Nurizati bertemu jodoh dengan Mustafa Kamil.
            Namun jodoh mereka tidak panjang. Nurizati diceraikan. Rumah tangga mereka hanya bertahan selama satu tahun. Ini adalah gara-gara adanya pihak ketiga. Perhubungan Nurizati dan Mustafa adalah atas dasar cinta mencintai. Malah perkahwinan mereka juga dilangsungkan dengan mendapat restu ibu bapa kedua belah pihak. Namun segalanya berakhir apabila Mustafa mengambil kata putus untuk berpisah setelah Nurizati mendesak agar dia diceraikan.
            “Kak!” Hakimi memeranjatkan Nurizati, melihatkan kakak angkatnya itu bermenung jauh.
            “Huh!, apalah Hakimi ni buat terperanjat orang sahaja,” ujar Nurizati.
            “Akak tunggu kejap ye! Saya nak beli rojak buah,” Hakimi berlari-lari anak ke arah tempat pakir kereta.
            Terdapat beberapa gerai lori kecil yang menjual minuman dan kuih-kuih goreng, seperti goreng pisang, keropok lekor dan rojak buah di pakir kereta bersebelahan bangunan Tenaga Nasional Berhad.
            Sebentar kemudian Hakimi tiba bersama dua bungkusan plasitik. Hakimi mengeluarkan satu kotak kecil rojak buah dari bungkusan plastik merah. Satu lagi bungkusan air kotak disangkutkan dihujung kerusi tempat Nurizati duduk.
            “Makanlah kak,” pelawa Hakimi sambil menghulurkan rojak buah. Rojak buah yang dihiris kecil bercampur-campur dengan buah nenas, kedondong, mangga, timun, jambu air dan sengkuang itu memang mengiurkan. Kelazatannya dapat dinikmati apabila digaulkan dengan serbuk kasar kacang tanah.
“Fuh! memang menyelerakan,” kata Nurizati apabila membuka kotak polistrin putih.
“Belum cuba belum tahu,” seloroh Hakimi sambil membuka sebungkus lagi rojak buah untuknya.
Nurizati dan Hakimi keasyikan, menikmati rojak buah petang itu
Bayang-bayang bangunan Amcorp Mall yang jatuh meredupkan kawasan tasik memberi keselesaan kepada mereka bedua. Panas matahari yang beransur-ansur tenggelam menyelerakkan cahaya merahnya di kaki langit. Tetamu-tetamu Taman Tasik ini juga semakin beransur pulang. Burung-burung Gagak kembali meneruskan penerbangan berkawan-kawan menuju ke destinasi pasti mereka. Anak-anak berlari riang menuju ke kenderaan untuk pulang setelah letih bermain bersama keluarga. Pakcik yang berniaga rojak buah juga sudah mula mengemaskan barang-barang ke dalam lori kecilnya. Sebentar lagi malam pun melabuhkan trainya.

No comments:

Post a Comment