Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Monday 22 September 2014

TIPS / PANDUAN TERBAIK HAJI....MEKAH DAN MADINAH


Tips Umum Semasa Berada Di Tanah Suci

Tips agar tidak tersesat di Tanah Suci

-          Hafalkan nama maktab atau hotel atau lambang bangunan, lokasi di mana anda menginap. Ingat betul-betul sebelum keluar maktab.

-          Catat juga nombor telefon dan atau alamat hotel atau ambil kad hotel anda. Bawalah catatan tersebut setiap kali meninggalkan hotel.

-          Camkan laluan, jalan-jalan, bangunan-bangunan yang berhampiran dengan hotel penginapan anda. Jika ada kemudahan, ambil gambar samada dengan telefon bimbit atau kamera.

-          Jika anda berasa belum mampu keluar berdikari, jika keluar hendaklah secara berkumpulan.

-          Janganlah segan bertanya kepada polis, sebutkan nama pintu di mana anda masuk ke Masjid.

-          Waspada sekitar anda, kerana jemaah tersesat sangat terdedah kepada penipuan dan jenayah.  

-          Jika anda telah keluar jauh dari pintu Masjidil Haram, segera kembali ke Masjidil Haram, cari tempat janji temu yang biasa, bertanya kepada jemaah haji Malaysia/ Indonesia lain untuk ke pintu masuk janji temu atau lampu hijau tawaf, bersikap tenang dan sabar, jangan panik dan jangan berusaha mencari jalan pulang sendiri kerana dikhuatiri akan sesat lebih jauh.

-          Jika ada telefon bimbit hubungi keluarga/kawan atau Ketua Rombongan (sebaiknya anda hendaklah saling mencacat nombor handphone keluarga/kawan/ Ketua Rombongan ). Insya Allah mereka akan mencari anda di tempat yang janji temu yang dipersetujui.

-          Muhasabah diri, perbanyak istighfar dan selalu minta perlindungan Allah SWT, kerana Allah SWT adalah sebaik-baiknya tempat berlindung. Dan percayalah, Allah pasti menolong kita, dengan cara yang tidak kita sangka-sangka.

Panduan menelefon ke Malaysia / menelefon ke Arab Saudi

-          Untuk membuat panggilan ke Tanah Air, sejak kebelakangan ini jemaah haji/umrah tidaklah terlalu rumit sebagaimana zaman dahulu kerana kebanyakan daripada kita sudah memiliki telefon bimbit sendiri.

-          Kita boleh membawa telefon bimbit sediada dari rumah lagi, atau dengan membelinya di sana. Cuma, masalahnya samada talian mana yang harus kita pilih bagi membolehkan kita membuat panggilan.

-          Ada yang cenderung mendaftarkan talian untuk panggilan antarabangsa ( international roaming ) semasa di tanah air lagi bagi membolehkan membuat panggilan ke tanah air dengan berbagai pakej harga tawaran yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat komunikasi tempatan. Selalunya kos untuk pendaftaran dan panggilan antarabangsa ini agak mahal jika kita silap memilih pakej. Sebelum mendaftar, elok kita teliti betul-betul pakej yang ditawarkan agar tidak tersilap dalam membuat keputusan.

-          Sebagai satu pilihan lain, para jemaah haji/umrah boleh juga memilih untuk membeli simkad yang dijual di sana dengan syarikat komunkasi yang berbagai-bagai seperti Mobily, Zain dan sebagainya ( Caj panggilan Zain biasanya lebih murah dari Mobily ). Berdasarkan pengalaman, sekiranya membuat panggilan ke Malaysia untuk tempoh 4-5 minit, caj panggilan lebih kurang SR4.00 - SR 5.00 sahaja.

-          Untuk satu-satu plan permulaan, harga biasanya ada yang SR30.00 dan ada yang SR50.00. Dengan membeli simkad ini, kita boleh membuat panggilan ke Tanah Air dan boleh membuat tambah-nilai dengan membelinya di kedai-kedai berhampiran dari semasa ke semasa apa bila perlu.

-          Pada masa kini, Jemaah juga boleh membeli simkad tersebut dari tanah air yang lengkap dengan panduan dalam Bahasa Malaysia.

-          Jemaah tidak di galakkan untuk membeli simkad yang di jual oleh pekerja-pekerja di lapangan terbang kerana harganya yang jauh lebih mahal berbanding di kedai.

-          Dengan demikian, terpulang kepada kita untuk membuat keputusan yang mana satu harus dipilih. Bagi membuat panggilan, cara dailnya seperti dinyatakan seperti dibawah

-           

-          PANGGILAN TERUS KE MALAYSIA :

-          Contoh no : 012-3456789

-          Dail : 0060123456789

-         
PANGGILAN TERUS KE ARAB SAUDI:

-          Contoh no : 051-7654321

-          Dail : 00966517654321

Tips untuk menghindari tersesat di Masjidil Haram

-          Datang lebih awal dari waktu solat. Paling tidak, satu jam atau setengah jam sebelum azan berkumandang.

-          Jika ke Masjidil Haram sebaiknya anda pergi berteman atau berkumpulan. Jangan pergi sendirian terutama bagi jemaah berusia lanjut atau ibu-ibu. Hal ini boleh menghindari kejadian tersesat. Jika tersesat saling mengingatkan diantara yang lain.

-          Sebelum masuk masjid, amati sejenak bangunan sekitarnya yang dapat mencirikan dari mana anda datang dan masuk ke Masjidil Haram, jika boleh ingati nama pintu masjid yang dimasuki.

-          Ketika pertama kali masuk Masjidil Haram, ingatlah nombor pintu masuk dan jika perlu catat di buku nota ( buku 555 seumpamanya ) terutamanya jika anda seorang pelupa. Jadikan pintu tersebut sebagai tempat janji untuk bertemu dengan kawan/ isteri/ suami jika tercicir daripada keluarga/rakan/kumpulan.

-          Setelah masuk pintu masjid, usahakan jalan lurus menuju bangunan kaabah, ketika kaki memijak halaman kaabah tengoklah ke arah atas bangunan masjid, cari tanda yang dapat dijadikan panduan untuk mengecam dari mana Anda mulai masuk, sebelum turun ke sekitar kaabah. Dengan adanya menara Jam Besar ( Abraj al Bayt ) tujuan pengecaman ini menjadi lebih mudah kerana bangunan ini boleh dijadikan asas pengecaman untuk mengelakkan daripada kita kehilangan arah sebelah mana pintu yang kita masuk ke Masjidil Haram.

-          Anda harus mempunyai tempat berjanji untuk bertemu di dalam Masjidil Haram jika anda terpisah dengan rombongan saat Tawaf atau tersesat di dalam masjid. Tempat janji temu yang paling mudah dikenali di dalam Masjid adalah Lampu Hijau mulai tawaf iaitu setentang dengan penjuru Hajarul Aswad. Jadi terdapat dua tempat janji temu yang boleh kita buat samada di dalam masjid (di Lampu Hijau mulai Tawaf ) atau di luar Masjid (Nombor Pintu masuk).

-          Hal terakhir yang patut diingat terus adalah memantapkan niat dan sikap ikhlas selama di Masjidil Haram. Niat dan sikap ikhlas terbukti berkesan untuk menjamin para jemaah mendapatkan kemudahan dan kelancaran selama ibadah.

 

Jika anda tersesat maka, lakukanlah:

 

-          Muhasabah diri, perbanyak istighfar dan selalu minta perlindungan Allah SWT, kerana Allah SWT adalah sebaik-baiknya tempat berlindung. Dan percayalah, Allah pasti menolong kita, dengan cara yang tidak kita sangka-sangka.

-          Janganlah segan bertanya kepada polis, sebutkan nama pintu di mana anda masuk ke Masjid.

-          Waspada sekitar anda, kerana jemaah tersesat sangat terdedah kepada penipuan dan jenayah.

-          Jika anda telah keluar jauh dari pintu Masjidil Haram, segera kembali ke Masjidil Haram, cari tempat janji temu yang biasa, bertanya kepada jemaah haji Malaysia/ Indonesia lain untuk ke pintu masuk janji temu atau lampu hijau tawaf, bersikap tenang dan sabar, jangan panik dan jangan berusaha mencari jalan pulang sendiri kerana dikhuatiri akan sesat lebih jauh.

-          Jika ada telefon bimbit hubungi keluarga/kawan atau Ketua Rombongan (sebaiknya anda hendaklah saling mencacat nombor handphone keluarga/kawan/ Ketua Rombongan). Insya Allah mereka akan mencari anda di tempat yang janji temu yang dipersetujui.

Tips selesa beribadah

-          Fahami dengan sempurna ilmu-ilmu ibadah haji dan umrah, jangan terlalu bergantung kepada pembimbing/mutawwif kerana adakalanya anda terpisah dari pembimbing/mutawwif.

-          Pelajari cara-cara sembahyang jenazah kerana setiap waktu lepas solat fadhu di Masjidil Haram / Masjid Nabawi akan ada solat jenazah.

-          Hafalkan doa-doa yang sesuai.

-          Jangan bawa wang terlalu banyak/ atau barang-barang berharga kerana dikhuatiri hilang dan sebagainya.

-          Buat kumpulan kecil jika perlu khususnya jemaah wanita ketika beribadat di Masjidil Haram terutamanya pada waktu-waktu sesak.

-          Jangan lupa bawa bersama uncang selipar/ kasut bagi memudahkan selipar/kasut yang anda pakai dibawa masuk ke dalam dan ditempatkan disisi sewaktu beribadah.

-          Sekiranya meletakkan selipar/kasut di rak-rak yang disediakan, ingati nombor rak kasut tersebut dan laluan pintu mana ianya ditempatkan.

-          Jangan sekali-kali meletakkan selipar/kasut di muka pintu masuk kerana ia biasanya akan disapu oleh pekerja-pekerja kebersihan dan selalunya dilonggokkan di penjuru berdekatan bercampur dengan selipar/kasut jemaah lain.

-           

Urusan Tawaf dan Sa'ie

·         Hindari waktu terlalu padat atau waktu terlalu panas

·         Jangan memaksa diri jika tubuh tidak sihat

·         Hafalkan doa-doa singkat supaya anda tidak terlalu khusyuk membaca buku panduan semasa mengerjakan ibadah tersebut.

·         Sebaiknya, makan sebelum berangkat

·         Berangkat dalam rombongan

·         Buat kelompok kecil

·         Perhatikan bangunan-bangunan/ lambang/ tanda-tanda yang boleh dijadikan sebagai pedoman jika anda tercicir dari keluarga/ sahabat/ kumpulan.

·         Menetapkan lokasi pertemuan agar tidak kebingungan apabila terpisah dengan keluarga atau rakan.

·         Pindah ke lantai dua dan tiga jika terlalu padat

Tips bagi jemaah uzur

·         ​Jangan memaksa diri untuk beribadat jika kesihatan tidak mengizinkan.

·         Dapatkan rehat secukupnya. Makan ubat-ubat yang sesuai. ( Bawa khas ubat-ubatan tertentu secukupnya dari Malaysia lagi bersama butiran ubat jika ada ) kerana di Makkah/ Madinah, harga ubat-ubat di farmasi dan kos perubatan agak mahal.

·         Bagi jemaah Haji Malaysia, klinik-kilinik Tabung Haji biasanya terdapat di Tingkat 1 bangunan penginapan masing-masing. Jika keadaan sakit berpanjangan, jumpa doktor bertugas.

·         Dapatkan pandangan daripada guru-guru agama/ pembimbing jika terlalu uzur untuk melaksanakan upah ibadah.

·         Untuk urusan mengupah tolak bagi urusan tawaf dan saie termasuk tawaf wida' dengan kerusi roda, perkhidmatan ini boleh didapati di luar pintu masjid di mana pengambil upah tolak selalunya sedia menunggu pelanggan.

·         Kadar Upah Biasa Perkhidmatan Kerusi Roda ( Bergantung kepada rundingan. Biasanya boleh tawar menawar dan adakalanya turut bergantung kepada waktu sesak/tidak sesak dan jarak jauh tempat penginapan dari Masjidil Haram dsb.)

·            1 Tawaf dan Saie = SR 250.00

·            1 Tawaf wida' = SR 100- SR 150

·         Urusan pembayaran sebaiknya dibuat setelah semua kerja-kerja selesai.

Tips untuk mencium HajarulAswad

·         ​Mencium Hajarul Aswad bukanlah sesuatu yang wajib bagi jemaah haji / umrah. Dalam keadaan Masjidil Haram yang penuh sesak, jemaah tidak digalakkan berasak-asak memudaratkan diri hanya semata-mata untuk mencium Hajarul Aswad. Namun begitu, jika keadaan mengizinkan, bolehlah berbuat demikian :

·         Ambil waktu yang keadaan sekitar kaabah tidak terlalu padat.

·         Pastikan tubuh badan anda kuat.

·         Jangan bawa atau pakai barang berharga.

·         Tanggalkan kaca mata yang dipakai kerana dikhuatiri pecah kerana ditolak.

·         Sekiranya dalam keadaan berihram, pastikan cara berpakaian ihram benar dan kuat. Sebaiknya telah selesai bertahallul kerana dibimbangi permukaan Hajar Aswad dilumuri wangi-wangian dan jemaah yang dalam ihram terikat dengan pantang larang semasa ihram.

·         Elakkan daripada terperangkap dengan sindiket yang menawarkan anda untuk membantu mencium Hajarul Aswad khususnya pada waktu sesak. Mereka ini pada mulanya menunjukkan seolah-olah ingin membantu tetapi kemudiannya meminta bayaran tertentu. Ramai jemaah yang terpedaya dengan bantuan yang ditawarkan. Jika ada yang menawarkan bantuan, tolak saja tawaran tersebut.

·         Sekiranya berjaya mencium, jangan terlalu lama. Beri laluan kepada jemaah lain untuk melakukan perkara yang sama.

·         Jika dipermudahkan Allah untuk menciumnya, eloklah tidak terlalu menunjuk-nunjuk, menghebahkan ke sana sini kerana dikhuatiri boleh menimbulkan rasa riak. Perbanyakkan syukur pada Allah. Biarlah ia menjadi rahsia antara kita dengan Allah yang memberi kemudahan tersebut.

Tips bila terpaksa mengambil teksi/ kereta sewa

·         ​Sebaiknya berkumpulan ( 4-5 orang ) satu kereta..

·         Tanya dahulu harganya sama ada untuk seorang atau satu kereta.

·         Jangan lekas bersetuju dengan kadar yang dinyatakan. Cuba tawar sekiranya kadar tambang yang dinyatakan itu tidak berpatutan. Jika tiada tolak ansur, cuba dapatkan teksi/kereta sewa lain.

·         Pastikan beg-beg atau barang-barang berharga tiada yang tertinggal sebelum turun.

·         Jika suami-isteri, pastikan suami naik dahulu kemudian baru isteri. Waktu turun, isteri turun dahulu kemudian baru suami turun.

Tips tempat sesuai membeli kurma di Madinah

·         ​Pasar Kurma ( Souq Tumur ) cukup masyhur sebagai tempat pupular untuk membeli aneka jenis kurma sewaktu jemaah berkunjung ke Madinah. Namun kadangkala terdapat kekeliruan di mana jemaah haji atau umrah sering di bawa ke Ladang Kurma oleh pemandu bas atau pemandu pelancong. Katanya sama saja Ladang Kurma dengan Pasar Kurma.

·         Di ladang kurma ini sememangnya terdapat aneka jenis kurma dan jemaah haji/umrah boleh makan seberapa banyak kurma yang ada jika mahu secara percuma. Jika mahu dibawa pulang, maka ia perlu dibeli. Penjualnya rata rata boleh berbahasa melayu indonesia, Harganya pula boleh ditawar.

·         Sungguh pun begitu, bagi jemaah haji atau umrah yang ditawarkan untuk ke Ladang Kurma, sebagaimana yang digambarkan di atas, sebaiknya jika ke sana. jangan lekas membeli kurma yang terdapat di ladang kurma ini kerana harga kurma di sini jauh lebih mahal berbanding di Pasar Kurma. contohnya kurma Ajwa ( atau lebih dikenali Kurma Nabi ) di Ladang Kurma dijual dengan harga SR 70.00 sedangkan kalau ke Pasar Kurma, kurma yang sama harganya hanya SR 50.00 saja.

·         Pasar Kurma yang sebenarnya terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi dari pintu 7 ( pergi ikut penjuru di sebelah kanan dari arah kiblat ). Setelah itu perlu menyeberang jalan, ada hotel al Isro. Kemudian, ambil ke kanan terus sudah kelihatan pasar kurmanya. Di pasar Kurma yang asli ini, selain kurma, anda pun dapat membeli kacang, coklat dan lain-lain.

Tips menyediakan beg/ bagasi sebelum berangkat

·         Kerosakan dan kehilangan beg/bagasi jemaah haji memang kerap berlaku sewaktu jemaah haji melaksanakan haji di Tanah Suci.

·         Dalam memilih beg bagasi untuk dibawa ke Tanah suci, jemaah dinasihatkan agar membeli beg yang berkualiti bagi menjamin beg /bagasi tersebut tidak mudah koyak/ rosak sepanjang tempoh perjalanan.

·         Di samping itu, maklumat-maklumat penting diri seperti Nama,No. K/Pengenalan, No. KT, No. Telefon serta alamat di Malaysia hendaklah ditulis pada beg berkenaan selain melekatkan sekeping gambar foto sendiri.

·         Agar beg/bagasi anda mudah untuk dikenali, ada baiknya pengenalan tambahan dilekatkan pada beg/bagasi tersebut seperti mengikat cebisan kain berwarna yang senang anda camkan dari jauh dan kenali dengan cepat bahawa beg/bagasi tersebut milik anda walaupun ia berada dalam longgokan beg/beg bagasi yang bercampur aduk dengan beg/bagasi jemaah haji lain.

Tips bersedekah di Tanah Suci

·         ​Sewaktu berada di Tanah Suci, jemaah haji/umrah sukar untuk menghindari daripada bersua dengan para peminta sedekah.

·         Oleh demikian, tips berikut mungkin boleh membantu kita berdepan dengan situasi ini seterusnya menjalani ibadat dengan lebih harmoni,

·         Insya-Allah:

·         *Sentiasa sediakan duit kecil ( 1 riyal atau 5 riyal ) yang mencukupi apabila keluar untuk urusan ziarah atau keluar beribadat.

·         *Di Kota Makkah dan Madinah, peminta sedekah adakalanya mendekati kita untuk meminta sedekah. Cuba tangani dengan bijak untuk menangani mereka. Jika diberi seorang, ramai pula yang lain akan mengerumuni kita. Itulah sebabnya perlunya kita bersedia dengan duit kecil. Jika bercadang untuk bersedekah, tempatkan wang kecil tadi di dalam poket yang mudah diambil. Jika sudah habis, cakap saja sudah habis. ( sebutan dalam bahasa arab : Khalaas bermaksud habis/ selesai ).

·         *Jika khuatir makin ramai yang akan mengerumuni anda, abaikan saja permintaan mereka.

·         *Ketika di Masjidil Haram atau di Masjid Nabawi, ramai di antara kita lebih selesa menghulurkan derma kepada para pekerja yang membersihkan masjid berbanding menghulurkannya kepada peminta sedekah yang meminta-minta. Alasannya berbeza mengikut pendapat masing-masing.

·         *Jika melawat dan mendaki Jabal Rahmah di Arafah, atau mendaki Jabal Nur terdapat ramai peminta sedekah yang mengambil kesempatan duduk di jalan-jalan tempat laluan utama untuk naik ke atas, yang cacat menggunakan kecacatannya untuk mendapatkan simpati, malah ada yang sengaja meletakkan anak kecil di tengah-tengah laluan sambil anak kecil tersebut menangis menagih-nagih belas kasihan kita. Untuk menghulur derma pada semua peminta sedekah tentu kita akan rasa terbeban. Bila menyediakan wang kecil, tangan kita lebih ringan untuk memberi kerana agihannya dapat diberikan kepada ramai yang meminta.

·         *Ketika menziarahi Masjid Quba di Madinah, situasi berbeza pula berlaku. Anak-anak kecil mungkin diperalatkan untuk menjual tasbih dan lain-lain. Setiap kali bas pelawat berhenti anak-anak ini tanpa segan-silu mengerumuni kita seolah-olah memaksa anda untuk membeli dengan harga yang ditetapkan ( biasanya 10 riyal ). Ada di antaranya yang tanpa rasa segan dan takut, naik ke atas bas yang sedang berhenti sambil merayu agar kita membeli tasbih-tasbih yang mereka jual dengan berbagai helah dan kerenah. Situasi begini mungkin merimaskan kita. Tetapi itulah hakikatnya. Ada yang bersimpati, akhirnya membeli juga walaupun kerana terpaksa.

·         *Dalam keadaan yang lain, sewaktu perjalanan menaiki bas ke satu-satu destinasi, sering berlaku pemandu bas membuat perangai. Ada yang terus terang meminta 'baksis'. Ada pula yang menggunakan isyarat seperti tidak memasang pendingin hawa, bas pura-pura rosak di pertengahan perjalanan dan sebagainya. Matlamatnya cuma satu iaitu mengharapkan kita para penumpang mengeluarkan sedikit sumbangan kepadanya. Oleh itu, sebagai musafir yang bertandang di tempat orang, kita harus bijak dan bersedia menghadapi perkara-perkara sebegini. Bersedialah dengan duit kecil. Jika nampak tanda-tanda sebegini, hulurkan saja sekadar yang ada. Anggaplah ia sebagai sedekah ikhlas kita kepada hamba Allah yang mungkin benar-benar kesusahan dan amat memerlukan walaupun ada peraturan yang melarang kita memberi 'baksis' namun jika ianya pemberian ikhlas yang lahir dari hati yang tulus, ia tetap dikira sebagai sedekah dan diganjarkan dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah Swt. Semoga dengan kemurahan hati kita, perjalanan kita dipermudahkan Allah, lancar dan selamat sebagai mana yang diharap-harapkan, insya-Allah!

Hindari sifat-sifat riak, bangga diri, ujub dan takbur, berserah diri hanya kepada Allah SWT dalam segala urusan. Selalu mohon perlindungan kepada-Nya, sentiasa memohon agar dikurniakan kesihatan badan, keselamatan harta-benda, kelancaran beribadah dan kelancaran perjalanan pergi/balik serta redha dengan segala ujian yang diterima. Hanya kepada-Nya sebaik-baik tawakkal. Semoga dipermudahkan Allah, insya-Allah.

Diambil dari : http://www.lintastravel.com/index.php?/packages/tips_haji_umrah

2 comments:

  1. Assalamualaikum wrt.

    Terima kasih pak lang mengenai info ini. sangat bermanfaat utk ibu ayah saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama-sama...moga ibu dan ayah anda peroleh Rahmat dan RahimNya dan dikurniakan haji yang mabrur...aminnnn

      Delete