Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Wednesday 14 September 2011

Solat Jenazah di hadapan Ka'bah

Setelah selesai, kami mengambil kedudukan masing-masing. Emak, Sobah dan Uda bergerak ke arah pintu Bilal. Di sebelah kiri terdapat tempat untuk jemaah wanita. Saya dan Ucu pula bergerak ke arah tempat solat jenazah. Di sekitar tempat itulah kami solat hampir sepanjang kehidupan kami di Mekah. Hampir setiap waktu solat juga, solat jenazah dilakukan selepas solat fardhu. Ini bermakna setiap waktu solat pasti ada jenazah. Pada mulanya kami masih malu-malu untuk mengiringi jenazah. Tetapi kerana rindukan pahala, kami jadi seronok pula membantu mengusung jenazah hingga ke luar pintu mesjid dan masuk ke dalam van jenazah. Pernah satu ketika, terdapat dua belas jenazah di hadapan kami. Terdapat juga jenazah dari Malaysia. Ini kami yakini kerana terdapat beberapa orang petugas Tabung Haji turut sama mengiringi jenazah tersebut.

Hajar Aswad yang tidak mampu kami kucup...

Kami selesai melakukan tawaf sekitar 45 minit. Saya meminta semua supaya meneruskan satu pusingan lagi sebagai meraikan rehlah, kedatangan kami ke sisi Ka’bah. Ketika ini kami merapatkan badan ke sisi Ka’bah. Selepas melepasi Hajar Aswad yang sememangnya tidak dapat kami gagahi untuk mengucupnya, kami menyusur ke Makam Ibrahim. Kami berlima bersama merapatkan diri ke dinding makam. Kemudian kami berensot pula ke Hijir Ismail. Dalam lengkungan Hijir Ismail ini kami tidak dibenarkan masuk. Lalu kami melepasi Rukun Iraqi dan Rukun Syami. Setibanya kami di Rukun Yamani kami diberikan kelapangan oleh Allah untuk menyentuh Rukun Yamani. Ketika inilah saya menarik tangan Sobah dan Uda untuk sama-sama menyentuh Rukun Yamani dan dinding Ka’bah. Jelas ada air mata yang tumpah di pipi mereka berdua. Malah kami juga sempat mengucup dinding Ka’bah yang telah kami rindui selama ini.

Benar kami tidak mampu untuk berebut-rebut dan menolak-nolak jemaah lain semata-mata untuk mencium Hajar Aswad. Tetapi cukuplah bagi kami menyentuh Rukun Yamani dan dinding Ka’bah bagi merasai nikmat dari keizinan Allah yang maha agung ini. Titisan airmata kami tidak lagi dapat kami sekat dan bendung. Biarlah Ka’bah ini menjadi saksi bahawa kami terlalu amat rindu sepanjang hayat. Kami menghadapkan wajah ke arah Ka’bah ketika kami bersolat di tanahair. Tetapi kami tidak menyaksikan sendiri rupa bentuk Ka’bah yang sebenar. Tetapi hari ini kami bukan sahaja dapat melihat Ka’bah dengan dua biji mata, malah kami dapat menyentuh dengan tangan kami dan mencium Ka’bah. Itulah nikmat yang kami syukuri atas keizinan Allah jua.

Terlupa kiraan semasa Tawaf dan Saie

Ketika di tanah air, beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah, saya mendapat idea bagaimana mahu mengelakkan kami terlupa pusingan tawaf dan perjalanan saie. Terlupa kiraan ketika tawaf dan saie adalah perkara biasa berlaku kepada jemaah haji. Ini adalah kerana, mungkin terlalu khusyuk dengan bacaan-bacaan doa, terkasima dengan keadaan jemaah dari negara lain yang berbagai-bagai ragam dan sebagainya. Idea saya ialah saya telah mengambil kalender lama yang mempunyai saiz nombor yang besar, seperti ‘kalender kuda’. Saya guntingkan nombor 1 sehingga 7 bersaiz empat segi tepat. Kemudian saya ‘staplerkan’ di penjuru sebelah kiri. Saya telah membuat lima set nombor tersebut dan saya berikan kepada emak, Sobah, Uda dan Ucu.

Apabila selesai pusingan pertama, saya akan lipatkan nombor 1 dibelakang. Dan begitulah seterusnya. Ada dikalangan jemaah haji dari negara lain yang menggunakan cincin tasbih. Terdapat satu grgelung benang yang dimasukkan ke jari tengah dan tujuh butir biji tasbih diikatkan pada gelung tadi. Kata Ustaz Samsudin, ada juga jemaah yang menggunakan biji kacang hijau. Tetapi risiko menggunakan biji kacang hijau adalah besar. Memandangkan biji kacang hijau terlalu kecil ia mudah hilang apabila terjatuh. Malah boleh pula mengganggu jemaah lain apabila terpijak biji kacang tersebut. Sebenarnya terpulanglah kepada kreativiti anda untuk memudahkan anda melakukan ibadah. Yang pasti anda selesa dengan ibadah dan tidak termasuk dalam golongan mereka yang was-was dan mudah keliru.

Tuesday 6 September 2011

Peringatan Untuk Bakal Jemaah Haji 1432

BERHATI-HATI DI MEKAH

Semasa bakal haji berada di Mekah, bakal haji perlu berhati-hati kepada pihak yang tidak dikenali menawar beberapa perkhidmatan dengan di kena bayaran. Antara perkhidmatan adalah seperti berikut:
• Upah haji
• Bayaran dam
• Menjual batu permata, kayu kokak , minyak unta, minyak dop dan barang-barang lain yang dianggap pelik.
• Membantu untuk cium Hajar Aswad
Bakal haji juga perlu berhati-hati apabila membuat pembelian dengan penjual di merata tempat kerana mereka menjual tanpa kelulusan pihak kerajaan Arab Saudi. Apabila bakal haji sedang membuat pilihan dan memegang barangan, pihak berkuasa datang dan penjual akan lari memyebabkan bakal haji tidak sempat membuat bayaran.
Elakan membeli daripada penjual makanan di kaki lima atau di tepi jalan kerana di kuatiri tidak bersih. Penjual makanan akan menjual makanan dalam bekas yang nampak bersih. Pabila pihak berkuasa dtang mereka akan lari dan menyorokkan makanan di celah-celah bangunan yang tidak bersih. Kadang-kadang makanan mereka di rampas dan di buang dalam tong sampah, kemudian mereka mengambil balik da menjual kepada pembeli.
Bakal Haji wanita jangan membenarkan jurujual masuk dalam bilik tidur kerana dibimbangi akan terkena tipu. Mereka akan mebuat baik dengan salah seorang bakal haji yang akan mengaku kepada penjaga bangunan bahawa jurujual tersebut saudara sehingga dibenarkan masuk dalam bangunan.

Saturday 27 August 2011

Inilah Ramadhan Terakhirku

 Inilah Ramadhan Terakhirku

 
Kekadang bila usia semakin menjengah senja ini hati sesekali bersuara....apakah ini Ramadhan terakhirku...jika ini adalah Ramadhan terakhir ku, apakah aku telah mengisi kelangsungan rahmat yang ada pada Ramadhan dengan kewajaran yang tuntas atau sekadar mengisi ruang menggenapkan sebulan Ramadhan...entahlah...moga Allah menilai Ramadahanku ini dengan pandangan RahmatNya...dan sesekali hati berdetik....bukankah bagus dan baik sekali kalau aku tahu ini adalah Ramadhan terakhirku, kerana itu aku sudah pasti tidak akan meninggalkan walau sesaatpun Rahmat Allah yang menaungi Ramadhan kali ini. Bahkan akan ku telusuri setiap malam-malam terakhir mu Ramadhan dengan sujud syukur, tunduk tafakur, taubat dan nasuha yang ku hiasi sepanjang malam hingga nyingsing fajar.....entahlah...moga Allah Meredhaiku dan Merahmatiku....dan sesekali hati merayu....jika ini adalah Ramadhan terakhirku, berikan padaku ya Allah, satu saat yang dapat kukucup Rahmat dan RahimMu dalam wangian LailatulQadarMu....aku terlalu rindu menghirup debu Arafah, dinginnya Muzdhalifah, keletihan menuju Jamrah, berlari di perbukitan Safa dan Marwah serta mengucup Hajar Aswad.....Jika ini adalah Ramadhan terakhirku, berikanlah padaku satu saat untuk aku sujud di sisi mimbar Raudhah, kerana aku terlalu rindu dengan Rasulullah, berikan aku kesempatan terakhir ini untuk mengucap salam pada awan bumi rahmat HaramainMu....Jika inilah Ramadhan terakhirku.....sampaikan salamku pada seluruh isi alam bahawa aku adalah hambaMu yang terakhir mengisi Ramadhan ini dengan keampunanMu....amin...A.H.Zamansuria 27 Ramadhan 1432H

Friday 19 August 2011

Wednesday 10 August 2011

Bergerak Untuk Wukuf

Pergerakan jemaah haji untuk mengerjakan Wukuf di Arafah seawal 7 Zulhijjah lagi.

Dataran Ka'bah semakin lengang













Bermacam cara dan gaya jemaah bergerak ke Arafah.
Semuanya dengan satu tujuan untuk memenuhi manasik haji dan panggillan Labbaik...

Janji Allah tetap benar...keampunan sedang menanti jemaah di Padang Arafah

Tuesday 9 August 2011

Seruan Haji Oleh Nabi Ibrahim

Setelah selesai membina Kabah, Nabi Ibrahim berkata kepada Allah;

"Ya Allah, telah kusempurnakan rumah suciMu."

Allah menjawab, "Wahai Ibrahim serulah kepada manusia agar mereka datang untuk menunaikan haji."

Nabi Ibrahim bertanya, "Ya Allah, bagaimana suaraku mampu didengari oleh mereka?"

Allah menjawab,"Kamu lakukan seruan perintahKu dan Aku akan menyebabkan untuk sampai kepada mereka."

Lalu Nabi Ibrahim pun menyeru ke seluruh penduduk bumi yang seterusnya dengan izin Allah sampai kepada setiap manusia tentang pengisytiharan perkerjaan haji.

Tuesday 2 August 2011

SOLAT DI SAF KEDUA DI HADAPAN KA'BAH

Pada waktu yang lain pula saya dan Ucu pergi melakukan tawaf sunat berdua sahaja. Pada mulanya kami berjalan berbaris. Ucu di depan dan saya di belakang. Memandangkan jemaah semakin ramai, maka saya menganjurkan kepada Ucu agar kami bergadingan tangan, supaya kami tidak terpisah. Kami pun berjalan beriringan melakukan tawaf. Sekitar tiga puluh minit sebelum subuh kami selesai tawaf. Saya sekali lagi menganjurkan agar kami membuat satu pusingan tambahan untuk mendapatkan saf pertama seperti yang disarankan oleh Professor Kamil dalam bukunya.
            Sesampai sahaja kami di sebelah kanan Hijir Ismail, polis mula mengarahkan jemaah membuat saf. Cepat-cepat saya dan Ucu terus ke saf pertama. Saya dan Ucu tersenyum gembira kerana inilah pertama sekali dalam hidup kami dapat bersolat di hadapan Ka’bah pada saf yang pertama. Sedang kami berdiri untuk mengekalkan kedudukan di saf pertama tersebut, beberapa orang jemaah membuat kecoh dan berebut-berebut hendak solat di saf pertama juga. Tiba-tiba seorang polis datang dan beliau pun mengarahkan semua jemaah di kiri dan kanan kami berundur ke belakang. Kami pun berundur ke saf ke dua.
            Apabila polis tersebut bergerak semula ke tempat lain, jemaah yang lain masuk semula ke saf pertama tadi. Tetapi kami masih di saf ke dua bersebelahan dengan kiub putih yang menutup laluan masuk ke Hijir Ismail. Kami bersyukur, walaupun kami bersolat di saf ke dua tetapi kami masih tetap betul-betul di hadapan Ka’bah. Alhamdulillah. Kami solat sunat tawaf, tahajjud, taubat dan witir. Selang beberapa minit kemudian, azan subuh pun berkumandang. Kemudian kami juga dapat melihat wajah imam yang lalu di hadapan kami dan bersolat sunat di dalam Hijir Ismail di bawah Mizab, pancuran emas.
            Selesai sahaja solat subuh kami melihat jemaah sudah berebut-rebut masuk ke Hijir Ismail. Saya dan ucu juga turut sama. Kedudukan saya yang dekat dengan kiub putih memudahkan saya untuk masuk dan tidak perlu bertolak-tolak. Saya masuk ke dalam Hijir Ismail dan bersolat sunat di dalamnya. Ucu sudah tidak kelihatan lagi. Kami sudah terpisah. Apabila kami berkumpul semula ketika mahu pulang ke hotel di pintu Bilal, Ucu menceritakan bahawa beliau dapat bersolat sunat betul-betul di bawah Mizab. Itulah rezeki kami hari itu. Dimudahkan Allah untuk kami bersolat di saf ke dua dan solat sunat di dalam Hijir Ismail. Alhamdulilllah.

Sunday 24 July 2011

"Tawaf Kidai!!!???"

Sebenarnya ada beberapa jenis tawaf yang mesti diketahui oleh jemaah haji atau umrah. Tawaf Qudum ialah tawaf selamat datang. Iaitu tawaf yang dilakukan apabila jemaah haji atau umrah atau sesiapa sahaja yang baru menjejakkan kaki di Mekah disunatkan melakukan Tawaf Qudum. Terutama bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran. Manakala jemaah yang mengerjakan Haji Tamatuk,Tawaf Qudum telah digantikan dengan tawaf untuk umrah yang mereka kerjakan dimana mereka telah berniat umrah ketika di miqat. Tawaf Sunat atau juga Tawaf Tahiyyat dilakukan pada bila-bila masa apabila memasuki Masjidil Haram.
Bagi jemaah haji, Tawaf Ifadah adalah rukun yang mesti dilakukan oleh mereka. Haji tidak akan selesai tanpa Tawaf Ifadah. Tawaf Wida’ pula ialah tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji atau umrah atau sesiapa sahaja yang mahu meninggalkan Mekah, sebagai menghormati Baitullah Al-Haram, iaitu Ka’bah, rumah Allah. Ada satu cerita yang membuatkan kami ketika di bilik hotel hampir ‘pecah perut’ tentang tawaf. Kisah bermula apabila rakan sebilik Abang Ayub memberitahu kami beliau mahu pergi melakukan tawaf.
Saya yang agak hairan ucapan dari Abang Ayub lalu bertanya;
“Hai, tak kan hendak pergi tawaf pakai macam ini sahaja?” tanya saya.
Waktu ini Abang Ayub hanya berpakaian santai. Dengan baju ‘singlet haji’ dan berseluar biasa-biasa, beliau berjalan keluar melalui katil saya.
“Kenapa tidak boleh?” soal beliau pula.
Rakan sebilik yang lain hanya memerhatikan kami.
“Bukan begitu Abang Ayob. Saya rasa tidak sesuailah pakaian Abang Ayob hari ini hendak pergi tawaf. Tidak macam selalu. Biasanya, Abang Ayob siap dengan kopiah, jubah dan serban lagi,” ulas saya mengingatkan Abang Ayob.
“Atau Abang Ayob masih bermimpi lagi agaknya,” usik saya, menyedari yang Abang Ayub baru bangun dari tidur.
Setelah mendapat telefon dari Kak Siti, isteri beliau dari bilik sebelah, Abang Ayub bingkas bangun dari tidur dan terus berjalan keluar sambil memberitahu beliau mahu pergi tawaf.
“Aku hendak pergi tawaf kidai lah!” kata Abang Ayub.
“Ah, Sudah!” ujar Ucu terkejut setelah mengikuti perbualan kami.
“Apa Abang Ayub? Tawaf kidai?” tanya saya pula. Semakin bimbang dengan reaksi Abang Ayub, selamba.
Setahu kami, sepanjang kami belajar dan berkursus haji, selain dari Tawaf Qudum, Tawaf Ifadah, Tawaf Sunat dan Tawaf Wida’, tidak ada ‘tawaf kidai’.
“Aku hendak pergi dengan Kak Siti kamu lah. Dia sedang menunggu di luar,” sekali lagi saya mula meragui kata-kata Abang Ayub.
Setahu saya Abang Ayub beritahu, subuh tadi beliau pergi seorang diri ke mesjid. Kak Siti katanya uzur. Perempuan uzur tidak boleh melakukan tawaf. Tidak mungkin Abang Ayub tidak tahu tentang tawaf. Beliau dan Kak Siti sudah tiga kali menunaikan haji. Dan ini adalah kali ke empat mereka.
Melihatkan saya dan rakan-rakan sebilik yang lain semakin keliru dengan ungkapan ‘tawaf kidai’, Abang Ayub dengan muka ‘selamba’nya memberitahu kami.
“Tawaf kidai itu tidak perlu bersuci dari hadas. Tidak perlu dilakukan di dalam mesjid. Dan tidak perlu berjalan pusing tujuh kali mengelilingi Ka’bah,” kata beliau.
“Tawaf kidai, ialah tawaf dari satu kedai ke satu kedai yang lain”, tambah beliau lagi sambil ketawa besar.
Saya dan rakan-rakan yang lain turut ketawa apabila Abang Ayub menerangkan istilah sebenar ‘tawaf kidai’ tersebut berserta memek mukanya dan lakunannya sekali sambil bergerak dari satu katil ke satu katil yang lain di dalam bilik kami. Sungguh Abang Ayub punya pengalaman yang luas tentang ibadah haji. Pengalaman beliau itu banyak dikongsikan bersama kami semua rakan sebilik.

Thursday 21 July 2011

Ikhlas di hadapan Ka'bah

Saya menuruni tangga dataran Ka’bah. Di penjuru tembok yang berhadapan dengan Multazam disebelah kiri saya dapati ada tempat kosong. Tetapi di situ kelihatan ramai sekali jemaah wanita. Terutama dari Pakistan, Turki dan Iran. Bayang-bayang dari tembok tersebut sedikit meredupkan saya. Disebelah saya seorang jemaah perempuan Pakistan yang agak berumur, tidak berhenti-henti batuk. Namun tasbih di jari-jemarinya tetap bergerak pantas. Saya tergerak hati memberikan beliau ‘strepsil’ yang saya bawa. Saya berikan padanya sebiji. Pada mulanya beliau agak ragu-ragu untuk mengambil ‘strepsil’ tersebut, tetapi rakan disebelahnya mengisyaratkan supaya mengambilnya, barulah beliau berani mengambil ‘strepsil’ yang saya berikan itu. Selepas itu saya perasan makcik Pakistan tersebut asyik terus memandang saya. Macam ada sesuatu yang beliau pelik agaknya. Mungkinkah pada tanggapan beliau saya adalah makhluk asing yang turun bersolat di sini? Entahlah. Saya meneruskan ibadah-ibadah sunat yang lain sambil menunggu solat Jumaat.
            Satu peristiwa yang sangat-sangat menyentuh perasaan saya dan mungkin jemaah yang lain ialah bilamana seorang jemaah wanita Iran bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan ditangannya terdapat botol dan cawan. Di dalam botol tersebut terdapat air zam-zam. Dengan kain ela berbunga dan berjubah hitam, sambil tersenyum beliau menuangkan air zam-zam tersebut ke dalam cawan lalu diberikan kepada jemaah yang memerlukan. Sungguh-sungguh mulia tindakan yang beliau lakukan itu. Dengan teriknya panas matahari di atas kepala, dan tekak yang semakin kekeringan, jasanya yang mulia itu semoga mendapat balasan pahala yang besar pula dari Allah hendaknya. Saya mendoakannya di hadapan Ka’bah di situ juga.
Apabila air zam-zam telah habis di dalam botol, beliau kembali semula tempat air zam-zam dan mengisinya semula. Begitulah mulianya hati beliau. Selepas itu barulah saya melihat seorang lagi lelaki Pakistan melakukan perkara yang sama. Tergerak juga hati saya untuk berbuat seperti itu tetapi entahlah, mungkin perasaan malu atau sikap ego saya yang menebal membuatkan saya melepaskan pahala besar tersebut. Semoga pembaca yang membaca buku ini boleh mengambil cerita ini sebagai pengalaman manis untuk mendapatkan pahala yang besar di hadapan Ka’bah. Insyaallah. Ketika berjalan pulang melalui tembok yang mula-mula saya tiba tadi saya lihat makcik Pakistan masih lagi di tempatnya. Saya sempat memberikannya tasbih dan beberapa keping Riyal. Beliau nampak sungguh berterimakasih lantas menyebut;
“Syukria! Syukria!

Terlerainya Sebuah Harapan

Masjid Al-Amin, Sungai Layar, yang bersebelahan dengan satu kawasan perumahan masih seperti dahulu. Kawasan yang dahulunya lapang sebelum masuk ke kawasan mesjid, kini sedang rancak dengan pembangunan asrama tahfiz. Mesjid ini pernah mendapat pengiktirafan sempena sambutan Ma’al Hijrah dua tahun lepas sebagai mesjid contoh peringkat kebangsaan. Anak-anak hufaz yang belajar dengan Haji Salleh, Imam mesjid, datang dari seluruh Malaysia. Malah terdapat antaranya yang datang dari Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.            Disebelah kanan mesjid terdapat asrama sementara untuk pelajar-pelajar tahfiz. Asrama sementara itu sebenarnya adalah dewan mesyuarat. Ia telah diubahsuai untuk dijadikan asrama. Disebelah kiri, terpisah sedikit dari bangunan mesjid didirikan sekolah agama. Disekolah inilah tempat arwah ibu Nurizati mengajar anak-anak Kampung Sungai Layar mengaji Al-Quran. Di hadapan mesjid terdapat satu kawasan yang luasnya kira-kira setengah ekar tanah wakaf perkuburan. Dan di situlah arwah ibu Nurizati disemadikan.
            Di penjuru, di bawah rimbunan pohon-pohon kemboja, satu susuk tubuh, duduk teresak-esak sambil membaca ayat-ayat suci dari surah Yasin. Selesai membaca surah Yasin, Nurizati bangun membetulkan bajunya. Dicapainya jag plastik hijau disisinya yang berisi air mawar lalu  dijirusnya pusara ibu tercinta dari hujung kepala batu nisan hingga ke kaki batu nisan yang satu lagi. Dalam sendu dan esak Nurizati bermohon kepada Yang Maha Esa, agar dosa ibunya diampunkan dan rohnya ditempatkan bersama insan-insan yang soleh. Amin.
SK TUAN SYED JAN AL JAFFRI            Nurizati menyarungkan selipar Jepun birunya di pintu masuk kawasan perkuburan. Pengunjung-pengunjung tidak dibenarkan membawa kasut atau sepatu kedalam kawasan perkuburan. Ini bagi menghormati roh-roh yang bersemadi, kata siak Pak Tam Janggut kepada Nurizati sebelum dia melangkah masuk ke wakaf itu sebentar tadi.
Jambatan Semeling            Bertentangan dengan simpang tiga di hadapan Sekolah Syed Jan Al-Jefri, Nurizati membelokkan Kancil Birunya ke kanan menghala ke pasar Sungai Jagung. Selesai membeli beberapa barang keperluan Nurizati memandu terus ke Titi Semeling. Pemandangan indah dengan hutan rimba yang menghijau memukau mata memandang dari atas jambatan. Sungai Semeling yang kaya dengan khazanahnya menjadi sumber rezaki penduduk di pinggir-pinggir sungai terutama di Kampung Pulau Tiga. Sampai di simpang tiga Semeling Nurizati membelok ke kiri dan meneruskan perjalanannya. Nurizati meletakkan Kancilnya di bawah pokok rambutan menghadap pintu dapur. Dia tahu Mustafa pasti mengamuk kalau dia meletakkan Kancilnya di garaj kereta. Dia rela mengalah. Rumah banglo lama yang dibeli oleh Mustafa dengan pinjaman dari majikannya itu kepunyaan Cikgu Sidek, bekas guru besar sekolah. Selepas pencen Cikgu Sidek berpindah ke Taman Koperasi Polis bersebelahan Lebuhraya Karak, kerana mendapat tawaran mengajar di Gombak Kuala Lumpur.
            Nurizati membuka bonet belakang Kancilnya. Diambilnya bungkusan ikan patin dan sayur-sayuran.. Nurizati akan masak sedap-sedap malam ini. Malam ini adalah malam istimewa untuk mereka berdua. Sepanjang perkahwinannya hanya tahun pertama sahaja dia dan Musafa dapat sama-sama meraikan hari bersejarah ini. Dan tahun berikutnya hanya dia seorang sahaja yang meraikannya. Mustafa sudah tidak pernah lagi untuk memikirkan hari istimewa mereka berdua. Mustafa sekarang sudah selalu pulang lewat malam. Ada saja perkara untuk dibuat alasan. Sibuk, terlupa dan berbagai lagi alasan yang Nurizati sudah masak dan hadam dengan alasan Mustafa yang direka-rekanya itu.
Mustafa sebenarnya bukanlah manusia yang tidak mempunyai pegangan agama. Malah dari kecil lagi dia telah diberikan asas agama yang baik oleh arwah bapanya, Haji Ahmad, imam surau Kampung Pinang Tunggal. Ibunya juga merupakan bekas ustazah di salah sebuah sekolah agama rakyat di Taman Dato’ Harun. Benarlah seperti kata pepatah. Iman tidak mungkin dapat diwarisi.
            Sebenarnya sudah acap kali Nurizati memberi kata nasihat. Malah kelakuan Mustafa semakin menjadi-jadi. Setiap kali kata-kata nasihat atau pertanyaan yang Nurizati ajukan, maka setiap kali itulah ia akan diakhiri dengan perbalahan. Namun bila keadaan reda, pandai pula Mustafa memujuk untuk mendapatkan ‘sesuatu’ dari Nurizati. Dan selama ini pun Nurizati tidak pernah menghampakan ‘permintaan’ suaminya itu. Biarpun dalam keadaan demam dan letih. Lelaki yang bernama Mustafa ini bukan mengerti itu semua, yang penting kepuasan batinya dapat dilampiaskan.
            Pada awal-awal tahun perkahwinannya Nurizati cukup bahagia. Mustafa adalah suami idamannya. Mustafa tidak pernah balik lambat kecuali ada tugas di pejabat. Itu pun dia akan maklumkan pada Nurizati terlebih dahulu. Tanggungjawabnya sebagai suami tidak pernah diabaikan. Cuma rezeki untuk menimang cahaya mata belum diizinkan Allah. Mungkin ada sesuatu hikmah disebaliknya.
Perangai Mustafa mula berubah apabila bertemu semula dengan Agus rakan sekuliahnya sewaktu di universiti. Agus juga kerap datang ke rumah. Nurizati tetap melayan Agus, seperti dia melayan tetamu-tetamu sahabat suaminya yang lain. Cuma si Agus ini lain macam pula perangainya. Matanya tidak akan berkelip memandang Nurizati ketika Nurizati menghidangkan air minuman. Malah ada ketikanya waktu malam, Mustafa ada mesyuarat, walaupun Agus tahu Mustafa tiada di rumah, dia sengaja datang bertanyakan Mustafa pada Nurizati. Nurizati pun pelik dengan perangai sahabat suaminya yang seorang ini. Nurizati tidak pernah sekali-kali membenarkan sesiapa pun memasuki rumah tanpa izin suaminya.
            Aguslah yang telah menyucuk jarum syaitannya pada Mustafa. Diajarnya  Mustafa ke kelab dangdut, disco dan lain-lain. Malah dia mengumpan Mustafa dengan pelacur. Kehidupan Mustafa semakin hari semakin hancur. Duit gajinya habis dengan perbelanjaan keseronokannya. Dangdut, kelab malam, disco dan pelacur sudah menjadi kemestian disetiap malam minggu.    
            Setelah tidak tahan dengan perangai suaminya sekian lama, Nurizati nekad malam itu dia akan mengeluarkan segala isi hatinya yang terbuku sekian lama. Nurizati redha apa pun yang akan dilakukan oleh Mustafa. Sekiranya perpisahan itu ketentuan Tuhan dan itu adalah jalan terbaik, Nurizati redha. Kesabarannya sudah tidak dapat dibendung lagi. Dia mesti mendapatkan kepastian dari Mustafa malam itu juga.
            Dalam solat Isyak malam itu Nurizati memanjangkan sujudnya. Dengan air mata Nurizati memohon pada Allah diberikan kekuatan. Dia sudah tidak mampu lagi menanggung bebanan ini. Perkahwinan yang didasari dengan keikhlasan atas satu percintaan suci, sudah tidak seutuh Mesjid Baiturrahman di Aceh yang dilanda tsunami.
            Usai solat Isya’, Nurizati menyediakan makan malam untuk suaminya. Dia sudah tidak ada selera untuk menjamah makanan lagi. Walaupun kelaparan merobek-robek ususnya, dia tidak ada keinginan untuk mengisi perutnya. Fikirannya berkecamuk. Dengan kondisi yang tidak tenteram itu sempat juga Nurizati memasakkan ikan patin asam pedas. Ikan patin masak asam pedas atau masak lemak cili api adalah kegemaran suami tercintanya.
            Nurizati mengenakan gaun sutera ungu yang ditempahnya khas untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka malam itu. Nurizati tidak pernah lupa meraikan hari ulangtahun perkahwinan mereka. Cuma Mustafa sahaja yang tidak pernah menghiraukan keprihatinan isterinya itu. Selepas meletakkan air sirap bandung di atas meja Nurizati duduk di sofa antik kayu jati warna merun di ruang tamu sambil menonton televisyen. Nurizati sudah bersedia.
            Mustafa Kamil yang dikenalinya sewaktu di universiti dahulu tidaklah sepopular Agus. Agus memang dikenali oleh siswa-siswi di kampus. Agus anak Dato’ Syawal. Seorang Usahawan yang sangat dikenali di utara Semenanjung. Agus akan memandu Honda Accord hitamnya apabila menghadiri kuliah. Agus akan menggunakan kelebihannya itu untuk menggoda siswi-siswi. Agus bukanlah terlalu bagus dalam pelajarannya. Mustafa Kamillah yang banyak membantu Agus dengan nota-nota dan kerja kuliah. Mustafa adalah ahli jawatankuasa ‘Amal Maaruf Nahi Mungkar’ di kampus. Nurizati juga menganggotai jawatankuasa persatuan yang sama.
            Perkenalan yang membibitkan putik-putik percintaan bermula apabila suatu hari Nurizati mencabar Mustafa untuk merubah perangai Agus dalam satu mesyuarat. Perangai Agus dikhuatiri akan merosakkan siswi-siswi yang baru menjejakkan kaki di kampus. Mustafa menerima cabaran Nurizati. Setelah itu Agus mula berubah. Tetapi semuanya hanya lakunan. Mustafa meminta Agus berubah semata-mata untuk menambil hati Nurizati. Nurizati mengetahui semua lakunan mereka berdua apabila Mustafa sendiri menceritakannya semasa mereka berbulan madu.
            “Pang!!!,” gelas air bandung jatuh berkecai di lantai.
            Nurizati terkejut dari lenanya. Nurizati melihat jam di dinding. 2.30 pagi. Rupa-rupanya Nurizati tertidur ketika menunggu kepulangan suaminya. Nurizati berjalan menuju ke arah meja makan. Nurizati terperanjat apabila melihatkan suaminya yang sedang terbongkok-bongkok mengutip serpihan kaca.
            “Abang, bila abang balik?,” Nurizati turut duduk bertinggung membantu suaminya mengutip kaca-kaca di bawah meja.
            Mustafa tidak menjawab pertanyaan isterinya itu.
            “Tak apalah bang, nanti Zati kemaskan. Biar Zati ambilkan air sirap bandung lain untuk abang,” Nurizati menuangkan air sirap bandung ke dalam satu lagi gelas  untuk Mustafa. Ketika Nurizati menyuakan gelas kepada Mustafa, tiba-tiba Mustafa menepis gelas tersebut. Gelas yang berisi air sirap bandung itu terpelanting ke dinding dan jatuh ke lantai. Pecah berderai. Malam itu entah syaitan apa yang telah merasuk dalam badan Mustafa, dia seolah-olah telah hilang kewarasannya
“Kalau kau rasa dah tak bahagia kau boleh pergi berambus!,” Jerit Mustafa pada Nurizati.
“Abang! apa abang cakap ni?” Nurizati mula hendak menangis.
            “Berambus aku kata berambus!,” Mustafa yang dirasuki syaitan laknatullah, menarik rambut Nurizati. Diheretnya Nurizati sehingga ke luar rumah. Meja telefon jatuh terkena kaki Nurizati. Pasu bunga yang dibeli di Danok dua minggu lepas turut hancur berderai ditepis oleh Mustafa. Nurizati sempat menoleh ke pasu bunga itu. Berderainya pasu bunga itu seperti pecah berderainya harapan dan tempat pergantungan Nurizati pada Mustafa selama ini.

Wednesday 20 July 2011

Pemandu Teksi Berbahasa Melayu

Suatu hari kami menaiki teksi yang pemandunya warganegara Bangladesh. Setelah bertanyakan harga tambang dan kami setuju dengan tambang yang ditawarkan, saya terus masuk ke dalam teksi tersebut dan duduk di kerusi bahagian hadapan. Kemudian barulah Ucu dan yang lain masuk dan duduk di bahagian belakang. Pesan dari dulu kini dan selamanya oleh jemaah-jemaah haji ialah ketika masuk ke dalam teksi, biar lelaki yang masuk dahulu kemudian baru perempuan. Kalau keluar teksi pula pastikan perempuan pula yang keluar dahulu. Dan inilah yang sentiasa kami amalkan sepanjang kami menaiki teksi di Mekah. Walaupun ini Tanah Haram namun segala kemungkinan boleh berlaku tanpa kita jangkakan. Sedang saya mengelamun dan melihat-lihat sekitar bandar Mekah, saya disapa oleh pemandu teksi tersebut.
            “Anta Malazie?” tanya beliau.
            “Na ‘am, ana Malazie,” jawab saya.
            “Haji?” tanya beliau lagi.
            “Na ‘am,” jawab saya sambil memandang tepat kemukanya.
            “Penang?” antara dengar dengan tidak.
            “La’, Kuala Lumpur,” jawab saya tersenyum sambil menoleh ke arah Ucu. Sekadar ingin memberitahu Ucu bahawa saya juga boleh berbahasa Arab.
            “Saya kerja Penang dulu,” tiba-tiba pemandu tersebut berbahasa Melayu.
            “Oh! Pulau Pinang?” tanya saya pula terkejut.
            Kami di dalam teksi tersebut semakin seronok apabila mendapati beliau boleh berbahasa Melayu. Emak, Uda, Sobah dan Ucu kedengaran berbisik-bisik di belakang. Mungkin mereka juga tidak menyangka pemandu tersebut pernah bekerja di Pulau Pinang.
            “Berapa lama kerja di Pulau Pinang?” semakin seronok pula saya bertanya.
            “Lima tahun,” jawab beliau.
            “Sudah kahwin?”
            “Sudah,”
            “Berapa anak?”
            “Empat,”
            “Isteri duduk di Bangladesh?”
            “Tidak, sini duduk,”
            “Berapa lama bawa teksi di Mekah?” perbualan kami semakin rancak.
            “Empat tahun,”
            “Sudah buat haji?”
            “Sudah, 2 tahun dulu,”
            “Ini teksi sendiri punya?”
            “La’, la’, ini sewa sama syarikat,”
            “Berapa bayar satu hari?”
            “60 Riyal, sini Arab susah cari makan, Malaysia senang,”
            Tiba-tiba beliau memberhentikan teksinya. Kami sudah sampai di Masjidil Haram bahagian bawah dalam terowong berhampiran tangga bergerak. Setelah membayar harga teksi, baru saya teringat untuk menanyakan nama beliau.
            “Shahid,” jawab beliau lalu memberikan nombor telefon bimbitnya. Beliau sempat mempromosi sekiranya kami ingin melakukan ziarah ke mana-mana di Mekah, bolehlah menghubungi beliau. Beliau sedia membantu. Hari-hari berikutnya kami tidak dapat menghubungi Shahid, kerana untuk menunggu beliau sampai ke hotel mungkin kami akan lewat ke mesjid. Jadi kami tahan sahaja mana-mana teksi atau kereta sapu.

Tuesday 19 July 2011

TETAMU TERPILIH

            Hakimi memicit-micit hujung kasut kaki kirinya. Terasa kebas jari-jemari kaki. Dengan terhencot-hencot Hakimi melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi rehat yang menghadap tasik. Sambil termengah-mengah itu Hakimi mengeluarkan ‘Ventolin Evohaler’nya, lantas menekan tiub, Hakimi menyedut gas ‘ventolin’ itu dalam-dalam sebanyak tiga kali. Sama macam dia menyedut asap rokok Dunhillnya.
            Tiba-tiba satu suara menyapa Hakimi.
            “Assalamua’laikum !,”
            “Waa’laikum salam,” jawap Hakimi sambil menoleh ke arah suara yang memberikan ucapan selamat ke atasnya itu.
            Seorang perempuan berjubah cokelat kehitaman dan bertudung labuh cokelat susu menghampirinya.
            “Sakit ke ?,” tanya perempuan itu.
            “Hmm! Taklah sakit sangat, Cuma penat je!,” Hakimi terasa malu-malu untuk menjawab. Memang sebenarnya kakinya tak berapa sakit, tapi dadanya yang terasa sesak sedikit setelah berlari hanya separuh pusingan sahaja. Itulah bahananya orang yang telah sedia ada penyakit athma tapi masih berdegil menghisap asap beracun. Hakimi tahu itu. Cuma kedegilan akibat ketagihan memuncaknya menjadikannya sukar meninggalkan rokok. Pada hal, beliau bukanlah seorang perokok sewaktu Hakimi persekolahan.
            “Ooo! Ingatkan dah tak boleh jalan lagi!,” usik perempuan itu sambil tersenyum melihat Hakimi yang termalu-malu sendiri
            “Boleh!, lagi dua tiga pusingan pun boleh,” balas Hakimi yang masih tercungap-cungap keletihan.
            Perempuan yang nampak mesra itu meminta izin dari Hakimi untuk duduk disebelahnya. Tidak terlalu rapat dan Hakimi juga tahu keadaannya ketika itu. Hakimi mengensotkan sedikit punggungnya ketepi.
            Kedua-duanya menghadap tasik. Air pancut yang tidak penat-penat memancutkan airnya, seperti menyindir Hakimi yang keletihan. Angin yang sedikit kuat membawa percikan air pancut itu ke arah mereka. Percikan air yang jatuh kembali ke tasik menghasilkan suatu irama yang tiada siapa dapat membacanya.
            “Boleh saya tanya, saudara ni Hakimikan?,” tanya perempuan itu membuka bicara di petang yang damai.
            Deruan LRT yang agak kuat, meminta perempuan itu mengulangi pertanyaannya.
            “Saudara ni Hakimikan?” tanyanya agak sedikit kuat dan serius, setelah melihat Hakimi mengerutkan mukanya diketika deruan LRT tadi.
            “Ya, saya Hakimi,” Hakimi menjadi gusar tiba-tiba. Bagaimanakah perempuan ini boleh mengenalinya. Sedangkan masing-masing belum memperkenalkan diri lagi.
            “Hakimi Othman?” soal perempuan itu mohon kepastian.
            “Ya, saya!,” Hakimi semakin kebingungan.
            Melihat kepada rupa paras perempuan itu, Hakimi mengagak, ia mungkin lebih tua dari dirinya. Tanpa membiarkan dirinya tertanya-tanya sendiri, sepantas itu pula Hakimi membuat pertanyaan.
            “Akak ni siapa?,” tanya Hakimi dengan harapan agar perempuan misteri ini tidak membiarkan dirinya dibelenggu persoalan.
            “Hakimi, ingat tak masa sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Petaling dulu. Masa tu Hakimi tingkatan satu. Ingat tak bagaimana Hakimi kena ‘debik’ kat belakang oleh Ketua Pengawas?,” perempuan itu memandang muka Hakimi ingin melihat reaksi pemuda yang pernah dikenalinya  ini.
            “Ya!, ya! saya ingat. Saya masih ingat peristiwa itu. Saya tidak akan lupa sepanjang hidup saya,” Hakimi mula mengingati satu persatu peristiwa yang membuatkan dia dihukum oleh Ketua Pengawas sekolah.
            Pada hari itu semua guru tingkatan satu menghadiri mesyuarat bersama Guru Besar sekolah. Jadi pengawas-pengawas tingkatan empat dan lima ditugaskan mengawasi pelajar-pelajar ditingkatan satu. Seorang pengawas perempuan tingkatan empat telah ditugaskan mengawasi kelas Hakimi iaitu Tingkatan Satu Perdagangan.
            Keadaan kelas yang bila-bila masa sahaja ketiadaan guru akan menderukan satu deruan yang lebih bingit dari deruan LRT. Suara hingar-bingar itu tiba-tiba terhenti apabila seorang pengawas perempuan bertudung hijau pekat dan memakai ‘blazer’ hitamnya melangkahkan kaki ke dalam kelas. Keadaan sunyi sepi seperti lapangan terbang yang tidak lagi digunakan. Pengawas perempuan yang manis bertudung itu telah memukau semua mata yang memandangnya. Seperti ada satu kuasa mengnet yang menarik semua anak-anak mata ke arahnya.
            Tanpa sesiapa pasti satu seruan terkeluar dari belakang kelas.
            “Wooowiitt!!”
            Sekali lagi kelas menjadi hiruk-pikuk. Kelas yang mempunyai pelajar lelaki lapan puluh peratus itu menenggelamkan jeritan dari pengawas perempuan yang tercegat dihadapan kelas.
            “Diam!!, siapa  yang buat bunyi tu tadi?!,” jerit pengawas perempuan itu.
            Setelah soalan itu diulangi beberapa kali lagi, secara spontan pula seluruh kelas mengarahkan mata mereka ke arah Hakimi.
            Pengawas perempuan itu berjalan menghampiri meja Hakimi. Bunyi tapak kasut kulitnya membuatkan Hakimi tersengeh sendiri. Hakimi membayangkan askar  yang sedang berkawat membuat perarakan perbarisan.
            “Awak yang buat bunyi anjing menyalak tu tadi ya?” tanya pengawas perempuan,  tegas walaupun ketika itu hatinya culas. Kerana yang berdiri dihadapanya seorang budak lelaki yang sama tinggi dengan bapamya.
            “Eh! mana ada kak. Tak terlintas saya nak jadi anjing kak!,” Hakimi  cuba menafikan perbuatanya.
            “Awak jangan main-main dengan saya,” bentak pengawas perempuan itu.
            “Saya tak nak main-main kak, saya nak pergi berkawat kak!, Akak nak ikut,” jawapan Hakimi membuatkan rakan-rakan disebelahnya tergelak..
            “Siapa nama awak?,” kesabaran pengawas perempuan itu semakin terhakis.
            “Nama akak siapa?,” Hakimi pura-pura bertanya sedangkan dia sudah tahu nama pengawas perempuan itu dari tanda nama yang dipakainya.
            “Ketua kelas tolong beri nama dia pada saya!” pengawas perempuan yang sudah hilang sabar itu mengarahkan ketua kelas.
            Setelah mendapat nama Hakimi, pengawas perempuan itu keluar meninggalkan kelas. Dan kelaspun kembali hingar-bingar.
            Selang beberapa minit kemudian, pengawas perempuan itu kembali bersama seorang lelaki. Sebaik sahaja melangkahkan kakinya ke dalam kelas, lelaki itu memberi salam dan memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Pengawas Sekolah. Kelas yang sedari awal lagi telah melihat ketua pengawas tersebut datang, melalui celah-celah tingkap nako telah lama menyepi.
             “Boleh saya tahu siapa yang bernama Hakimi?,” tanya ketua pengawas itu dengan nada lembut.
            Melihatkan ketua pengawas itu tidak menunjukkan kemarahannya, Hakimi dengan bangganya berdiri.
            “Saya Hakimi,” kata Hakimi sambil menjeling kepada pengawas perempuan yang berdiri disebelah ketua pengawas.
            “Boleh minta ke hadapan sekejap,” minta ketua pengawas.
            Hakimi dengan lagak beraninya berjalan menuju ke hadapan, sambil melakukan kawad kaki, lagak sebagai seorang askar. Kelas kelihatan tersenyum melihatkan telatah Hakimi yang melakukan kawad kaki itu sambil tangannya dihayunkan kiri dan kanan.
            Hakimi terus sahaja berjalan sehingga berdiri betul-betul dihadapan ketua pengawas tersebut. Tiba-tiba…
            “Gedebuk!!!” tangan ketua pengawas hinggap di belakang Hakimi.
            Mata Hakimi tiba-tiba berpinar. Seluruh urat sarafnya lemah. Hakimi terjelepok di lantai. Ketua Pengawas panik. Pengawas perempuan juga panik. Hakimi di bawa ke Hospital Universiti.
            Hakimi membuka matanya. Di sisinya duduk seorang gadis manis bertudung hitam, ada corak benang emas di sisinya. Gadis itu melakarkan senyuman. Hakimi membalasnya. Hakimi kenal gadis itu. Doktor  masuk memeriksa lapuran perubatan Hakimi.
            “Kamu tahukan kamu tu semput, jangan bergurau lebih-lebih. Semput kamu tu tak berapa serius. Tapi boleh jadi merebak jika kamu tidak mengawal kesihatan kamu sendiri. Nanti siapa juga yang susah,” Doktor Zainal mengomel panjang.
            Hakimi kebingungan. Seingat-ingatnya dia tidak bergurau sebelum dia terasa belakangnya di’debik’ orang ketika di kelas pagi tadi. Hakimi menoleh kepada gadis yang berada dibirai katilnya sambil mengerutkan dahinya. Gadis itu tersenyum sambil mengangkat kedua-dua bahunya. Seolah-olah tidak faham apa yang bermain difikiran Hakimi.
            “Jangan lupa makan ubat. Sekejap lagi kamu boleh balik,” kata Doktor Zainal sambil meninggalkan mereka berdua dengan Hakimi yang terus-terusan kebingungan.
            Melihatkan Hakimi yang diselubungi kebingungan, gadis yang dari tadi asyik tersenyum mula menerangkan kepada Hakimi tentang kisah sebenar. Rupa-rupanya pihak sekolah telah menukarkan cerita sebenar tentang peristiwa pagi tadi kepada Dr. Zainal. Hakimi telah dilapurkan bergurau dengan rakan sekelas sehinggkan ada rakan lain telah memukul tanpa sengaja belakangnya. Gadis itu juga memberitahu, Guru Besar telah memanggil beliau dan ketua pengawas, lalu diberikan  amaran keras.
Gadis itu juga memohon maaf kepada Hakimi atas aduannya kepada ketua pengawas sehingga menyebabkan Hakimi terlantar di hospital. Gadis itulah, pengawas perempuan yang menjadikan semua hal ini terjadi. Pengawas perempuan itu jugalah yang sedang berada disebelahnya ketika ini.
“Jadi akak ni kak Nurizati ya,?” Hakimi mula memberanikan dirinya.
Nurizati menganggukkan kepalanya, sambil mengalihkan pandangan ke arah seorang kanak-kanak yang berlari mengutip bola yang dilontarkan ayahnya. Hakimi memandang perempuan bertudung labuh disebelahnya. Keayuan wajah pengawas perempuan itu masih terserlah. Biarpun hampir lapan tahun mereka tidak pernah bertemu.
            Sejak detik peristiwa Hakimi di’debik’ oleh ketua pengawas, Nurizati dan Hakimi jadi semakin akrab. Keakraban mereka seperti seorang adik dan kakak. Nurizati yang ketika itu berada di tingkatan empat mengambil Hakimi sebagai adik angkatnya. Nurizati banyak memberi dorongan dan nasihat. Hakimi yang sememangnya tidak mempunyai saudara perempuan seolah-olah mendapat cahaya baru dalam kehidupanya. Hakimi merupakan anak yang ke tiga dari empat orang adik beradik lelaki kesemuanya.
            Sifatnya yang keras dan kasar sudah sebati dalam diri. Namun hati kecil itu amat lembut dan mudah terasa. Hanya luarannya sahaja yang nampak keras, degil dan kasar.
            “Hakimi buat apa sekarang?” tanya Nurizati.
            “Ni, tengah duduk sembang-sembang dengan kakak yang sudak lama tidak berjumpa,” jawab Hakimi bersahaja.
            Nurizati tersenyum. Mahu di cubitnya peha adik angkatnya yang nakal itu. Namun menyedari keadaan yang telah berubah Nurizati hanya mencemekkan mukanya sahaja.
            Sengal di kaki nampaknya sudah hilang. Pernafasan selepas menyedut ‘Ventolin Evohalear’ juga nampak lega. Hakimi bangun mencekak pinggangnya dan memusing-musingkan badannya ke kiri dan ke kanan.
            “Selepas tamat sekolah saya kerja di Lembah Pantai. Sampai sekarang.”
            “Hakimi tidak lanjutkan pelajaran?” Tanya Nurizati.
            “Tidak sempat kak!” Jawab Hakimi.
            “Apa yang tidak sempatnya?” Tanya Nurizati inginkan kepastian.
            “Bercinta bagai nak rak! lima tahun kami bercinta. Kemudian kahwin. Kami mampu bertahan hanya lima bulan sahaja,” jelas di wajah Hakimi ada riak kekecewaan.
            “Jadi Hakimi dah kahwinlah ya?”
            “Kahwin pun serupa tak kahwin kak. Selepas proses kaunseling di Jabatan agama, kami berdua sama-sama bersetuju untuk berpisah”
Hakimi meletakkan dua sikunya di atas penghadang besi sambil menopangkan dagunya. Merenung riak-riak air di permukaan tasik yang dibuat oleh ikan-ikan Talapia dan ikan Bandaraya. Mengingati sejarah hitam yang ditinggalkan bukanlah sesuatu yang terbaik. Ianya seperti mengundang igauan menakutkan. Dan Hakimi akur segalanya adalah ketentuan Ilahi.   Hakimi sebenarnya malas hendak mengingatkan peristiwa yang mengubah kehidupannya itu. Sementelahan dia sudah tidak punya apa-apa ikatan lagi untuk diingat-ingatkan.
            “Akak pula buat apa?,” Hakimi cuba mengubah tajuk persoalan.
            “Ni! Hah!, tengah sembang dengan duda berhias!,” ujar Nurizati pantas mengenakan Hakimi.
Mereka sama-sama ketawa. Ketawa dua orang saudara angkat atas ikatan perkenalan yang tidak terdugakan. Lama sudah mereka tidak ketawa bersama. Dua orang gadis bertudung mini sambil berlari di hadapan mereka menoleh sambil tersenyum.
            Suasana hening seketika, masing-masing mengimbau kenangan silam yang ditinggalkan. Mengenang kembali saat-saat manis zaman persekolahan. Keakraban mereka selepas kejadian Hakimi ‘didebik’ telah membuatkan rakan-rakan memandang serong terhadap mereka berdua. Malah cikgu Mokhtar, guru disiplin yang tak pernah lekang dengan kopiah Hijjaznya pernah memanggil mereka berdua.
            “Saya dapat lapuran yang awak berdua sering dilihat berdua-duaan. Betul ke?,” tanya cikgu Mokhtar sambil menarik kerusinya dan duduk berhadapan mereka. Nurizati tunduk memandang lantai seperti orang salah yang menunggu dijatuhi hukuman. Hakimi memandang cikgu Mokhtar. Mahu saja ditumbuknya cikgu disiplin itu.
“Serkap jarang. Buruk sangka. ‘su’u dzan’,” herdik Hakimi dalam hati. Nampak saja alim. Tapi sama macam orang tidak ada iman. Hakimi mengomel lagi sendirian.
“Nurizati!, Hakimi!, kamu dengar tidak soalan saya?” sergah cikgu Mokhtar sambil menghentak meja. Beberapa orang guru yang sedang menulis tugasan memandang mereka.
            “Dengar cikgu,” jawab Nurizati antara  dengar dengan tidak.
            “Awak sebagai pengawas, sepatutnya awak menjadi contoh kepada yang lain. Awak kan nak ambil SPM tahun ni. Lebih baik awak tumpukan pada peperiksaan awak,” leter cikgu Mokhtar, sambil menanggalkan kopiahnya dan diletakkan di atas meja.
            “Kami bukannya buat apa-apa cikgu,” Hakimi mencelah berani.
Kegarangan dan ketegasan cikgu Mokhtar semua pelajar sedia maklum. Memang cikgu Mokhtar mahsyur dengan misai dan janggutnya. Ada sesetengah pelajar menggelarkannya Tok Janggut.
            “Saya tahu kamu tidak buat apa-apa. Tetapi kamu akan jadi contoh pada pelajar lain. Kalau saya biarkan kelakuan kamu berdua, mereka juga akan ikut. Akhirnya saya juga yang disalahkan kerana membiarkan pergaulan bebas di sekolah ini. Saya panggil kamu berdua ini hanya untuk mengingatkan kamu. Kamu berdua adalah pelajar yang baik. Saya anggap kamu sebagai anak-anak saya sendiri. Sekarang kamu boleh keluar. Saya tidak mahu nanti ada lagi lapuran tentang kamu berdua,” leter lagi cikgu Mokhtar panjang.
            “Terimakasih cikgu,” Nurizati dan Hakimi serentak bangun dan meninggalkan bilik guru.
            Semenjak hari itu hubungan mereka semakin renggang. Hanya sesekali mereka berbual apabila terserempak di kantin sekolah atau di pondok menunggu bas.
            Selepas tamat SPM Nurizati langsung terputus hubungan dengan Hakimi. Bapanya yang bertugas dengan Jabatan Imigresen telah ditukarkan ke Bukit Kayu Hitam di Kedah. Iaitu sempadan Malaysia dan Thailand. Dengan keputusan SPM yang agak cemerlang, Nurizati melanjutkan pelajaran di salah sebuah unversiti tempatan di utara semenanjung. Setelah mendapat ijazah dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia, Nurizati bertugas pula di Sungai Petani. Ketika di Sungai Petani Nurizati bertemu jodoh dengan Mustafa Kamil.
            Namun jodoh mereka tidak panjang. Nurizati diceraikan. Rumah tangga mereka hanya bertahan selama satu tahun. Ini adalah gara-gara adanya pihak ketiga. Perhubungan Nurizati dan Mustafa adalah atas dasar cinta mencintai. Malah perkahwinan mereka juga dilangsungkan dengan mendapat restu ibu bapa kedua belah pihak. Namun segalanya berakhir apabila Mustafa mengambil kata putus untuk berpisah setelah Nurizati mendesak agar dia diceraikan.
            “Kak!” Hakimi memeranjatkan Nurizati, melihatkan kakak angkatnya itu bermenung jauh.
            “Huh!, apalah Hakimi ni buat terperanjat orang sahaja,” ujar Nurizati.
            “Akak tunggu kejap ye! Saya nak beli rojak buah,” Hakimi berlari-lari anak ke arah tempat pakir kereta.
            Terdapat beberapa gerai lori kecil yang menjual minuman dan kuih-kuih goreng, seperti goreng pisang, keropok lekor dan rojak buah di pakir kereta bersebelahan bangunan Tenaga Nasional Berhad.
            Sebentar kemudian Hakimi tiba bersama dua bungkusan plasitik. Hakimi mengeluarkan satu kotak kecil rojak buah dari bungkusan plastik merah. Satu lagi bungkusan air kotak disangkutkan dihujung kerusi tempat Nurizati duduk.
            “Makanlah kak,” pelawa Hakimi sambil menghulurkan rojak buah. Rojak buah yang dihiris kecil bercampur-campur dengan buah nenas, kedondong, mangga, timun, jambu air dan sengkuang itu memang mengiurkan. Kelazatannya dapat dinikmati apabila digaulkan dengan serbuk kasar kacang tanah.
“Fuh! memang menyelerakan,” kata Nurizati apabila membuka kotak polistrin putih.
“Belum cuba belum tahu,” seloroh Hakimi sambil membuka sebungkus lagi rojak buah untuknya.
Nurizati dan Hakimi keasyikan, menikmati rojak buah petang itu
Bayang-bayang bangunan Amcorp Mall yang jatuh meredupkan kawasan tasik memberi keselesaan kepada mereka bedua. Panas matahari yang beransur-ansur tenggelam menyelerakkan cahaya merahnya di kaki langit. Tetamu-tetamu Taman Tasik ini juga semakin beransur pulang. Burung-burung Gagak kembali meneruskan penerbangan berkawan-kawan menuju ke destinasi pasti mereka. Anak-anak berlari riang menuju ke kenderaan untuk pulang setelah letih bermain bersama keluarga. Pakcik yang berniaga rojak buah juga sudah mula mengemaskan barang-barang ke dalam lori kecilnya. Sebentar lagi malam pun melabuhkan trainya.