Apabila mendapat tawaran mengerjakan haji, saya hampir-hampir kehilangan punca. Tanpa menghadiri mana-mana kursus dari pihak Tabung Haji atau Agensi pengendali haji, dengan ketiadaan ilmu manasik haji, apa yang mampu saya lakukan nanti di Tanah Suci? Fikiran saya hampir buntu. Namun kerjasama yang diberikan oleh Sobah, Ucu, emak dan Uda, sedikit sebanyak membina semula semangat saya.
Mereka membekalkan buku-buku rujukan, DVD Kursus haji bersiri, disamping buku-buku hadiah dari Tabung Haji. Selain dari buku-buku tersebut saya turut membeli beberapa buah buku lain sebagai pembakar semangat dan mencari kekuatan ilmu pengetahuan tentang manasik haji. Saya juga banyak membuat rujukan di laman-laman ‘blog’ serta maklumat-maklumat tentang Kota Suci Mekah dan Madinah. Dan apabila mendapat jemputan ke Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Selangor, saya segera bersiap sedia. Tidak sabar lagi rasanya untuk mengikuti kursus tersebut.
Anak-anak, kami tinggalkan bersama Kak Long. Setelah menjamu selera tengahari di rumah emak, dan bersolat zohor di Mesjid Imam At-Tirmizi, saya, emak, Ucu dan Sobah bergerak ke Shah Alam menaiki Innova kepunyaan Ucu. Hujan turun dengan agak lebat petang itu. Saya dapat melihat di perkarangan mesjid terdapat replika seakan-akan Jamrah. Namun replika Ka’bah tidak kelihatan.
Selepas mendaftar kami ditempatkan di Dewan Solat tingkat bawah mesjid. Kami semua dikehendaki mengenakan pakaian ihram dan dibahagikan mengikut Maktab. Kami mendapat Maktab bernombor 4. Mengikut maklumat yang kami terima, peserta yang mengikuti Kursus Haji Perdana ini dihadiri lebih dari 3000 orang bakal jemaah haji tahun 2010. Suasana pendaftaran berjalan lancar biarpun bakal jemaah datang berpusu-pusu mendaftar dan mendapatkan cenderahati.
Sekitar 3.30 petang, Taklimat Praktikal Ibadah Haji diberikan oleh Ketua Pembimbing yang berpengalaman luas dan sangat dikenali oleh mereka-mereka yang pernah mengikuti kursus-kursus haji bersama beliau. Beliau ialah Ustaz Haji Samsudin Sidek. Selesai taklimat, kami menunaikan solat asar berjemaah.
Tepat jam 5.30 petang, kami telah diarahkan mengikut maktab masing-masing keluar dari mesjid dan terus ke bahagian pakir kereta bersebelahan mesjid. Kami akan melakukan praktikal ibadah umrah, iaitu tawaf, saie dan tahallul. Semua peserta beratur dan kelihatan peserta menjinjing selipar masing-masing sebelum keluar dari perkarangan mesjid. Kami sememangnya telah dipesan dari awal agar membawa uncang atau plastik bagi mengisi kasut dan selipar. Kami juga diberi ingatan agar tidak memasang apa-apa niat sewaktu memulakan latihan praktikal ibadah umrah tersebut.
Sambil bertalbiah kemudian kami berjalan diketuai oleh ‘mutawwif’ melalui pakir di belakang mesjid. Kelihatan dari jauh, satu replika Ka’bah berukuran 10 X 10 kaki di tengah-tengah bulatan berbentuk kawah besar. Di sisi replika Ka’bah tersebut terdapat juga lukisan berbentuk ‘Hajar Aswad’ dan tulisan ‘Rukun Yamani’. Bersebelahan replika Ka’bah terdapat replika ‘Hijir Ismail’ dan ‘Makam Ibrahim’. Kami berjalan beriring-iringan mengelilingi ‘Ka’bah’ tersebut dengan tujuh kali pusingan. Saya memerhatikan keadaan sekitar. Walaupun peserta hanya 3000 orang lebih, tetapi gambaran sebenar seolah-olah kami berada di dataran Ka’bah di Mekah sedang bertawaf. Cuma kami semua tidak bertolak-tolak dan berebut-rebut untuk mencium lukisan ‘Hajar Aswad’.
Melalui pembesar suara, Ustaz Samsudin, terus memberikan penerangan dan motivasi kepada peserta-peserta. Walaupun telah diingatkan supaya memakai kain ihram, terdapat juga peserta-peserta berpakaian biasa, bersama-sama melakukan praktikal berkenaan. Mungkin mereka terlupa atau tertinggal kain ihram agaknya. Biarpun selepas hujan lebat, saya dan Ucu yang pertama kali mengenakan kain ihram, berpeluh juga kami dibuatnya. Namun semangat melakukan latihan praktikal tetap kami teruskan. Memandangkan kami tidak dibenarkan turun ke dataran replika ‘Ka’bah’, maka jauh jugalah kami berjalan membuat 7 kali pusingan.
Sambil berjalan kami membaca doa-doa yang telah disediakan di dalam buku doa haji, hadiah dari Tabung Haji dan buku yang kami beli, walaupun di hadapan, ‘mutawwif’ turut membantu kami berdoa. Tetapi kerana suaranya yang tenggelam timbul, akhirnya kami ikut sahaja buku doa. Selesai 7 pusingan kami bertawaf, kami diarahkan pula melakukan saie.
Emak keletihan. Di tepi tempat pakir berkenaan, terdapat beberapa buah kerusi batu, lalu kami duduk berehat. Mencungap jugalah dengan 7 pusingan tawaf tersebut. Sekitar 5 minit kami berehat, kami meneruskan praktikal ibadah saie pula. Dari hujung pakir yang berhampiran mesjid ditulis ‘Bukit Safa’. Di hujung pakir yang satu lagi yang ditulis ‘Bukit Marwah’. Jarak antara kedua-dua ‘bukit’ kira-kira 100 meter. Terdapat juga lampu hijau yang dipasang pada empat batang tiang besi. Dua di kiri dan dua di kanan tempat kami melakukan praktikal saie tersebut. Lampu hijau diletakkan dalam jarak 20 meter perjalanan saie berkenaan.
Dari ‘Bukit Safa’ kami berjalan sambil membaca doa-doa yang terdapat di dalam buku doa yang kami bawa. Sampai di lampu hijau pertama, kami bakal-bakal jemaah haji lelaki, berlari-lari anak hingga ke lampu hijau yang ke dua. Kemudian kami berjalan semula hingga ke ‘Bukit Marwah’. Begitulah yang kami lakukan sehingga lengkap tujuh kiraan. Tujuh kiraan yang dimaksudkan adalah seperti berikut, perjalanan pertama ialah dari ‘Bukit Safa’ ke ‘Bukit Marwah’. Perjalanan kedua pula ialah dari ‘Bukit Marwah’ ke ‘Bukit Safa’. Perjalanan ke tiga pula bermula dari ‘Bukit Safa’ ke ‘Bukit Marwah’. Begitulah kiraan yang seterusnya hingga tujuh perjalanan. Ini bermakna kiraan pertama perjalanan, bukan bermaksud dari ‘Bukit Safa’ ke ‘Bukit marwah’ dan kembali semula ke ‘Bukit Safa’.
Dari pengalaman mereka yang pernah menunaikan haji, terdapat juga jemaah-jemaah yang keliru dan tidak tahu di mana Bukit Safa dan di mana terletaknya Bukit Marwah, ketika di Masjidil Haram. Kekeliruan ini boleh menyebabkan saie yang dilakukan terbatal. Apabila saie terbatal, maka ‘tahallul’ tidak boleh dilakukan. Sekiranya jemaah haji didalam ihram, ‘Dam Takhyir dan Taqdir’ turut dikenakan kerana menggugurkan rambut dengan sengaja. Iaitu menyembelih seekor kambing di Tanah Haram atau bersedekah kepada 6 orang fakir miskin di Tanah Haram, dengan 2 cupak makanan setiap seorang, atau berpuasa di Tanah Haram selama 3 hari. Maka mengenali kedudukan Bukit Safa dan Bukit Marwah semasa mahu menunaikan haji atau umrah adalah satu kemestian. Jika tidak, sia-sia sahajalah haji dan umrah yang dilakukan.
Untuk mengenal pasti di manakah terletaknya Bukit Safa, jemaah haji atau umrah hendaklah melihat dahulu kedudukan Rukun Hajar Aswad. Selari dengan kedudukan Rukun Hajar Aswad di situlah terletaknya Bukit Safa.
Untuk mengenal pasti di manakah terletaknya Bukit Safa, jemaah haji atau umrah hendaklah melihat dahulu kedudukan Rukun Hajar Aswad. Selari dengan kedudukan Rukun Hajar Aswad di situlah terletaknya Bukit Safa.
Kali ini praktikal ibadah saie sungguh-sungguh mencabar iman kami. Dengan kain ihram yang diikat dengan tidak berapa kemas, kami diminta berlari-lari anak. Pengalaman menyaksikan ada peserta kursus yang hampir-hampir terlucut kain ihramnya dan peserta kursus yang menggunakan kain ihram yang agak nipis sungguh melucukan. Begitulah keadaan sebenar yang saya rasa sedikit sebanyak memberikan ilmu dan pengalaman berguna kepada kami semua.
Selesai kami melakukan praktikal ibadah saie, Kami dikira telah bertahallul. Kemudian kami dibenarkan menanggalkan kain ihram. Kami kembali semula ke dewan mesjid untuk persiapan diri bagi solat maghrib. Untuk mandi sahaja kami terpaksa beratur panjang. Walaupun tandas dan bilik air banyak terdapat di sana, tetapi tidak dapat menampung peserta pada waktu puncak. Disiplin peserta sangat dibanggakan. Mereka tidak bertolak-tolak dan berebut-rebut dalam setiap keadaan yang mendesak. Begitu juga ketika makan malam. Cuma mungkin kerana jumlah peserta yang hadir tidak seperti yang dijangkakan, makanan untuk malam itu tidak mencukupi. Namun peserta yang tidak mendapat bungkusan makanan tidak pula melakukan sesuatu yang diluar batasan. Mereka tetap bersabar menunggu. Sehingga selesai solat isyak barulah makanan tambahan tiba.
Program diteruskan dengan forum perdana pada pukul 9.00 malam. Beberapa tetamu jemputan terkenal memberikan motivasi dan pedoman bermanafaat untuk bakal-bakal haji dan hajjah seperti Dato Haji Kamaruddin Zakaria, bekas Imam Besar Mesjid Negara dan Ust Samsudin Sidek sendiri. Selesai forum perdana, peserta sekali lagi diminta berpakaian ihram untuk melakukan praktikal Wukuf di Arafah, mabit di Muzdhalifah, mabit Mina dan melontar di Jamrah. Padang Arafah disimbolikkan tempat perkumpulan para jemaah di dalam dewan mesjid. Sama seperti praktikal umrah siang hari, kami berkumpulan mengikut maktab masing-masing dan berjalan ditengah malam itu pergi mengutip batu ditempat-tempat yang telah dikhaskan. Batu yang dikutip dimasukkan ke dalam uncang yang kami bawa. Ini adalah praktikal ‘Mabit di Muzdhalifah’. Kemudian kami berjalan pula untuk praktikal melontar di jamrah. Pergerakan manasik haji sewaktu praktikal masyair haji, selesai kami lakukan sekitar jam 12.00 malam.
Kami tidur dalam keletihan yang amat sangat. Diketika inilah sebahagian besar peserta tidur dengan bunyi dengkuran yang berbagai nada. Terasa lucu sekali. Mungkin inilah barangkali bunyi dengkuran yang akan kami nikmati sewaktu di Tanah Suci bersama-sama rakan sebilik nanti agaknya.
Ketika jam menghampir pukul 4 pagi, kami sudah dikejutkan untuk program Qiyamullail. Sungguh mencabar sekali saya rasakan. Keletihan dan rasa mengantuk mengasak minda saya. Selesai qiyamullail saya sempat tidur sambil duduk menunggu solat subuh. Selesai solat subuh dengan berpakaian biasa peserta-peserta melakukan praktikal ibadah tawaf dan saie sekali lagi. Tanpa bimbingan dari Ustaz Samsudin selaku Ketua Pembimbing Kursus Haji Perdana, bakal-bakal haji dan hajjah, kelihatan mampu melakukan praktikal tersebut dengan penuh disiplin.
Pengalaman melakukan secara praktikal ibadah haji dalam kursus ini benar-benar telah menyuntik semangat saya. Saya kira peserta-peserta lain pun begitu juga. Emak banyak membantu kami melalui pengalaman beliau sewaktu tawaf, saie dan melontar. Ia memberi rangsangan dan motivasi yang mantap.
Dalam sesi ‘Rumusan dan Ulasan Latihan Amali’, Ketua Pembimbing, Ustaz Samsudin dengan cara dan gayanya yang santai dan berjenaka, memberikan panduan dan teguran. Beberapa panduan yang masih saya ingat dan saya sendiri alami ialah berkenaan dengan ‘ampai kain’. Ustaz berpesan, agar bakal haji membawa tali ampaian untuk menyidai kain basuhan sewaktu di tanah suci. Beliau juga turut menasihatkan, kena banyak bersabar dalam hal tersebut. Ini katanya berlaku apabila tali ampaian yang telah kita pasangkan, akhirnya bukan pakaian kita yang tersidai. Tetapi jemaah lain mengambil kesempatan berkongsi ampaian. Inilah yang berlaku kepada saya semasa di hotel Elaf Al-Sud, Mekah. Akhirnya saya terpaksa menggunakan tali ampaian emak untuk membuat ampaian lain.
Ustaz juga menceritakan kisah lucu dimana setiap jemaah haji berkemungkinan besar juga mengalami sakit tekak, batuk dan sebagainya. Jemaah yang sakit tekak telah datang berjumpa doktor di klinik Tabung Haji yang disediakan di Mekah. Rupa-rupanya doktor yang merawat jemaah tersebut juga mengalami masalah sakit tekak. Maka mereka berdua bercakap seperti suara ‘itik nila’.
Saya pernah membaca sebuah buku himpunan cerita dari majalah Mastika bertajuk ‘Koleksi Terbaik, Cerita Dari Mekah’. Saya bersetuju dengan tulisan ‘Sekapur Sirih’ dari Datuk Ustaz Haji Md Daud Che Ngah. Ada yang berpendapat cerita-cerita pengajaran yang dipersembahkan kepada khalayak hanyalah cerita dongeng dan sekadar untuk menakut-nakutkan bakal jemaah haji dan umrah. Mereka yang merasa berdosa walaupun mampu dan memang berhajat untuk mengerjakan haji, tertahan niat mereka kerana membaca cerita-cerita tersebut. Seolah-olah cerita-cerita pengajaran itu menghalang orang ramai dari menunaikan Rukun Islam yang ke lima.
http://www.darussyifa.org/biodata.php (click untuk lihat biodata Tuan Guru) Hakikatnya, di dalam Al-Quran sendiri, sebahagian besarnya adalah menceritakan sejarah umat-umat terdahulu yang kufur dan engkar. Atas kekufuran mereka Allah timpakan azab dan siksa yang tidak terperi sakitnya. Apakah cerita dari Al-Quran itu menghalang orang dari
Begitu jugalah tentang cerita-cerita benar yang diceritakan sendiri dari pengalaman mereka yang menempuhnya seperti Datuk Dr Harun Din dan Datuk Ustaz Haji Md Daud Che Ngah. Semua mereka ikhlas menceritakan pengalaman-pengalaman aneh, untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua umat Islam, terutama mereka yang berhasrat menjejakkan kaki ke 2 Tanah Haram kepunyaan Allah itu. Kisah-kisah pengajaran ini, sebenarnya telah saya baca semenjak saya bersekolah lagi. Ia banyak mengajar saya erti kebesaran Allah, tuan yang Empunya Ka’bah. Sifat-sifat sombong, angkuh, berkelahi kerana harta, memakan harta anak yatim, bergelumang dengan dosa perempuan dan arak, bercakap besar dan berbagai lagi cerita pengajaran yang ditulis itu sedikit sebanyak telah mencorak kehidupan saya waktu itu. Walaupun waktu itu saya tidak terfikirkan untuk pergi mengerjakan haji. Tetapi hasil pemahaman dari bacaan tersebut, membendung akhlak saya walaupun sedikit tetapi berkesan. Sehingga saat ini saya masih ingat cerita-cerita tersebut. Lantas ketika kaki semakin hampir untuk menjejaki Tanah Haram, kisah-kisah itu saya jadikan pedoman dan panduan sepanjang pengembaraan cinta saya.
Datuk Ust Hj Mad Daud Che Ngah
berpusu-pusu dan berbondong-bondong masuk Islam? Benarkah cerita-cerita iktibar yang benar-benar terjadi yang dirakamkan oleh Allah melalui maa’laikat Jibrail kepada Rasulullah menjadikan umat manusia takut dengan agama Islam? Kisah benar yang berlaku di benua Eropah, agama Islam adalah agama yang paling cepat berkembang. Malah angka setiap hari orang memeluk agama Allah ini semakin bertambah.Begitu jugalah tentang cerita-cerita benar yang diceritakan sendiri dari pengalaman mereka yang menempuhnya seperti Datuk Dr Harun Din dan Datuk Ustaz Haji Md Daud Che Ngah. Semua mereka ikhlas menceritakan pengalaman-pengalaman aneh, untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua umat Islam, terutama mereka yang berhasrat menjejakkan kaki ke 2 Tanah Haram kepunyaan Allah itu. Kisah-kisah pengajaran ini, sebenarnya telah saya baca semenjak saya bersekolah lagi. Ia banyak mengajar saya erti kebesaran Allah, tuan yang Empunya Ka’bah. Sifat-sifat sombong, angkuh, berkelahi kerana harta, memakan harta anak yatim, bergelumang dengan dosa perempuan dan arak, bercakap besar dan berbagai lagi cerita pengajaran yang ditulis itu sedikit sebanyak telah mencorak kehidupan saya waktu itu. Walaupun waktu itu saya tidak terfikirkan untuk pergi mengerjakan haji. Tetapi hasil pemahaman dari bacaan tersebut, membendung akhlak saya walaupun sedikit tetapi berkesan. Sehingga saat ini saya masih ingat cerita-cerita tersebut. Lantas ketika kaki semakin hampir untuk menjejaki Tanah Haram, kisah-kisah itu saya jadikan pedoman dan panduan sepanjang pengembaraan cinta saya.
No comments:
Post a Comment