Tetamu 2 Tanah Haram

Perasaan rindu ini hasil dari doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. atas perintah Allah,
"Wahai Tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahMu (Baitikal Haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya, moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)." ......Dan itulah aku yang Menggamit Rindu Haramain....

TV AL HIJRAH - LABBAIKALLAH 17 SEPTEMBER 2015 / 3 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH https://www.youtube.com/watch?v=w7GjzeKhECs


Thursday, 14 July 2011

SAAT KEBERANGKATAN ( Bhg 3)

Saat sebelum masuk ke dalam dewan pemeriksaan bagasi, hujan turun semakin lebat. Semoga rahmat Allah turun bersama hujan tersebut. Hujan lebat itu juga mengiringi perpisahan kami dengan adik-beradik dan saudara-mara. Selepas diarahkan masuk ke dewan pemeriksaan, kami bersalaman dan berpelukan memohon doa agar perjalanan jauh kami ini selamat sampai dan selamat kembali. Sambil melambai-lambaikan tangan, mereka hilang dari pandangan apabila kami memasuki pintu dewan.
Kami amat berterimakasih kepada anak-anak dan anak-anak buah serta saudara-mara yang lain yang mengiringi kami dan turut membantu kami mengangkat beg-beg berat kami. Luqman, Solleh, Hakimi, Syawal, Arifuddin, Fahmi, Ikmal, Amirah, Izzati, Faiz, Aida, Fahimah, Abdullah, Hadi, Safiyah, Fawaz, Fathi, Fawza, Hidayah, Atiqah dan Ahmad Yusuf. Juga kepada Pak Usu Majid sekeluarga, Mak Ngah Aci sekeluarga, Mak Ulong Badariah, Pak Unggal Samad sekeluarga, Abang Radhi sekeluarga, Ramli dan Mushi sekeluarga, Hidhir dan Shikin sekeluarga, pengantin baru Wahidah dan Riduan. Tidak lupa juga terimakasih kami kepada Pak Ngah dan Mak Ngah Kamariah sekeluarga, keluarga Pak Cik Hamid, Abang Mail Joned sekeluarga, jiran-jiran serta jemaah Mesjid Imam At-Tirmizi, Taman Seri Sentosa bt 6 ½, Jalan Kelang Lama, jiran-jiran serta jemaah surau Al-Hijrah, Taman Industri Bolton, Batu Caves.     Klik - Mesjid Imam AT-Tirmizi
Terimakasih kami juga kepada Mesjid Ittifaqiyyah, Seri Gombak, Yayasan Amal, Wilayah Persekutuan dan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak atas sumbangan yang diberikan semasa Majlis Jamuan Hari Raya.
Tindakan saya yang hanya mengenakan ‘izar’ sahaja, iaitu kain ihram bahagian bawah memberi kelebihan kepada saya ketika membawa masuk beg-beg pakaian dan beg-beg galas kepunyaan Sobah dan Uda. Sementara Ucu pula membantu emak membawa beg pakaian. Urusan ‘check-in’ begitu pantas sekali. Kemahiran dan pengalaman urusetia membantu kami sepanjang proses tersebut, jelas sekali. Petugas-petugas begitu tertib melayani kerenah jemaah haji. Beg-beg besar berisi pakaian terus diambil oleh petugas. Saya berdoa agar keselamatan beg-beg kami dalam peliharaan Allah. 
Selesai urusan ‘mengimbas’ bagasi, serta badan kami, kami diberikan ‘boarding pass’ berwarna kuning, Keratan ‘terimaan bagasi’ dan pasport juga diserahkan kepada kami selepas itu. Dari dewan pemeriksaan pendaftaran, kami ditunjukkan jalan ke dewan berkumpul di tingkat satu kompleks berkenaan. Sukar juga kami hendak menaiki tangga dengan beg-beg galas beroda yang berat-berat belaka. Saya tidak memakai beg sandang yang diberikan oleh Tabung haji, tetapi menggunakan ‘porch’ yang diikat pada pinggang. Ia juga mempunyai kelebihan sampingan dengan mengukuhkan ikatan kain ihram ‘izar’ saya. Pasport, Lencana Pengenalan Haji dan Buku Rekod Rawatan, saya masukkan ke dalam ‘porch’ yang mempunyai banyak poket. Buku ‘Panduan Praktis Haji dan Umrah’ juga saya selitkan ke dalam ‘porch’ bagi memudahkan saya ketika hendak berniat ihram dan berdoa sepanjang manasik haji dan umrah nanti. Kami adalah jemaah awal yang tiba di dewan tersebut. Kami dipersilakan duduk di kerusi baris ke tiga dari hadapan.
Beberapa ketika kemudian, taklimat diberikan oleh pegawai Tabung Haji bertugas, berkenaan pergerakan seterusnya. Beberapa pesanan dan saranan juga diberikan terutama berkenaan keselamatan diri dan dokumen-dokumen berharga. Segala dokumen pengenalan diri jemaah hendaklah sentiasa dijaga seperti ‘nyawa sendiri’ dan dipakai setiap masa dan ketika. Kemudian beberapa orang lagi pegawai Tabung Haji dan Tabung Haji Travel memberikan panduan akhir semasa di Tanah Suci dan ucapan selamat jalan kepada jemaah semua. Di hadapan saya sepasang jemaah haji warga emas terangguk-angguk sambil mata mereka tertutup. Memang sebenarnya kami keletihan. Duduk di atas bangku ini pun sudah cukup selesa bagi kami untuk melelapkan mata seketika.
Jam sudah melewati 1.30 pagi.  Kami diberitahu tentang penangguhan penerbangan. Seorang ustaz telah menggunakan masa terluang menunggu tersebut dengan memimpin jemaah semua berzikir-munajat dan bertalbiah. Saya sudah beberapa kali tertidur dan terjaga. Emak, Sobah, Uda dan Ucu juga ‘tersenggut-senggut’, menahan mengantuk. Hawa dingin di dalam dewan dengan hujan yang masih renyai-renyai di luar, menyebabkan pundi-pundi saya terasa penuh. Semasa saya berjalan ke tandas, saya terlihat seorang jemaah lelaki sedang minum air milo panas.
“Haji, di mana haji beli milo panas ini?” Tanya saya teruja untuk mendapatkan minuman panas.
Dalam hati saya berkata, “Dapat minum Nescafe panas sedap juga.”
“Saya pesan pada pengawal tadi, minta dia tolong belikan di kantin,” jawab jemaah tersebut.
Saya berkenalan dengan jemaah berkenaan. Nama beliau Haji Shahrom, berasal dari Negeri Sembilan. Umur beliau sekitar lima puluh ke enam puluhan. Beliau menunaikan haji bersama-sama isteri. Beberapa ketika kemudian seorang pengawal keselamatan wanita Tabung Haji datang membawa beberapa lagi minuman panas yang dipesan oleh jemaah haji yang lain. Kesempatan itu tidak saya lepaskan. Saya memesan Nescafe panas dan kuih pau panas.
Dalam keadaan kebosanan menunggu ini juga, Allah hantarkan seseorang yang jujur dan mulia hatinya membantu kami para jemaah. Saya dapat melihat keikhlasan pada wajah pengawal keselamatan tersebut yang berumur dalam lingkungan empat puluhan. Ketika pengawal tersebut hendak melangkah pergi, emak, Sobah, Uda dan Ucu datang kepada saya. Saya memanggil semula pengawal keselamatan berkenaan lalu meminta mereka membuat pesanan. Emak memesan teh ‘o’ panas, Uda, teh tarik, Ucu Nescafe, manakala Sobah tidak mahu apa-apa. 
Emak turut memuji pengawal keselamatan yang berhati mulia itu. Beberapa ketika kemudian bersama seorang lagi rakan lelaki, pengawal keselamatan tadi membawa sedulang air panas yang kami pesan, berserta kuih pau panas. Kami mengucapkan berbanyak terimakasih kepada mereka berdua. Mereka tersenyum membalasnya dengan senang hati.
Pengumumaan dibuat, kami sudah boleh berangkat ke KLIA. Waktu itu jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Sebelum kami bergerak keluar dari dewan, seorang jemaah haji secara sukarela telah melaungkan azan. Sungguh merdu azan beliau. Kemudiannya ketika di Mekah, saya diberitahu oleh Haji Shahrom, yang melaungkan azan tersebut adalah Imam Dua Mesjid Negeri, Negeri Sembilan. Ketika di surau hotel di Mekah juga jemaah berkenaan kadangkala menjadi imam dan kadangkala menjadi bilal. Setelah azan dilaungkan, seorang lagi jemaah haji tampil membacakan doa. Beliau kemudiannya saya kenali dengan nama Haji Zaki bekerja di Putrajaya. Masih muda, umurnya sekitar tiga puluhan sebaya dengan Ucu.
Dengan tertib dan penuh disiplin kami berjalan keluar dari dewan Kompleks Tabung haji Kelana Jaya. Barulah saya dapat melihat keceriaan wajah-wajah jemaah haji setelah duduk menunggu hampir tujuh jam. Di luar perkarangan bangunan, saya tidak berapa pasti beberapa buah bas ‘Plus Liner’ telah sedia menanti. Tetapi pada pengamatan saya lebih dari lima buah bas. Perlahan dan berdisiplin kami menaiki bas dengan panduan dari petugas-petugas Tabung Haji yang memakai jeket berwarna merun.
Kemudian bas bergerak dalam kelajuan sederhana secara konvoi ke KLIA. Kelihatan beberapa buah motosikal berkuasa besar Polis Diraja Malaysia mengiringi bas kami. Rombongan jemaah haji tiba di KLIA hampir pukul 5.30 pagi. Kami dipandu ke balai berlepas bersama beg-beg galas beroda yang diseret kerana keletihan. Dalam dewan berlepas kelihatan jemaah lelaki yang memakai kain ihram kesejukan. Walaupun saya masih memakai t-shirt bersama kain ‘rida’ yang telah saya keluarkan dari ‘bag pack’, kedinginan terus mencucuk dan menggigit tubuh. Akibatnya saya dan Ucu terpaksa berlari ke tingkat atas mencari tandas, kerana tandas dalam dewan berlepas sudah penuh. Kami turut mengambil wuduk untuk solat subuh.
Selesai solat subuh, sekali lagi kami terpaksa menunggu agak lama dalam dewan berlepas. Kedengaran suara-suara yang tidak berapa berpuashati mengatakan;
“Pilot mengantuk, tidak cukup tidur.”
“Ni depa pi sambung tidoq kot!”

2 comments:

  1. sabarnya menunggu.. dugaan awal sebelum berangkat.. mesti terasa puas bila kaki jejak ke Mekah..

    ReplyDelete
  2. Sungguh!! Tidak ada bandingan betapa penat dan keletihan menunggu dengan terujanya kami apabila melihat bumi ambiya' dari udara. Kami berpelukan dengan emak sambil menahan sebak, kerana bersyukur atas nikmat Allah, akhirnya kami sampai juga ke Tanah Suci...

    ReplyDelete