Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Wednesday 13 July 2011

Surat Rayuan

SURAT RAYUAN 

Hasrat menunaikan haji pada tahun 2010, jelas berkobar-kobar dan dapat dilihat pada wajah-wajah emak, Uda, Ucu dan Sobah. Mereka kerap berbincang sekirannya berkesempatan pada setiap hujung minggu ketika menziarahi emak dan ketika Uda pulang bercuti. Telah menjadi rutin kami adik beradik kecuali Uda, untuk berkumpul di rumah emak setiap hujung minggu, sabtu malam ahad. Dari setiap perkataan yang emak lontarkan, saya dapat merasakan emak begitu berkeyakinan akan dapat pergi mengerjakan haji pada tahun itu. Setelah beberapa perbincangan dibuat, Ucu bersetuju untuk menulis surat rayuan mengerjakan haji tahun 2010 kepada Tabung Haji. Manakala Sobah pula berusaha menyerahkan salinan surat itu kepada Kak Jun, salah seorang rakannya yang dikenali ketika sama-sama belajar dikuliah sarjana mereka. Saya tidak pernah melihat surat rayuan yang ditulis oleh Ucu itu. Namun saya juga sempat berkata kepada Ucu sebelum surat itu beliau tulis, agar dimasukkan sekali nama saya. Manalah tahu kalau ada rezeki, saya berubah fikiran.
Program kursus haji berjalan seperti biasa. Emak, Ucu, Sobah dan Uda, hampir tidak pernah ketinggalan menghadiri kursus haji. Ada kesempatan Ucu atau emak akan berkongsi risalah, buku serta DVD kursus haji yang mereka hadiri, untuk kami ikuti. Memandangkan Sobah mengikuti kursus anjuran syarikat Ash-Har, sudah pasti kuliah yang disampaikan tidak sama dengan penyampaian ustaz dari tabung haji. Jadi Sobah telah membeli sejumlah CD kuliah haji bersiri oleh Ust Haji Samsudin Sidek dengan harga RM100. Uda juga turut membeli CD berkenaan. Saya mengambil kesempatan itu sekadar mendapatkan sedikit ilmu tetapi bukan secara serius. Kami sekeluarga juga turut mengadakan kenduri, serta bacaan Yasin memohon kepada Allah agar permohonan rayuan mengerjakan haji tahun 2010, diterima.
Penulis bersama Ust Hj Samsudin Sidek ketika Kursus Haji Perdana di Mesjid Negeri Shah Alam. 
Emak beberapa kali  bertanya saya sama ada saya hendak pergi atau tidak. Malah emak juga sanggup mengeluarkan sedikit simpanan dari tabung hajinya sekiranya saya memerlukan.
“Kamu tidak mahu pergi ke ?” Tanya emak.
“Tidak mengapa, kamu pakailah dahulu duit simpanan emak di Tabung Haji itu,” sambung emak lagi.
‘Tidak mengapalah emak, biarlah Sobah pergi dahulu. Nanti ada rezeki saya pergi juga,” jawab saya.
Saya tetap dengan alasan yang serupa. Anak-anak bersekolah, tinggal di asrama, kelas tusyen dan beberapa lagi alasan yang sememangnya sedang saya pikul ketika itu. Biarlah Sobah pergi dahulu, itulah diantara alasan yang saya kira kukuh, menjadikan emak seolah-olah kecewa dan hampa. Alasan-alasan saya itu bukanlah sesungguhnya datang dari hati kecil. Ia hanyalah sekadar keluhan, untuk melarikan diri dari terus-terusan diasak dengan harapan dari emak. Umur saya waktu itu 43 tahun. Saya redha sekiranya bukanlah rezeki saya untuk pergi menunaikan haji pada tahun 2010 dan sekiranya dipanjangkan umur, saya ingin pergi setelah umur saya 50 tahun. Dimana saya akan dapat mengeluarkan wang KWSP dan waktu itu pula anak-anak sudah mampu hidup sendiri. Bermakna saya akan pergi bersama-sama Kak Long. Kak Long pun sudah membisikkan kepada saya agar saya dapat menemaninya nanti.
Harapan dan kesungguhan emak untuk saya bersama-samanya menunaikan haji sesungguhnya membuatkan saya terharu. Kak Nurul, keretanya yang Sobah tumpangi untuk pergi ke kursus haji, juga pernah bertanya kepada saya sewaktu saya mahu menutup pintu keretanya;
“Kamu tidak berhajat ke untuk pergi sekali dengan Sobah?” Tanya Kak Nurul.
 Alasan yang sama saya berikan kepada emak, itulah juga alasan yang saya berikan kepada Kak Nurul.
Sobah juga pernah merayu saya agar pergi bersamanya;
“Kasihan Ucu kena jaga kami tiga orang,” kata Sobah sewaktu kami dalam perjalanan pulang dari kerja.
“Nampaknya terpaksalah tumpang muhrim dengan emak dan Uda,” Sobah meluahkan keluhannya sambil memandang keluar tingkap kenderaan.
Kesesakan lalulintas di bawah jambatan MRR2 berhadapan Giant Batu Caves, mengeraskan lidah saya untuk berkata-kata. Lama saya biarkan keluhan Sobah itu.
Giant Batu Caves
“Mungkin saya akan pergi juga satu hari nanti,” jawapan mudah tiba-tiba keluar dari bibir saya.
“Semua orang hendak pergi Mekah, tetapi masalah kita tidak sama,”
“Anak siapa hendak jaga. Musim haji jatuh semasa persekolahan lagi. Bukan musim cuti. Kelas Tusyen mereka juga nanti tertinggal,” saya menjawab dengan panjang lebar.
Semenjak itu Sobah tidak lagi bertanyakan perihal saya yang tidak mahu bersamanya ke Mekah.
Pertanyaan dan persoalan berkenaan hasrat untuk menunaikan haji bersama-sama emak dan lain-lain sebenarnya sangat-sangat menyentuh hati kecil ini. Perasaan ini sesungguhnya terlalu lama saya pendamkan. Cuma kerana kehidupan yang agak sibuk serta simpanan yang lebih banyak keluar dari masuk menjadikan isu mengerjakan haji berada pada aras senarai yang terkebawah dalam kehidupan. Kenyataan ini bukanlah bermakna saya langsung meminggirkan kewajipan dari rukun Islam yang ke lima itu, tetapi tuntutan dan rantaian keduniaan menjadikan hasrat itu dikesampingkan untuk sementara waktu.
Berbicara tentang kewangan saya yang telah sekian lama membuka akaun di Tabung Haji, iaitu semenjak saya mula-mula berkerja pada tahun 1985 hingga penghujung 2009, jumlah simpanan tidak pernah tetap. Malah langsung tidak pernah mencecah RM 5000 dalam setahun. Walaupun potongan gaji yang saya buat berjumlah RM200 setiap bulan. Tetapi setiap hujung bulan saya akan ke Tabung Haji mini di Batu Caves, untuk membuat pengeluaran. Sehinggakan pengawal keselamatan yang bertugas di situ sudah menjadi kenalan saya.
Tabung Haji Mini Batu Caves
Apabila Bank Islam membuat persetujuan dengan Tabung Haji untuk memudahkan simpanan dan pengeluaran melalui mesin ATM Bank Islam, maka, saya sudah boleh tersenyum lega, kerana saya tidak lagi perlu ke Tabung Haji mini Batu Caves untuk membuat pengeluaran. Malah saya juga tidak perlu lagi bertemu muka dengan pengawal keselamatan di sana. Walau pun pengawal keselamatan itu peramah, tetapi beliau tidak pernah bertanya saya bila saya mahu mengerjakan haji. Tetapi Kakak di kaunter pengeluaran pernah sekali menegur saya setelah beliau mencetak buku akaun Tabung Haji saya. Sambil menyerahkan buku akaun dan kad pengenalan saya, kakak tersebut bertanya;
"Ni asyik keluar saja, bila nak pergi Mekah?"
Walaupun perasaan saya tersentap dan muka terasa tebal, namun senyuman pahit juga yang dapat saya lemparkan akhirnya. Siapa yang tidak mahu pergi Mekah? Kalau ada duit hari ini juga saya dah pergi. Kata-kata itu hanya mampu saya hamburkan di dalam hati. Selebihnya saya hanya mampu berdoa kepada Allah, suatu hari nanti saya juga akan ke Mekah menjadi tetamuNya, yang paling istimewa. Paling, paling istimewa. Paling, paling, paling istimewa. Seperti kata Profesor Kamil Ibrahim di dalam ceramahnya, yang saya beli bukunya tempohari. Insyaallah perginya saya nanti sebelum saya menghembuskan nafas terakhir.
Prof. Muhd. Kamil Ibrahim
Perancangan emak, Ucu, Uda dan Sobah hendak ke Mekah telah kami sembunyikan dari pengetahuan jiran dan kenalan. Kami cuma memberitahu adik-beradik terdekat sahaja. Ini semua adalah kerana kami tidak pasti apakah mereka akan dapat pergi atau tidak. Kami juga tidak mahu perkara ini diheboh-hebohkan, takut-takut timbul pula riak dan ujub di hati mereka.
http://muhdkamil.org/

No comments:

Post a Comment