Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Friday 15 July 2011

PERSIAPAN HAJI


PERSIAPAN

Begitu pun kami mendapat tawaran ‘Terpilih’ dari Tabung Haji, tetapi persediaan yang rapi juga perlu kami lakukan. Terutama saya yang tidak pernah menghadiri mana-mana kursus haji. Pengetahuan dan ilmu manasik haji yang terbatas, diperolehi sewaktu di sekolah dan ketika menadah kitab bersama Tuan Guru Haji Hafidz Selamat di Madrasah Islamiah, Jenderam Hilir, memaksa saya kembali menjadi ulat buku. Selain dari itu saya juga berusaha sedapat mungkin mengumpul maklumat-maklumat dari setiap sumber. Bermula dengan buku-buku hadiah dari Tabung Haji sehinggalah saya kembali menyelongkar kaset-kaset dan cekera padat kuliah-kuliah agama yang saya kumpul sejak sekian lama. Ini termasuklah kuliah agama Ustaz Dato’ Haji Shamsuri Haji Ahmad dari kitab Bahrul Mazi jilid 6.

Tekanan perasaan dirasakan bagai murid sekolah yang kerap ponteng sedang menghadapi peperiksaan SPM. Buku-buku, cakera-cakera padat, risalah-risalah berkaitan haji yang dicetak dari blog-blog, beg besar yang masih kosong, berserakan memenuhi bilik bacaan. Saya mula menulis dan menyenaraikan semua barang-barang yang perlu dibawa ke Tanah Suci. Senarai barang-barang berkenaan saya perolehi dari buku-buku yang diberikan oleh pihak Tabung Haji. Saya juga melayari blog-blog yang berkaitan dengan pemergian haji untuk mendapatkan info-info terkini berkenaan barang-barang keperluan. Terdapat juga beberapa tambahan barang-barang yang saya fikir amat perlu ketika di sana. Namun yang penting jemaah kenalah membuat timbangan pada setiap beg pakaian anda sebelum berangkat pergi dan pulang ke tanah air. Bagi beg pakaian ketika berangkat ke Tanah Suci, mestilah tidak melebihi 20 kilogram. Ketika pulang pula tidak melebihi 30 kilogram. ‘Hand luggage’, iaitu beg galas beroda hadiah dari Tabung Haji pula tidak melebihi dari 5 kilogram.


Pada pendapat saya, jemaah haji tidak perlu tertekan untuk membawa berbagai-bagai barang yang sebenarnya boleh didapati di Tanah Suci. Contoh barang-barang yang boleh diperolehi di Tanah Suci dengan harga yang berpatutan ialah;






1. Kain ihram – bawa yang dipakai sahaja. Untuk lebihan beli di Tanah Suci.


2. Gunting. Kecuali pisau cukur, kerana di sana pisau cukurnya tumpul.


3. Kalau anda selesa dengan jubah, tidak perlu bawa baju Melayu. Jubah boleh diperolehi dengan harga murah di sana.


4. Lampu picit dan bateri.


5. Uncang kasut guna beg plastik.


6. Sabun mandi dan sabun basuh yang dibeli di sini tidak berfungsi sepenuhnya di Tanah Suci. Kerana air yang digunakan di sana adalah air laut yang disuling.


7. Tali ampaian.


8. Penyangkut baju – boleh diperolehi percuma dari kedai-kedai pakaian.






Kami telah diberi kata-kata nasihat supaya membawa serunding, sambal ikan bilis dan lain-lain masakan kering yang tahan lama. Tujuannya adalah sebagai pembuka selera kata mereka. Maka saya dan Sobah pun membeli beberapa bungkusan serunding. Kemudian kami beli plastik kecil. Serunding tersebut kami masukkan ke dalam plastik-plastik kecil tersebut untuk memudahkan kami sewaktu menggunakannya dan untuk mengelakkan pembaziran. Anak-anak turut membantu kami. Ketika membungkus serunding tersebut saya teringatkan peristiwa ketika kami adik-beradik kecil-kecil dahulu. Kami sering membantu arwah bapa membungkus ‘kacang botak’. Arwah bapa saya membuka kedai kecil-kecilan semasa kami tinggal di rumah setinggan Kampung Seri Pinang, Jalan Kelang Lama.


‘Kacang botak’ itu dimasukkan ke dalam plastik kecil, sekitar 30 biji kemudian di ‘seal’kan dengan cara dilalukan di atas api pelita. Itulah yang kami lakukan ke atas serunding kami bersama anak-anak. Sebenarnya saya telah meminta Uda untuk menyediakan sambal ikan bilis. Tetapi kerana kesuntukan masa dan beliau juga sibuk menguruskan keberangkatan beliau, kami hanya merasa sambal ikan bilis kepunyaan Kak Zu, rakan sebilik emak, Sobah dan Uda semasa di Mekah. Abang Riduan suami Kak Zu tinggal sebilik dengan saya. Kami selalu bertukar-tukar serunding dengan sambal ikan bilis mereka. Tetapi sambal ikan bilis Kak Zu adalah yang paling cepat habis.


Kami telah diberikan setiap seorang 2 helai uncang oleh emak. Dalam diam-diam emak rupa-rupanya telah menyiapkan uncang-uncang yang comel yang dijahitnya sendiri berwarna hijau dan putih. Sebenarnya kami telah menerima lebih kurang 4 helai hadiah uncang dari ‘Rakan Koperat’ Tabung Haji selain dari Syarikat Mesiniaga Sdn. Bhd. Tetapi kami tetap menggunakan uncang istimewa dari emak. Uncang yang sama bentuk digunakan oleh Allahyarhan Tan Sri P.Ramlee dalam filem ‘Musang Berjanggut’ untuk mengisi beras, cili kering, bawang merah dan segala macam rempah ratus itu.


Selain dari membuat persiapan untuk barang-barang keperluan, saya juga terpaksa bersengkang mata menelaah, membuat rujukan dan menonton rakaman-rakaman ceramah kursus haji bersiri. Memandangkan saya adalah ‘Dhuyuf Ar-Rahman’ yang tidak pergi berkursus, maka saya terpaksa berkorban masa menyediakan diri dengan selengkap-lengkapnya. Rakaman kursus haji bersiri Ustaz Haji Samsudin Sidek dan Dr. Basit, saya ulang-ulang beberapa kali untuk memantapkan pemahaman.


Manakala buku-buku rujukan penting saya adalah seperti berikut;



1. Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah – hadiah dari Tabung Haji


2. Panduan Perjalanan Jemaah Haji – hadiah dari Tabung Haji


3. Doa-doa dan Panduan Solat Sunat di Tanah Suci – hadiah dari Tabung Haji


4. Panduan Kesihatan Jemaah Haji – hadiah dari Tabung Haji


5. Wirid Terpilih Untuk Dhuyuf Ar-Rahman – hadiah dari Tabung haji


6. Nota Kursus Haji – Dr Abdul Basit Abdul Rahman


7. Makkah Al-Mukarramah, Kelebihan dan Sejarah – Dr Abdul Basit


8. Madinah, Kelebihan dan Sejarah – Dr Abdul Basit


9. Kembara hati di Tanah Suci – Ustaz Ghazali Ibrahim


10. Travelog Haji, Mengubah Sempadan Iman – Professor Muhd Kamil Ibrahim


11. Panduan Kursus Haji Bersiri – Ustaz Haji Samsudin Sidek


12. Keistimewaan Mekah – Ummu Ammar


13. 345 Tip & Manual Persediaan “Pra Haji Mabrur” – Haji Zainal bin Haji Bujang


14. Panduan Komprehensif Pelaksanaan Haji Tamattu’ – Haji Zainal bin Haji Bujang




Laman-lama blog yang kerap saya kunjungi untuk mencari maklumat dan berita-berita terkini di Tanah Suci adalah seperti berikut;






















11. http://tanahsucimabrur.blogspot.com/


Dan banyak lagi....sekadar menulis beberapa alamat...

No comments:

Post a Comment