Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Wednesday 13 July 2011

TERBETIK KHABAR HARAMAIN

HARAPAN EMAK

            Penghujung tahun 2008, emak tergerak hati memanggil kami semua anak-anaknya untuk bermesyuarat di rumah emak. Emak berhasrat untuk memberikan sejumlah wang kepada kami anak-anaknya seramai lima orang  untuk mendaftar di Tabung Haji. Sementelahan kami anak-anaknya kecuali Uda belum mendaftar haji lagi. Biarpun kami telah lama mempunyai akaun di Tabung Haji. Angah sudah mengerjakan haji dengan emak pada tahun 1994. Kata emak dia sudah tidak ada fikiran lagi untuk terus mengumpul harta, malah kehidupannya juga dirasakannya sudah selesai. Maksudnya beliau telah selamat melakukan segala syarat-syarat rukun Islam yang lima. Jadi emak mahu kami pula meneruskan usaha melengkapkan diri bagi mencapai syarat-syarat rukun Islam tersebut.
Ini merupakan satu motivasi bagi kami sebenarnya. Hasrat untuk mengerjakan haji tidak pernah kami lupakan. Cuma ia telah lama jauh dari senarai kehidupan. Akhirnya tarikh dan waktu pun ditetapkan, kami berangkat ke pejabat Tabung Haji Kelana Jaya untuk mendaftar. Dari pegawai Tabung Haji kami diberitahu kami akan pergi haji tahun 2018.  Bermakna sepuluh tahun lagi kami akan ke Mekah. Sekiranya hendak pergi awal bolehlah membuat rayuan, beritahu pengawai itu lagi. Sebelum pulang kami menjamu selera mee kari di gerai yang terletak di hadapan Tabung Haji. (Ketika saya dan Sobah ke sana semasa proses penyerahan passport, gerai tersebut telah dirobohkan)
Akhir tahun 2009, emak bersuara tatkala kami adik-beradik berkumpul di rumah emak. Kata emak dia berhajat untuk mengerjakan haji tahun depan, iaitu tahun 2010 / 1431H. Emak mempelawa anak-anak untuk pergi bersama-sama ikut muassasah. Ucu adik yang bongsu setuju untuk berbincang dahulu dengan isterinya Aishah. Uda adik perempuan saya memang sudah lama berhasrat untuk menunaikan haji kerana tabungannya juga telah mencukupi. Cuma saya dengan Kak Long sahaja yang masih belum memberikan kata putus. Namun bukan bermakna kami tidak mahu pergi, cuma masalah kewangan dan tanggungjawab keluarga yang merantai kehidupan, membuatkan kami berbelah bagi.
Dalam perjalanan pulang, isteri saya Sobah, menyuarakan hasratnya untuk bersama-sama emak mengerjakan haji tahun 2010. Memandangkan hasratnya yang memang bersungguh-sungguh untuk pergi menunaikan haji, saya tidak menghalangnya, cuma saya katakan saya mungkin tidak dapat pergi bersama kerana masalah kewangan dan masalah anak-anak yang akan ditinggalkan.
Awal tahun 2010 emak, Ucu dan Uda, telah mula menghadirkan diri mengikuti kursus-kursus haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji. Manakala Sobah pula turut mengikuti kursus haji yang dianjurkan oleh Ash-Har Travel & Tours Sdn. Bhd. di Desa Pandan, Kuala Lumpur. Kursus tersebut dikendalikan oleh Dr. Abdul Basit Abd Rahman. Kursus haji oleh Ash-Har Travel yang dihadiri oleh Sobah, secara kebetulan pada awalnya sekadar untuk menemani Kak Ain, rakan sekerjanya. Tetapi apabila emak yang bersungguh-sungguh mengajak kami semua ke Mekah, Sobah mula serius menghadirkan diri. Emak sangat gembira bila diberitahu Sobah akan ikut serta mengerjakan haji dan sedang mengikuti kursus haji.
Kak Long akhirnya memberitahu, beliau tidak dapat bersama-sama emak tahun 2010 untuk mengerjakan haji. Kalau ada rezeki insyaallah dia akan pergi juga dengan mengeluarkan tabungan KWSP dalam jangkamasa empat tahun lagi. Saya masih dengan alasan yang sama, masalah kewangan dan anak-anak.
Hampir setiap minggu, emak, Ucu dan Uda sibuk mengikuti kursus-kursus haji bersiri. Emak dan Ucu lazimnya akan menghadirkan diri di Mesjid Kelana Jaya. Ada ketikanya Ucu akan membawa emak ke Mesjid Kampung Medan, Jalan Kelang Lama, juga untuk mengikuti kursus haji yang dikendalikan oleh Ust. Haji Samsudin Sidek. Manakala Uda pula mengikuti kursus di Mesjid Tikam Batu, Sg.Petani, Kedah Darul Aman. Uda sememangnya menetap di Sungai Petani dan mengajar di salah sebuah sekolah di sana. Suaminya Fadzli, juga mengajar di Sungai Petani.  Sesekali Kak Long akan membawa emak mengikuti kursus haji apabila Ucu tidak berkesempatan. Dapatlah juga sedikit sebanyak Kak Long mendengar kuliah haji yang diberikan oleh penceramah haji.

Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman 
http://www.abuanasmadani.com/
Isteri saya Sobah, yang telah saya berikan keizinan untuk mengerjakan haji, meneruskan kursus hajinya dengan menghadiri kursus haji bersiri oleh Dr Basit yang juga dikenali dengan Abu Anas Madani. Beliau pernah mengendalikan program ‘Tanyalah Ustaz’ kelolaan TV9. Setiap hari sabtu, saya akan menghantar Sobah dengan motosikal Modenas yang dibeli dari arwah bapa mertua, hingga ke stesen minyak BHP berhadapan dengan Giant Batu Caves. Kami akan menunggu di situ sehinggalah Kak Nurul, bekas rakan sekerja kami sampai bersama suaminya dengan kereta proton baru berwarna hitam mereka. Sobah akan bersama-sama mereka pergi mengikuti kursus haji. Kemudian saya akan bergegas pula menghantar anak-anak kami, Syawal dan Hakimi ke kelas tusyen. Dan begitulah rutin kami semua setiap minggu.

Petikan buku..Menggamit Rindu Haramain

No comments:

Post a Comment