Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Monday 18 July 2011

PEMILIHAN JENIS HAJI


PEMILIHAN JENIS HAJI
           
Ketika saya dan Ucu mengisi borang ‘Pengesahan Menerima / Menolak Tawaran Terpilih’ di Tabung Haji, Kuala lumpur, pada perkara 4 dalam ruangan ‘Destinasi’ Ucu telah memberitahu bahawa emak mahu pergi ke Mekah dahulu. Kerana kata Ucu emak memilih untuk mengerjakan haji Ifrad. Maka saya pun menandakan pada kotak ‘ke Mekah dahulu’. Ketika itu saya tidak berapa faham tentang pemilihan jenis-jenis haji. Saya setuju sahaja untuk mengikut pilihan emak.
      Setelah mendalami proses manasik haji melalui perbincangan dan bacaan secara mendalam, maka saya dan Sobah bersetuju untuk memilih mengerjakan haji Tamatuk. Manakala Ucu dan Uda membuat keputusan untuk mengerjakan haji Ifrad bersama-sama emak. Saya maklumkan perkara ini kepada emak. Emak faham dan mengerti keadaan kami suami isteri. Sementara Ucu dan Uda pergi mengerjakan haji tanpa pasangan masing-masing. Emak hanya tersenyum dengan makluman yang saya berikan. Saya sempat berseloroh dengan emak;
      “23 hari di sana lama tu,” kata saya.
“Tak kan nak tengok saja,” tambah saya lagi.
Cerita-cerita tentang ‘bilik berkat’, telah saya ketahui sejak saya mengaji dengan Ustaz Hafiz Selamat di Jenderam Hilir lagi. Semuanya adalah satu keperluan. Keadaan yang  memungkinkan berbagai perkara yang merosakkan ibadah masih tetap boleh berlaku di Tanah Haram. Cerita tentang suami yang cemburu melihat ‘Pak Arab’ berlebih-lebihan mesra dengan isteri. Isteri yang cemburu melihat suami sering membantu jemaah wanita. Kisah isteri meminta cerai. Kisah pekerja hotel mengganggu isteri jemaah. Dan berbagai lagi cerita-cerita benar kerap berlaku dari dahulu sehingga sekarang.
Malah saya pernah mengalami sendiri, bagaimana jemaah haji suami dan isteri bertengkar dikhalayak ramai. Sama ada anda percaya atau tidak, semua perkara yang berlaku di Tanah Haram antara suami dan isteri yang pergi mengerjakan haji bersama, ada hikmah disebaliknya. Di sanalah Allah ingin menguji sejauh mana iman kita. Berapa dalam kasih yang terjalin sekian lama. Semua itu adalah dugaan yang perlu kita hadapi di sana nanti.
Tentang pemilihan jenis haji ini saya teringat satu peristiwa lucu yang diceritakan oleh Abang Ayob, rakan sebilik ketika kami di Mekah. Beliau menceritakan bagaimana seorang bakal jemaah haji yang ingin menunaikan haji telah ditanya tentang jenis haji yang beliau pilih. Sebelum itu jemaah haji yang berusia emas itu sebenarnya telah pun menghadiri kursus haji bersiri tanpa ketinggalan. Maka dengan penuh yakin beliau menjawab beliau akan mengerjakan ‘Haji Bersiri’.
Pada mulanya saya tidak dapat menangkap maksud cerita Abang Ayob tersebut, selepas beberapa saat barulah saya menyedari bahawa kesilapan pemahaman jemaah haji berkenaan. Beliau keliru di antara Haji Tamatuk, Haji Ifrad dan Haji Qiran. Memandangkan jemaah berusia emas itu sering menghadiri kursus haji bersiri maka dalam ingatannya, haji yang akan beliau lakukan adalan ‘Haji Bersiri’. Barulah saya dan semua penghuni bilik 201 cuba menahan gelak yang ‘terlampau’ memandangkan kami berada di Tanah Haram.

No comments:

Post a Comment