Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Wednesday 13 July 2011

Kehilangan

Sebuah kehilangan



10.6.2010, saya Sobah dan anak-anak balik ke Sungai Layar, Sungai Petani Kedah, kampung Sobah. Tujuan kami bercuti adalah kerana untuk meraikan perkahwinan anak saudara, Wahidah. Iaitu anak Kak Pah, Kakak Sobah. Pak, bapa Sobah, juga bapa mertua saya telah lama sakit. Kali terakhir kami bertemu, dua bulan sebelum itu. Pak juga kelihatan sangat uzur. Namun beliau menggagahkan dirinya berjalan keluar menggunakan tongkat, memberikan ucapan selamat jalan kepada kami, sewaktu kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Namun kami tidak menyangka keadaan Pak ketika kami sampai hari itu. Pak sudah tidak mampu berjalan malah tidak mampu lagi mengenali kami. Pak hanya terbaring sambil nafasnya sahaja yang dapat kami dengar. Untuk menggerakkan-gerakkan tangannya sendiri pun Pak sudah tidak bermaya. Makcik, emak tiri Sobah memberitahu, sudah empat hari Pak tidak makan. Makcik hanya menyuakan air kedalam mulut Pak serta mengelap badan Pak dengan kain basah.

Hari Raya Pertama 2008 di Hospital Sungai Petani. Petang akhir Ramadhan, Pak kena strok, ketika kami sibuk memasak dan merebus ketupat. Kami semua cemas dan bimbang....Akhirnya kami beraya di hospital...(Gambar..Arwah Abang Din, Mushitoh dan Sabrina)
Badan Pak semakin kurus. Kulitnya juga kelihatan kering. Matanya sedikit terbuka, tetapi tidak melihat tepat kepada kami ketika kami berada di sisinya. Sobah sudah tidak dapat menyembunyikan kesedihannya. Saya mememberi salam dan mengajar Pak mengucap. Tiada tindakbalas dari Pak. Melihatkan keadaan Pak yang sangat uzur itu saya meminta anak-anak untuk membaca Al-Quran di sisi Pak. Anak-anak buah yang lain juga turut sama diajak membaca Al-Quran. Setiap seorang diminta untuk menghabiskan 5 juzuk. Alhamdulillah, mereka semua semacam mengerti keadaan waktu itu. Tanpa berlengah, mereka terus mengambil wudhuk dan mendapatkan nashkah Al-Quran masing-masing.
Malam itu saya, Sobah, Kak Rahimah, biras saya, Mushi, adik Sobah, Shikin, adik bongsu Sobah, Kak Pah serta Ramli, suami Mushi, berbincang tentang keadaan Pak. Kesimpulan yang diambil ialah menghantar Pak ke Hospital Sungai Petani. Malam itu juga jiran-jiran seakan terkejut apabila sebuah ambulan datang ke rumah Pak. Maka ramailah jiran-jiran menghampiri rumah Pak dan bertanya khabar. Setelah diterangkan barulah mereka faham. Sekiranya Pak masih tinggal dirumah, kami semua tidak mampu berbuat apa-apa. Maka elok juga Pak menerima rawatan lanjut dari pihak hospital. Sobah dan makcik bergegas bersiap untuk turut sama ke hospital. Anak-anak saya dan anak-anak buah semuanya diminta ke hospital untuk meneruskan bacaan Al-Quran.
Esoknya selepas sarapan pagi saya ke hospital menjemput makcik. Ketika dihospital, Sobah memaklumkan pihak hospital mahu melakukan pembedahan kecil kepada Pak. Mereka mahu menebuk lubang bagi memudahkan air dimasukkan kedalam tubuh Pak. Sekali lagi kami semua berbincang. Akhirnya memandangkan Pak terlalu uzur, keadannya yang tidak bermaya serta langsung tiada tindakbalas ketika kami memanggilnya, kami mengambil keputusan untuk membawa Pak pulang ke rumah. Di rumah, keadaan Pak masih tidak berubah. Anak-anak Pak berbelah bahagi. Ada yang merasakan tidak sampai hati untuk meninggalkan Pak, sedangkan kenduri perkahwinan Wahidah juga memerlukan mereka di rumah Kak Pah. Akhirnya makcik memberikan kesediaannya untuk menjaga Pak, sementara anak-anak yang lain bolehlah membantu Kak Pah untuk persiapan kenduri esok. Saya bersama makcik tinggal di rumah.
Pak bersama Makcik, dua sejoli di Ulu Yam
12.6.2010. Pagi itu saya sempat beriadah bersama anak-anak buah yang lain di Taman Burung Sungai Petani. Kemudian kami ke rumah Kak Pah. Kami turut membantu menyusun meja, membersihkan tempat khemah dan bersarapan pagi. Setelah segala urusan selesai, saya berjumpa Abang Zainol, suami Kak Pah untuk meminta izin pulang dan berjanji petang nanti kami akan datang semula untuk membantunya mengemaskan apa-apa yang perlu.
Selepas Zohor saya ke rumah Kak Pah, di Taman Ria, untuk makan kenduri. Kak Rahimah, biras saya sempat membungkuskan nasi dan lauk untuk diberikan kepada makcik yang tinggal di rumah menjaga Pak. Kak Long, Abang Sani, Uda sekeluarga dan Angah sekeluarga sempat menziarahi Pak ketika mereka dalam perjalanan bercuti di rumah Uda. Setelah solat asar,  adik-beradik dan saudara-mara yang datang ke kenduri perkahwinan Kak Pah datang menziarahi Pak. Lebih kurang pukul 5.30 petang saya serta anak-anak buah ke rumah Kak Pah untuk memenuhi janji mengemas dan membersihkan apa-apa yang perlu di sana. Sedang saya menyapu sampah, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Jam ketika itu menunjukkan pukul 6.10 petang. Sobah memberitahu Pak sudah tidak ada. Pak telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pantas saya meletakkan batang penyapu dan berjumpa Abang Zainol. Abang Zainol juga sudah maklum tentang berita sedih tersebut.
Sepantas itu juga saya memandu pulang melalui jalan Laguna ke Merbuk. Lampu kecemasan saya nyalakan. Di simpang lampu isyarat, ke kanan arah ke Merbuk melalui jambatan Semeling saya membuat selekoh ke kiri. Terasa sebak dan titis-titis air tiba-tiba mengalir laju membasahi janggut. Dan sebenarnya petang itu, sebelum ke rumah Kak Pah, saya sempat membaca ayat-ayat suci Al-Quran di sisi Pak. Diketika itulah saya dapati ada air bertakung diantara dua tulang selangka Pak. Saya bersihkan air tersebut dengan tisu dan memberitahu Makcik perihal itu. Jangkaan saya itu adalah lebihan air yang Makcik gunakan ketika mengelap badan Pak. Tetapi kata Makcik dia tidak menggunakan air, cuma kain basah yang telah diperah untuk mengelap Pak. Namun ketika itu saya langsung tidak terfikirkan bahawa Pak sedang dalam 'sakaratul maut'. Begitulah kehendak Allah, betapa sakitnya azab kematian itu sehingga badan berpeluh sebelum nafas terakhir dilepaskan. Semoga Allah merahmati Pak.

Sejurus sampai di rumah Pak, saya segera mengarahkan anak-anak dan anak-anak buah menghabiskan bacaan 30 Juzuk. Setelah mengambil wuduk untuk menyambung bacaan Al-Quran, tiba-tiba ada sebak yang membungkam dada. Ada sendu yang menghiba rasa. Dan saya tidak mampu lagi meneruskan bacaan. Sesungguhnya pemergian Pak bukan pertama yang saya alami kesedihannya. Telah banyak kali saya temui kematian dan telah banyak kali saya memandikan jenazah. Namun pemergian Pak seolah-olah menyambut semula ingatan saya kepada arwah Abah, bapa saya.
Telah ditakdirkan dan telah dituliskan antara sebuah kehidupan yang baru bermula dengan disulami permergian insan tercinta. Wahidah adalah antara cucu yang diasuh semenjak kecil oleh Pak. Dibelai dengan penuh kasih sayang. Membesar mewarnai persada generasi berilmu. 'Wahid' adalah gelaran unggul dari Pak untuk Wahidah. Hanya Pak seorang sahaja yang menggunakan nama ‘Wahid’ untuk Wahidah. Kelangsungan detik bersejarah buat semua amnya dan Wahidah khasnya, inilah satu ingatan dari suatu perjalanan kehidupan. Detik ini Wahidah menamatkan dunia kehidupan seorang gadis. Detik itu juga manusia yang dikasihi pergi mengadap Ilahi.
Tengahari ketika hadir menjamu selera di kenduri Wahidah, saya sudah dapat menyelami sanubari Wahidah. Biarpun masih ada senyum dibibirnya, menyerikan majlis perkahwinan itu, namun jauh di penjuru alis matanya, dapat saya lihat ada air mata yang menitis. Wahidah ditatang bagai minyak yang penuh oleh Pak. Cucu yang paling disayangi oleh arwah Pak dan arwah Mak. Saya sendiri tidak pernah melihat atau mendengar tingginya suara Pak atau Mak kepada Wahidah. Petang itu menyaksikan satu sejarah buat Wahidah. Kehidupan barunya bergalang ganti dengan pemergian manusia tercinta yang pernah mengasuhnya dari kecil.
Malam itu saya langsung tidak dapat tidur. Saya meneruskan bacaan al-Quran. Ketika waktu menunjukkan pukul 3 pagi, Pak Su Li, adik Pak tiba bersama keluarganya. Mereka segera berwudhuk dan membacakan ayat-ayat suci di sisi Pak. Kemudian Abang Halim, abang Sobah tiba bersama rakannya. Saya terlelap seketika di atas sofa diluar rumah, sebelum azan subuh berkumandang. Pengurusan jenazah Pak cukup sempurna. Saya bersama Hidzir, suami Shikin telah membuat lapuran kematian di Balai Polis Sungai Petani. Pegawai polis telah memberikan kerjasama sepenuhnya.
Ketika kami mahu berangkat pulang ke Kuala Lumpur, sekali lagi suasana pilu menyelubungi kami. Kali ini tidak ada lagi lambaian dan ucapan selamat jalan dari Pak. Hanya makcik dan keluarga Mushi sahaja yang menghantar kami dan memberikan ucapan perpisahan. Inilah satu dugaan bagi Sobah yang menjadikannya begitu terasa apabila bercerita tentang Pak. Air matanya tidak akan dapat ditahan apabila saya sesekali mengimbau kenangan bersama Pak. Pernah satu ketika sedang saya membaca suratkhabar disebelah Pak, yang ketika itu juga Pak sedang membaca akhbar, saya mengajukkan cara bacaan Pak. Pantas Pak memukul saya dengan akhbar yang ada ditangannya. Pak mempunyai cara bacaannya yang tersendiri. Beliau akan membaca terus tanpa henti. Ini kerana apabila ada tanda bacaan nokhtah, Pak akan menyebut “nokhtah”. Berjumpa dengan tanda ‘koma’ Pak akan berkata “koma” dan terus menyambung bacaannya. Seterusnya jika dalam bacaannya bertemu dengan perkataan ‘Amerika Syarikat’atau ‘Presiden Bush’, Pak akan sepantas itu juga meludah tanpa air. “Thuih! Thuih! Kata Pak. Menunjukkan betapa bencinya beliau dengan negara Amerika dan perdana menterinya itu. Itulah kenangan antara saya dan kami semua bersama Pak yang tidak dapat kami lupakan

No comments:

Post a Comment