Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Wednesday 14 September 2011

Solat Jenazah di hadapan Ka'bah

Setelah selesai, kami mengambil kedudukan masing-masing. Emak, Sobah dan Uda bergerak ke arah pintu Bilal. Di sebelah kiri terdapat tempat untuk jemaah wanita. Saya dan Ucu pula bergerak ke arah tempat solat jenazah. Di sekitar tempat itulah kami solat hampir sepanjang kehidupan kami di Mekah. Hampir setiap waktu solat juga, solat jenazah dilakukan selepas solat fardhu. Ini bermakna setiap waktu solat pasti ada jenazah. Pada mulanya kami masih malu-malu untuk mengiringi jenazah. Tetapi kerana rindukan pahala, kami jadi seronok pula membantu mengusung jenazah hingga ke luar pintu mesjid dan masuk ke dalam van jenazah. Pernah satu ketika, terdapat dua belas jenazah di hadapan kami. Terdapat juga jenazah dari Malaysia. Ini kami yakini kerana terdapat beberapa orang petugas Tabung Haji turut sama mengiringi jenazah tersebut.

Hajar Aswad yang tidak mampu kami kucup...

Kami selesai melakukan tawaf sekitar 45 minit. Saya meminta semua supaya meneruskan satu pusingan lagi sebagai meraikan rehlah, kedatangan kami ke sisi Ka’bah. Ketika ini kami merapatkan badan ke sisi Ka’bah. Selepas melepasi Hajar Aswad yang sememangnya tidak dapat kami gagahi untuk mengucupnya, kami menyusur ke Makam Ibrahim. Kami berlima bersama merapatkan diri ke dinding makam. Kemudian kami berensot pula ke Hijir Ismail. Dalam lengkungan Hijir Ismail ini kami tidak dibenarkan masuk. Lalu kami melepasi Rukun Iraqi dan Rukun Syami. Setibanya kami di Rukun Yamani kami diberikan kelapangan oleh Allah untuk menyentuh Rukun Yamani. Ketika inilah saya menarik tangan Sobah dan Uda untuk sama-sama menyentuh Rukun Yamani dan dinding Ka’bah. Jelas ada air mata yang tumpah di pipi mereka berdua. Malah kami juga sempat mengucup dinding Ka’bah yang telah kami rindui selama ini.

Benar kami tidak mampu untuk berebut-rebut dan menolak-nolak jemaah lain semata-mata untuk mencium Hajar Aswad. Tetapi cukuplah bagi kami menyentuh Rukun Yamani dan dinding Ka’bah bagi merasai nikmat dari keizinan Allah yang maha agung ini. Titisan airmata kami tidak lagi dapat kami sekat dan bendung. Biarlah Ka’bah ini menjadi saksi bahawa kami terlalu amat rindu sepanjang hayat. Kami menghadapkan wajah ke arah Ka’bah ketika kami bersolat di tanahair. Tetapi kami tidak menyaksikan sendiri rupa bentuk Ka’bah yang sebenar. Tetapi hari ini kami bukan sahaja dapat melihat Ka’bah dengan dua biji mata, malah kami dapat menyentuh dengan tangan kami dan mencium Ka’bah. Itulah nikmat yang kami syukuri atas keizinan Allah jua.

Terlupa kiraan semasa Tawaf dan Saie

Ketika di tanah air, beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah, saya mendapat idea bagaimana mahu mengelakkan kami terlupa pusingan tawaf dan perjalanan saie. Terlupa kiraan ketika tawaf dan saie adalah perkara biasa berlaku kepada jemaah haji. Ini adalah kerana, mungkin terlalu khusyuk dengan bacaan-bacaan doa, terkasima dengan keadaan jemaah dari negara lain yang berbagai-bagai ragam dan sebagainya. Idea saya ialah saya telah mengambil kalender lama yang mempunyai saiz nombor yang besar, seperti ‘kalender kuda’. Saya guntingkan nombor 1 sehingga 7 bersaiz empat segi tepat. Kemudian saya ‘staplerkan’ di penjuru sebelah kiri. Saya telah membuat lima set nombor tersebut dan saya berikan kepada emak, Sobah, Uda dan Ucu.

Apabila selesai pusingan pertama, saya akan lipatkan nombor 1 dibelakang. Dan begitulah seterusnya. Ada dikalangan jemaah haji dari negara lain yang menggunakan cincin tasbih. Terdapat satu grgelung benang yang dimasukkan ke jari tengah dan tujuh butir biji tasbih diikatkan pada gelung tadi. Kata Ustaz Samsudin, ada juga jemaah yang menggunakan biji kacang hijau. Tetapi risiko menggunakan biji kacang hijau adalah besar. Memandangkan biji kacang hijau terlalu kecil ia mudah hilang apabila terjatuh. Malah boleh pula mengganggu jemaah lain apabila terpijak biji kacang tersebut. Sebenarnya terpulanglah kepada kreativiti anda untuk memudahkan anda melakukan ibadah. Yang pasti anda selesa dengan ibadah dan tidak termasuk dalam golongan mereka yang was-was dan mudah keliru.

Tuesday 6 September 2011

Peringatan Untuk Bakal Jemaah Haji 1432

BERHATI-HATI DI MEKAH

Semasa bakal haji berada di Mekah, bakal haji perlu berhati-hati kepada pihak yang tidak dikenali menawar beberapa perkhidmatan dengan di kena bayaran. Antara perkhidmatan adalah seperti berikut:
• Upah haji
• Bayaran dam
• Menjual batu permata, kayu kokak , minyak unta, minyak dop dan barang-barang lain yang dianggap pelik.
• Membantu untuk cium Hajar Aswad
Bakal haji juga perlu berhati-hati apabila membuat pembelian dengan penjual di merata tempat kerana mereka menjual tanpa kelulusan pihak kerajaan Arab Saudi. Apabila bakal haji sedang membuat pilihan dan memegang barangan, pihak berkuasa datang dan penjual akan lari memyebabkan bakal haji tidak sempat membuat bayaran.
Elakan membeli daripada penjual makanan di kaki lima atau di tepi jalan kerana di kuatiri tidak bersih. Penjual makanan akan menjual makanan dalam bekas yang nampak bersih. Pabila pihak berkuasa dtang mereka akan lari dan menyorokkan makanan di celah-celah bangunan yang tidak bersih. Kadang-kadang makanan mereka di rampas dan di buang dalam tong sampah, kemudian mereka mengambil balik da menjual kepada pembeli.
Bakal Haji wanita jangan membenarkan jurujual masuk dalam bilik tidur kerana dibimbangi akan terkena tipu. Mereka akan mebuat baik dengan salah seorang bakal haji yang akan mengaku kepada penjaga bangunan bahawa jurujual tersebut saudara sehingga dibenarkan masuk dalam bangunan.