Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Sunday, 24 July 2011

"Tawaf Kidai!!!???"

Sebenarnya ada beberapa jenis tawaf yang mesti diketahui oleh jemaah haji atau umrah. Tawaf Qudum ialah tawaf selamat datang. Iaitu tawaf yang dilakukan apabila jemaah haji atau umrah atau sesiapa sahaja yang baru menjejakkan kaki di Mekah disunatkan melakukan Tawaf Qudum. Terutama bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran. Manakala jemaah yang mengerjakan Haji Tamatuk,Tawaf Qudum telah digantikan dengan tawaf untuk umrah yang mereka kerjakan dimana mereka telah berniat umrah ketika di miqat. Tawaf Sunat atau juga Tawaf Tahiyyat dilakukan pada bila-bila masa apabila memasuki Masjidil Haram.
Bagi jemaah haji, Tawaf Ifadah adalah rukun yang mesti dilakukan oleh mereka. Haji tidak akan selesai tanpa Tawaf Ifadah. Tawaf Wida’ pula ialah tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji atau umrah atau sesiapa sahaja yang mahu meninggalkan Mekah, sebagai menghormati Baitullah Al-Haram, iaitu Ka’bah, rumah Allah. Ada satu cerita yang membuatkan kami ketika di bilik hotel hampir ‘pecah perut’ tentang tawaf. Kisah bermula apabila rakan sebilik Abang Ayub memberitahu kami beliau mahu pergi melakukan tawaf.
Saya yang agak hairan ucapan dari Abang Ayub lalu bertanya;
“Hai, tak kan hendak pergi tawaf pakai macam ini sahaja?” tanya saya.
Waktu ini Abang Ayub hanya berpakaian santai. Dengan baju ‘singlet haji’ dan berseluar biasa-biasa, beliau berjalan keluar melalui katil saya.
“Kenapa tidak boleh?” soal beliau pula.
Rakan sebilik yang lain hanya memerhatikan kami.
“Bukan begitu Abang Ayob. Saya rasa tidak sesuailah pakaian Abang Ayob hari ini hendak pergi tawaf. Tidak macam selalu. Biasanya, Abang Ayob siap dengan kopiah, jubah dan serban lagi,” ulas saya mengingatkan Abang Ayob.
“Atau Abang Ayob masih bermimpi lagi agaknya,” usik saya, menyedari yang Abang Ayub baru bangun dari tidur.
Setelah mendapat telefon dari Kak Siti, isteri beliau dari bilik sebelah, Abang Ayub bingkas bangun dari tidur dan terus berjalan keluar sambil memberitahu beliau mahu pergi tawaf.
“Aku hendak pergi tawaf kidai lah!” kata Abang Ayub.
“Ah, Sudah!” ujar Ucu terkejut setelah mengikuti perbualan kami.
“Apa Abang Ayub? Tawaf kidai?” tanya saya pula. Semakin bimbang dengan reaksi Abang Ayub, selamba.
Setahu kami, sepanjang kami belajar dan berkursus haji, selain dari Tawaf Qudum, Tawaf Ifadah, Tawaf Sunat dan Tawaf Wida’, tidak ada ‘tawaf kidai’.
“Aku hendak pergi dengan Kak Siti kamu lah. Dia sedang menunggu di luar,” sekali lagi saya mula meragui kata-kata Abang Ayub.
Setahu saya Abang Ayub beritahu, subuh tadi beliau pergi seorang diri ke mesjid. Kak Siti katanya uzur. Perempuan uzur tidak boleh melakukan tawaf. Tidak mungkin Abang Ayub tidak tahu tentang tawaf. Beliau dan Kak Siti sudah tiga kali menunaikan haji. Dan ini adalah kali ke empat mereka.
Melihatkan saya dan rakan-rakan sebilik yang lain semakin keliru dengan ungkapan ‘tawaf kidai’, Abang Ayub dengan muka ‘selamba’nya memberitahu kami.
“Tawaf kidai itu tidak perlu bersuci dari hadas. Tidak perlu dilakukan di dalam mesjid. Dan tidak perlu berjalan pusing tujuh kali mengelilingi Ka’bah,” kata beliau.
“Tawaf kidai, ialah tawaf dari satu kedai ke satu kedai yang lain”, tambah beliau lagi sambil ketawa besar.
Saya dan rakan-rakan yang lain turut ketawa apabila Abang Ayub menerangkan istilah sebenar ‘tawaf kidai’ tersebut berserta memek mukanya dan lakunannya sekali sambil bergerak dari satu katil ke satu katil yang lain di dalam bilik kami. Sungguh Abang Ayub punya pengalaman yang luas tentang ibadah haji. Pengalaman beliau itu banyak dikongsikan bersama kami semua rakan sebilik.

No comments:

Post a Comment