Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Wednesday 20 July 2011

Pemandu Teksi Berbahasa Melayu

Suatu hari kami menaiki teksi yang pemandunya warganegara Bangladesh. Setelah bertanyakan harga tambang dan kami setuju dengan tambang yang ditawarkan, saya terus masuk ke dalam teksi tersebut dan duduk di kerusi bahagian hadapan. Kemudian barulah Ucu dan yang lain masuk dan duduk di bahagian belakang. Pesan dari dulu kini dan selamanya oleh jemaah-jemaah haji ialah ketika masuk ke dalam teksi, biar lelaki yang masuk dahulu kemudian baru perempuan. Kalau keluar teksi pula pastikan perempuan pula yang keluar dahulu. Dan inilah yang sentiasa kami amalkan sepanjang kami menaiki teksi di Mekah. Walaupun ini Tanah Haram namun segala kemungkinan boleh berlaku tanpa kita jangkakan. Sedang saya mengelamun dan melihat-lihat sekitar bandar Mekah, saya disapa oleh pemandu teksi tersebut.
            “Anta Malazie?” tanya beliau.
            “Na ‘am, ana Malazie,” jawab saya.
            “Haji?” tanya beliau lagi.
            “Na ‘am,” jawab saya sambil memandang tepat kemukanya.
            “Penang?” antara dengar dengan tidak.
            “La’, Kuala Lumpur,” jawab saya tersenyum sambil menoleh ke arah Ucu. Sekadar ingin memberitahu Ucu bahawa saya juga boleh berbahasa Arab.
            “Saya kerja Penang dulu,” tiba-tiba pemandu tersebut berbahasa Melayu.
            “Oh! Pulau Pinang?” tanya saya pula terkejut.
            Kami di dalam teksi tersebut semakin seronok apabila mendapati beliau boleh berbahasa Melayu. Emak, Uda, Sobah dan Ucu kedengaran berbisik-bisik di belakang. Mungkin mereka juga tidak menyangka pemandu tersebut pernah bekerja di Pulau Pinang.
            “Berapa lama kerja di Pulau Pinang?” semakin seronok pula saya bertanya.
            “Lima tahun,” jawab beliau.
            “Sudah kahwin?”
            “Sudah,”
            “Berapa anak?”
            “Empat,”
            “Isteri duduk di Bangladesh?”
            “Tidak, sini duduk,”
            “Berapa lama bawa teksi di Mekah?” perbualan kami semakin rancak.
            “Empat tahun,”
            “Sudah buat haji?”
            “Sudah, 2 tahun dulu,”
            “Ini teksi sendiri punya?”
            “La’, la’, ini sewa sama syarikat,”
            “Berapa bayar satu hari?”
            “60 Riyal, sini Arab susah cari makan, Malaysia senang,”
            Tiba-tiba beliau memberhentikan teksinya. Kami sudah sampai di Masjidil Haram bahagian bawah dalam terowong berhampiran tangga bergerak. Setelah membayar harga teksi, baru saya teringat untuk menanyakan nama beliau.
            “Shahid,” jawab beliau lalu memberikan nombor telefon bimbitnya. Beliau sempat mempromosi sekiranya kami ingin melakukan ziarah ke mana-mana di Mekah, bolehlah menghubungi beliau. Beliau sedia membantu. Hari-hari berikutnya kami tidak dapat menghubungi Shahid, kerana untuk menunggu beliau sampai ke hotel mungkin kami akan lewat ke mesjid. Jadi kami tahan sahaja mana-mana teksi atau kereta sapu.

No comments:

Post a Comment