Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Thursday 25 September 2014

Amalan di Hari Wukuf kepada bukan jemaah Haji

 Di copy paste dari : http://zulsalleh.blogspot.com/2011/11/amalan-di-hari-wukuf-kepada-bukan.html
Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji.

Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w,

“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT.

Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, “Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?”. Jawab Baginda, “Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. (Hadis Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. juga bersabda,

“Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. (Hadis Ahmad).

Pada hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia dengan bahang terik mentari di Padang Arafah, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.

Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.

Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.

Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.

Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.

Semuanya ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada hakikatnya berasal daripada tanah.

Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.

Kita perlu menghayati ‘roh haji’ walaupun tidak ke Tanah Suci supaya beroleh ganjaran yang disarankan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Allah Yang Maha adil dan Maha Penyayang tetap mahu seluruh umat Islam dapat manfaat di atas keutamaan jemaah yang telah dijemput khusus di Tanah Suci.

Kepada yang tidak dapat ke sana, Allah tidak pernah melupakan. Kita tetap diberi keutamaan. Kita masih tetap dituntut oleh Allah SWT supaya menghayati ‘roh haji’, kerana Allah tetap mahu mengurniakan pahala dan rahmat-Nya dengan syarat kita kekal mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Bagaimana caranya?

Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:

Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:

Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:

Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha) [1]

Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Dzulhijjah (Hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang kelapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan hari ‘Arafah.

Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra:

Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal yang soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:

Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di hari ‘Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)

Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Umar ra:

Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu ‘Eid al-Adha dan ‘Eid al-Fitr. (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)

Serta hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:

Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, sanadnya hasan) [2]

[1] al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat berdoa di ‘Arafah.” Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).”

Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji

[2] Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari Tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.

Doa arafah bukan sahaja baik dibaca oleh jemaah haji tetapi untuk seluruh manusia walaupun tidak berada di Padang Arafah. Berdoa-doalah di mana jua, kita hanya menyatakan permohonan kita kepada Allah,hak menunaikan adalah hak Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita nyatakan dan apa yang kita rahsiakan. Allah Maha Mengetahui segala hajat yang ada dihati kita, maka mohonlah agar disampaikan hajat itu.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila Dia berdoa kepadaku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran. (Surah Al-Baqarah ayat 186)

Satu-satunya doa dimakbulkan Allah pada masa dan tempat tertentu adalah Padang Arafah. Ketikanya ialah selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit Fajar 10 Zulhijjah.

Ini satu-satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada hambanya.

No comments:

Post a Comment