Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Thursday 21 July 2011

Terlerainya Sebuah Harapan

Masjid Al-Amin, Sungai Layar, yang bersebelahan dengan satu kawasan perumahan masih seperti dahulu. Kawasan yang dahulunya lapang sebelum masuk ke kawasan mesjid, kini sedang rancak dengan pembangunan asrama tahfiz. Mesjid ini pernah mendapat pengiktirafan sempena sambutan Ma’al Hijrah dua tahun lepas sebagai mesjid contoh peringkat kebangsaan. Anak-anak hufaz yang belajar dengan Haji Salleh, Imam mesjid, datang dari seluruh Malaysia. Malah terdapat antaranya yang datang dari Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.            Disebelah kanan mesjid terdapat asrama sementara untuk pelajar-pelajar tahfiz. Asrama sementara itu sebenarnya adalah dewan mesyuarat. Ia telah diubahsuai untuk dijadikan asrama. Disebelah kiri, terpisah sedikit dari bangunan mesjid didirikan sekolah agama. Disekolah inilah tempat arwah ibu Nurizati mengajar anak-anak Kampung Sungai Layar mengaji Al-Quran. Di hadapan mesjid terdapat satu kawasan yang luasnya kira-kira setengah ekar tanah wakaf perkuburan. Dan di situlah arwah ibu Nurizati disemadikan.
            Di penjuru, di bawah rimbunan pohon-pohon kemboja, satu susuk tubuh, duduk teresak-esak sambil membaca ayat-ayat suci dari surah Yasin. Selesai membaca surah Yasin, Nurizati bangun membetulkan bajunya. Dicapainya jag plastik hijau disisinya yang berisi air mawar lalu  dijirusnya pusara ibu tercinta dari hujung kepala batu nisan hingga ke kaki batu nisan yang satu lagi. Dalam sendu dan esak Nurizati bermohon kepada Yang Maha Esa, agar dosa ibunya diampunkan dan rohnya ditempatkan bersama insan-insan yang soleh. Amin.
SK TUAN SYED JAN AL JAFFRI            Nurizati menyarungkan selipar Jepun birunya di pintu masuk kawasan perkuburan. Pengunjung-pengunjung tidak dibenarkan membawa kasut atau sepatu kedalam kawasan perkuburan. Ini bagi menghormati roh-roh yang bersemadi, kata siak Pak Tam Janggut kepada Nurizati sebelum dia melangkah masuk ke wakaf itu sebentar tadi.
Jambatan Semeling            Bertentangan dengan simpang tiga di hadapan Sekolah Syed Jan Al-Jefri, Nurizati membelokkan Kancil Birunya ke kanan menghala ke pasar Sungai Jagung. Selesai membeli beberapa barang keperluan Nurizati memandu terus ke Titi Semeling. Pemandangan indah dengan hutan rimba yang menghijau memukau mata memandang dari atas jambatan. Sungai Semeling yang kaya dengan khazanahnya menjadi sumber rezaki penduduk di pinggir-pinggir sungai terutama di Kampung Pulau Tiga. Sampai di simpang tiga Semeling Nurizati membelok ke kiri dan meneruskan perjalanannya. Nurizati meletakkan Kancilnya di bawah pokok rambutan menghadap pintu dapur. Dia tahu Mustafa pasti mengamuk kalau dia meletakkan Kancilnya di garaj kereta. Dia rela mengalah. Rumah banglo lama yang dibeli oleh Mustafa dengan pinjaman dari majikannya itu kepunyaan Cikgu Sidek, bekas guru besar sekolah. Selepas pencen Cikgu Sidek berpindah ke Taman Koperasi Polis bersebelahan Lebuhraya Karak, kerana mendapat tawaran mengajar di Gombak Kuala Lumpur.
            Nurizati membuka bonet belakang Kancilnya. Diambilnya bungkusan ikan patin dan sayur-sayuran.. Nurizati akan masak sedap-sedap malam ini. Malam ini adalah malam istimewa untuk mereka berdua. Sepanjang perkahwinannya hanya tahun pertama sahaja dia dan Musafa dapat sama-sama meraikan hari bersejarah ini. Dan tahun berikutnya hanya dia seorang sahaja yang meraikannya. Mustafa sudah tidak pernah lagi untuk memikirkan hari istimewa mereka berdua. Mustafa sekarang sudah selalu pulang lewat malam. Ada saja perkara untuk dibuat alasan. Sibuk, terlupa dan berbagai lagi alasan yang Nurizati sudah masak dan hadam dengan alasan Mustafa yang direka-rekanya itu.
Mustafa sebenarnya bukanlah manusia yang tidak mempunyai pegangan agama. Malah dari kecil lagi dia telah diberikan asas agama yang baik oleh arwah bapanya, Haji Ahmad, imam surau Kampung Pinang Tunggal. Ibunya juga merupakan bekas ustazah di salah sebuah sekolah agama rakyat di Taman Dato’ Harun. Benarlah seperti kata pepatah. Iman tidak mungkin dapat diwarisi.
            Sebenarnya sudah acap kali Nurizati memberi kata nasihat. Malah kelakuan Mustafa semakin menjadi-jadi. Setiap kali kata-kata nasihat atau pertanyaan yang Nurizati ajukan, maka setiap kali itulah ia akan diakhiri dengan perbalahan. Namun bila keadaan reda, pandai pula Mustafa memujuk untuk mendapatkan ‘sesuatu’ dari Nurizati. Dan selama ini pun Nurizati tidak pernah menghampakan ‘permintaan’ suaminya itu. Biarpun dalam keadaan demam dan letih. Lelaki yang bernama Mustafa ini bukan mengerti itu semua, yang penting kepuasan batinya dapat dilampiaskan.
            Pada awal-awal tahun perkahwinannya Nurizati cukup bahagia. Mustafa adalah suami idamannya. Mustafa tidak pernah balik lambat kecuali ada tugas di pejabat. Itu pun dia akan maklumkan pada Nurizati terlebih dahulu. Tanggungjawabnya sebagai suami tidak pernah diabaikan. Cuma rezeki untuk menimang cahaya mata belum diizinkan Allah. Mungkin ada sesuatu hikmah disebaliknya.
Perangai Mustafa mula berubah apabila bertemu semula dengan Agus rakan sekuliahnya sewaktu di universiti. Agus juga kerap datang ke rumah. Nurizati tetap melayan Agus, seperti dia melayan tetamu-tetamu sahabat suaminya yang lain. Cuma si Agus ini lain macam pula perangainya. Matanya tidak akan berkelip memandang Nurizati ketika Nurizati menghidangkan air minuman. Malah ada ketikanya waktu malam, Mustafa ada mesyuarat, walaupun Agus tahu Mustafa tiada di rumah, dia sengaja datang bertanyakan Mustafa pada Nurizati. Nurizati pun pelik dengan perangai sahabat suaminya yang seorang ini. Nurizati tidak pernah sekali-kali membenarkan sesiapa pun memasuki rumah tanpa izin suaminya.
            Aguslah yang telah menyucuk jarum syaitannya pada Mustafa. Diajarnya  Mustafa ke kelab dangdut, disco dan lain-lain. Malah dia mengumpan Mustafa dengan pelacur. Kehidupan Mustafa semakin hari semakin hancur. Duit gajinya habis dengan perbelanjaan keseronokannya. Dangdut, kelab malam, disco dan pelacur sudah menjadi kemestian disetiap malam minggu.    
            Setelah tidak tahan dengan perangai suaminya sekian lama, Nurizati nekad malam itu dia akan mengeluarkan segala isi hatinya yang terbuku sekian lama. Nurizati redha apa pun yang akan dilakukan oleh Mustafa. Sekiranya perpisahan itu ketentuan Tuhan dan itu adalah jalan terbaik, Nurizati redha. Kesabarannya sudah tidak dapat dibendung lagi. Dia mesti mendapatkan kepastian dari Mustafa malam itu juga.
            Dalam solat Isyak malam itu Nurizati memanjangkan sujudnya. Dengan air mata Nurizati memohon pada Allah diberikan kekuatan. Dia sudah tidak mampu lagi menanggung bebanan ini. Perkahwinan yang didasari dengan keikhlasan atas satu percintaan suci, sudah tidak seutuh Mesjid Baiturrahman di Aceh yang dilanda tsunami.
            Usai solat Isya’, Nurizati menyediakan makan malam untuk suaminya. Dia sudah tidak ada selera untuk menjamah makanan lagi. Walaupun kelaparan merobek-robek ususnya, dia tidak ada keinginan untuk mengisi perutnya. Fikirannya berkecamuk. Dengan kondisi yang tidak tenteram itu sempat juga Nurizati memasakkan ikan patin asam pedas. Ikan patin masak asam pedas atau masak lemak cili api adalah kegemaran suami tercintanya.
            Nurizati mengenakan gaun sutera ungu yang ditempahnya khas untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka malam itu. Nurizati tidak pernah lupa meraikan hari ulangtahun perkahwinan mereka. Cuma Mustafa sahaja yang tidak pernah menghiraukan keprihatinan isterinya itu. Selepas meletakkan air sirap bandung di atas meja Nurizati duduk di sofa antik kayu jati warna merun di ruang tamu sambil menonton televisyen. Nurizati sudah bersedia.
            Mustafa Kamil yang dikenalinya sewaktu di universiti dahulu tidaklah sepopular Agus. Agus memang dikenali oleh siswa-siswi di kampus. Agus anak Dato’ Syawal. Seorang Usahawan yang sangat dikenali di utara Semenanjung. Agus akan memandu Honda Accord hitamnya apabila menghadiri kuliah. Agus akan menggunakan kelebihannya itu untuk menggoda siswi-siswi. Agus bukanlah terlalu bagus dalam pelajarannya. Mustafa Kamillah yang banyak membantu Agus dengan nota-nota dan kerja kuliah. Mustafa adalah ahli jawatankuasa ‘Amal Maaruf Nahi Mungkar’ di kampus. Nurizati juga menganggotai jawatankuasa persatuan yang sama.
            Perkenalan yang membibitkan putik-putik percintaan bermula apabila suatu hari Nurizati mencabar Mustafa untuk merubah perangai Agus dalam satu mesyuarat. Perangai Agus dikhuatiri akan merosakkan siswi-siswi yang baru menjejakkan kaki di kampus. Mustafa menerima cabaran Nurizati. Setelah itu Agus mula berubah. Tetapi semuanya hanya lakunan. Mustafa meminta Agus berubah semata-mata untuk menambil hati Nurizati. Nurizati mengetahui semua lakunan mereka berdua apabila Mustafa sendiri menceritakannya semasa mereka berbulan madu.
            “Pang!!!,” gelas air bandung jatuh berkecai di lantai.
            Nurizati terkejut dari lenanya. Nurizati melihat jam di dinding. 2.30 pagi. Rupa-rupanya Nurizati tertidur ketika menunggu kepulangan suaminya. Nurizati berjalan menuju ke arah meja makan. Nurizati terperanjat apabila melihatkan suaminya yang sedang terbongkok-bongkok mengutip serpihan kaca.
            “Abang, bila abang balik?,” Nurizati turut duduk bertinggung membantu suaminya mengutip kaca-kaca di bawah meja.
            Mustafa tidak menjawab pertanyaan isterinya itu.
            “Tak apalah bang, nanti Zati kemaskan. Biar Zati ambilkan air sirap bandung lain untuk abang,” Nurizati menuangkan air sirap bandung ke dalam satu lagi gelas  untuk Mustafa. Ketika Nurizati menyuakan gelas kepada Mustafa, tiba-tiba Mustafa menepis gelas tersebut. Gelas yang berisi air sirap bandung itu terpelanting ke dinding dan jatuh ke lantai. Pecah berderai. Malam itu entah syaitan apa yang telah merasuk dalam badan Mustafa, dia seolah-olah telah hilang kewarasannya
“Kalau kau rasa dah tak bahagia kau boleh pergi berambus!,” Jerit Mustafa pada Nurizati.
“Abang! apa abang cakap ni?” Nurizati mula hendak menangis.
            “Berambus aku kata berambus!,” Mustafa yang dirasuki syaitan laknatullah, menarik rambut Nurizati. Diheretnya Nurizati sehingga ke luar rumah. Meja telefon jatuh terkena kaki Nurizati. Pasu bunga yang dibeli di Danok dua minggu lepas turut hancur berderai ditepis oleh Mustafa. Nurizati sempat menoleh ke pasu bunga itu. Berderainya pasu bunga itu seperti pecah berderainya harapan dan tempat pergantungan Nurizati pada Mustafa selama ini.

No comments:

Post a Comment