Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Thursday 14 July 2011

SAAT KEBERANGKATAN (Bhg 1)

24.10.2010
Bersama bantuan anak-anak, saya menyusun beg-beg pakaian kami berdua ke dalam kenderaan. Saya membawa satu beg pakaian besar, bersama sebuah ‘bag pack’. Beg yang dihadiahkan oleh pihak Tabung Haji, saya hadiahkan pula kepada anak-anak. Sobah membawa sebuah beg pakaian dan sebuah lagi beg galas beroda, yang dihadiahkan oleh Tabung Haji untuk dibawa masuk ke dalam pesawat. Penggunaan ‘bag pack’ sangat bersesuaian bagi saya. Saya selesa dengannya. Malah ketika perjalanan ke Arafah, Muzdhalifah dan melontar di Jamrah saya menggunakan ‘bag pack’.
Beg-beg kami telah kami ‘tag’kan dengan kad ‘laminated’ berwarna kuning bertulis ‘Mat Selangor’, selain reben merah, hijau dan kuning. Harap-harap tiada jemaah haji lain yang menggunakan ‘tagging’ yang sama dengan kami.
Sekitar pukul 10 pagi Mushi sekeluarga dan Shikin sekeluarga tiba dengan lauk-pauk untuk makan tengahari. Sebenarnya mereka hadir sehari sebelum itu lagi. Mereka berpakat untuk menyediakan makan tengah hari pada hari keberangkatan di rumah Shikin di Subang Bistari. Kata Mushi nanti rumah saya tidak kotor. Maksudnya kami tidak perlulah bersusah payah memasak untuk tetamu yang hadir. Kemudian Kak Zawiyah, jiran sebelah rumah pula memanggil Sobah di bahagian dapur. Seperiuk kuah lemak ikan masin yang telah siap dimasak, diberikan kepada Sobah.
Kami sungguh terharu dengan keikhlasan Kak Zawiyah. Sebelum itu, pagi-pagi lagi Kak Sa’diah telah pun meminta anak saya  mengambil kuih ‘seri muka’ dari rumahnya. Tidak putus-putus kami menerima kebaikan dari mereka berdua. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas, kebaikan mereka sekeluarga. Namun biarpun saya adalah peminat masak lemak ikan masin, tetapi tengah hari itu saya tidak dapat menikmati kelazatan masakan Kak Zawiyah semahu-mahunya. Kami telah diberi peringatan melalui pesanan dari buku Tuan Haji Zainal bin haji Bujang, bertajuk ‘Panduan Komprehensif Pelaksanaan Haji Tamattu’;
Panduan Komprehensif Pelaksanaan Haji Tamattu‘Kurangkan makan terutama makanan yang pedas-pedas…kemudahan tandas dalam pesawat amat terhad’. 
Saya bersolat zohor di surau Al-Hijrah. Kesempatan diambil untuk bersalam-salaman dan berpelukan dengan rakan-rakan kariah. Kemudian saya menunaikan solat sunat musafir di rumah. Setelah selesai solat saya memanggil Sobah untuk berdoa bersama-sama. Dengan menggunakan buku Panduan Perjalanan Jemaah Haji yang diberikan oleh pihak Tabung Haji, saya membaca doa musafir perlahan dan menghayati setiap patah perkataannya. Air mata laju menitis membasahi buku yang ada ditangan saya . Sobah juga tidak dapat menahan air matanya.
“Ya Allah Engkaulah teman dalam perjalanan dan Engkaulah penjaga keselamatan kaum keluarga, harta benda, anak cucu dan sahabat handai kami. Ya Allah peliharalah kami dan mereka dari keburukan dunia dan kerosakannya. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini dan juga amalan-amalan yang Engkau redhai.”
“Ya Allah, kami memohon supaya didekatkan dan dimudahkan perjalanan kami dan kurniakanlah kami sepanjang perjalanan ini keselamatan tubuh badan, agama dan harta benda. Sampaikanlah maksud kami mengerjakan haji dan mengunjungi maqam Nabi Mu Muhammad S.A.W.”
“Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan Mu daripada segala mara bahaya di dalam perjalanan dan perkara-perkara yang mendukacitakan, jauhilah buruk pandangan pada kaum keluarga, harta benda, anak cucu dan sahabat handai kami.”
“Ya Allah, letakkanlah kami dan mereka sekalian di dalam peliharaan Mu, jangalah Engkau lucutkan nikmat Mu dari kami dan mereka, janganlah Engkau mengubah kesihatan yang ada pada kami dan pada mereka. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

Terasa begitu syahdu rasanya selepas membaca doa tersebut. Air mata tak henti-henti mengalir, ketika saya melipatkan sejadah. Di luar rumah, jiran-jiran dan sahabat sudah pun menunggu. Seperti yang telah saya rancangkan, anak kedua saya, Ahmad Salleh terus melaungkan azan di dalam rumah. Kemudian saya dan Sobah pun melangkah keluar. Anak saya yang sulung, Muhammad Luqman pula melaungkan azan. Sesungguhnya inilah saat-saat yang paling pilu dalam hidup saya ketika mahu meninggalkan rumah untuk berpergian jauh. Kami  akan meninggalkan rumah hampir dua bulan lamanya. Maka elok benarlah saranan saya agar rumah yang akan ditinggalkan ini, ditinggalkan dengan laungan azan yang mengagungkan keEsaan Allah. Rumah ini akan ditinggalkan kosong selama kami tiada. Anak-anak akan ke Kedah bersama Mushi dan Wahidah.
Sejurus Luqman selesai melaungkan azan, Abang Z, jiran sebelah rumah pula telah diberikan penghormatan, untuk melaungkan azan di luar pagar sebelum kami menaiki kenderaan. Selesai Abang Z melaungkan azan, Ustaz Zul, iman surau Al-Hijrah, Taman Industri Bolton pula membacakan doa. Sekali lagi saya tidak dapat menahan air mata apabila Ustaz Zul membacakan doanya dalam bahasa Melayu dengan penuh perasaan. Doanya memenuhi degup jantung saya. Tetamu yang hadir turut sama mengaminkan doa istimewa dari Ustaz Zul itu. Mereka juga menjiwai suasana ketika itu.
Selepas membuat ucapan perpisahan dan pesanan, bersama sebak dan airmata yang tidak berhenti mengalir, saya bersalam-salaman dengan semua jiran tetangga dan rakan yang hadir. Kemudian kami bergerak menaiki kenderaan berserta doa dan lambaian meninggalkan mereka semua. Doa kami hendaknya lambaian ini bukanlah lambaian terakhir.
Mengikut perancangan, kami adik-beradik akan berkumpul di rumah emak di Taman Seri Sentosa, Jalan Kelang Lama. Dalam jadual yang kami persetujui, kami akan bertolak dari rumah emak ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya selepas solat asar. Jadual Penerbangan Haji pula menyatakan, kami dikehendaki melapur diri pukul 9.30 malam.
Ketika memandu ke rumah emak saya dan Sobah melayan perasaan masing-masing. Sungguh dirasakan berat sekali hendak meninggalkan rumah. Namun atas kerelaan Abang Z, Kak Zawiyah, Pak Din dan Kak Sa’diah, jiran kami yang menawarkan diri untuk melihat-lihat rumah kami, ianya memberikan kami sedikit kekuatan. Shikin adik Sobah dan Angah abang saya juga telah bersetuju untuk sesekali menjenguk rumah kami. Rupa-rupanya setelah kami pulang dari mengerjakan haji, Angah telah beberapa kali datang ke rumah kami. Beliau bersama Kak Jamilah dan anak-anak  mereka menyapu dan membersihkan rumah kami. Shikin pula membantu membayarkan bil-bil elektrik, air dan telefon semasa ketiadaaan kami untuk mengelakkan bil tertunggak. Saya amat berterimakasih dengan pengorbanan Angah dan Shikin.
Sampai di rumah emak, kami berehat. Beg-beg pakaian, kami tidak keluarkan dari kenderaan. Kemudian saya berehat di mesjid Imam At-Tirmizi bersebelahan rumah emak sementara menunggu waktu asar. Dari pembacaan dan pemahaman saya, bagi jemaah haji yang ingin mengerjakan haji Tamatuk, mereka akan berniat umrah semasa dalam pesawat sebelum melalui miqat Qarnul Manazil. Maka sebelum berniat, jemaah hendaklah berpakaian ihram serta menjaga pantang larang ihram yang ada 13 perkara. Jemaah haji Tamatuk yang terus ke Mekah, boleh memakai kain ihram semasa di rumah, di Kelana Jaya atau di dalam pesawat. Tetapi bagi mereka yang bimbang terlupa berihram atau berniat ihram, adalah digalakkan untuk berniat dan memakai ihram dari rumah atau di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
bersambung....

No comments:

Post a Comment